August 19, 2014

Pekerja Pejabat Renjer Dungun hilang dalam hutan

Dungun: Seorang Pekerja Rendah Awam Pejabat Renjer Dungun dipercayai hilang ketika dalam perjalanan keluar dari Hutan Simpan Rasau Kertih, di sini, petang semalam.

Mangsa, Rani Jusoh, 58, dikatakan masuk ke kawasan hutan terbabit untuk menjalankan tugas bersama empat lagi rakannya, kira-kira jam 8 pagi.

Ketika bersiap-siap hendak keluar dari hutan terbabit jam 3.10 petang, empat rakannya mendapati mangsa hilang.

Selepas mencari sekitar kawasan hutan terbabit, rakan mangsa kemudiannya melaporkan perkara itu kepada pegawai atasan mereka.

Pegawai terbabit kemudiannya datang ke Balai Polis Bandar Al Muktaffi Billah Shah untuk membuat laporan, kira-kira jam 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, pasukan polis bersama anggota bomba serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia sudah memulakan operasi mencari dan menyelamat bermula pagi ini.

myMetro 19 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment