August 29, 2014

Mekanik maut motosikal dinaiki bertembung dengan kereta

KUANTAN - Seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Proton Iswara dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Kuantan-Sungai Lembing dekat sini pagi tadi.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Deputi Superintendan Mohd. Noor Yusof Ali berkata, mangsa, Mohd. Syawal Ahmad, 23, berasal dari Kampung Bukit Kuin di sini mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

"Kemalangan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Lembing menghala ke Kuantan.

Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Proton Iswara dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

"Akibat kejadian itu, kereta tersebut telah terjatuh ke dalam gaung di sebelah kanan jalan sebelum merempuh sebatang pokok di situ,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta itu Chan Haw Wei, 27, turut mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut mengambil sampel darah dan air kencing pemandu kereta terbabit untuk pemeriksaan kimia. - Bernama

29 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment