August 18, 2014

Maut terperosok bawah lori

Keadaan mangsa yang terperosok di bawah lori dalam kemalangan malam kelmarin.

KLANG - Seorang pemandu lori tidak menyangka rasa berat pada salah satu tayar kenderaannya rupanya akibat terpijak tubuh manusia.

Pemandu berusia 54 tahun itu segera memberhentikan lori dipandunya dan terkejut apabila mendapati sekujur tubuh lelaki terperosok di bawahnya.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, kejadian berlaku pada jam 8.40 malam kelmarin sewaktu lori berkenaan sedang dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pelabuhan Barat.

“Setibanya di persimpangan Pulau Indah, pemandu lori itu terasa seperti terlanggar sesuatu. Dia kemudiannya keluar memeriksa dan terkejut dengan kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai terperosok ke bawah lori berkenaan sebelum kejadian itu.

“Mangsa yang sudah meninggal dunia dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian 18 Ogos 2014


‘Kon’ sangkut tayar

ORANG ramai membantu mengeluarkan mayat mangsa dari celah tayar lori.

Pelabuhan Klang: Seorang pemandu lori 10 tayar terkejut apabila objek yang disangkakan kon sebenarnya mayat seorang penunggang motosikal yang digilis dalam kejadian di Jalan Pelabuhan Barat, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, pemandu berusia 46 tahun itu dikatakan dalam perjalanan menghala Pelabuhan Barat dari arah Pelabuhan Klang dekat sini, apabila tiba-tiba terdengar bunyi kuat dan merasakan ada sesuatu tersangkut di tayar lorinya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, pemandu terbabit kemudian memberhentikan kenderaannya untuk memeriksa bunyi berkenaan mendapati ia sebenarnya mayat seorang lelaki dipercayai penunggang motosikal.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian membantu mengeluarkan mangsa terbabit yang dikenal pasti sebagai Md Nandu Madbor, berusia 20-an, seorang warga Bangladesh.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan tidak menyedari kehadiran mangsa yang menunggang motosikal di lorong kanan jalan berhampiran persimpangan Kampung Pulau Indah dan kemungkinan lampu belakang motosikal mangsa juga tidak berfungsi.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

myMetro 18 Ogos 2014


0 comments:

Post a Comment