August 19, 2014

‘Ke mana kami nak pergi...’

MALIZA bersama anaknya di hadapan rumah sewa mereka.

Melaka: “Saya pernah ‘menggadaikan’ topi keledar kerana tidak mempunyai wang untuk menukar tiub motosikal bagi menghantar anak ke sekolah, ” kata ibu tunggal Maliza Mohd Zain, 37, menceritakan keperitan hidup menjaga lima anak selepas diceraikan suami pada April lalu.

Ibu kepada anak berusia dua hingga 13 tahun itu berkata, kesempitan hidup mereka enam beranak bermula selepas dia berpisah, malah memburukkan lagi keadaan, bekas suaminya tidak memberi nafkah bagi keperluan anak sehingga kini.

Katanya, bukan hanya tidak mempunyai wang menampung kos perbelanjaan harian tiga anaknya ke sekolah, dia juga diminta keluar dari rumah yang diduduki selepas sewa bulanan tertunggak selama enam bulan.

“Sebelum bercerai, kehidupan saya dan anak sukar kerana bekas suami terus menghilangkan diri tanpa memberi nafkah kepada anak.

“Akibat kesempitan hidup, saya menjual burger di hadapan rumah bagi menanggung kos seharian,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Pulau Gadong di sini, semalam.

Menurutnya, pendapatan hariannya RM20 sehari itu masih tidak dapat menampung kos sara hidup mereka sekeluarga sehingga sewa rumah tertunggak RM1,500 manakala bil air dan elektrik sudah hampir RM280.

Katanya, disebabkan kesempitan wang, tiga anaknya, Nurain Syuhada Norazmi, 13, Nurhidayah, 12, dan Muhammad Zainadi Zidani, 7, kadang kala tidak ke sekolah kerana dia tidak dapat memberikan wang tambang bas.

“Saya bukan tidak mahu bekerja, tetapi tidak mampu membayar upah menjaga dua lagi anak, Muhammad Qayyum, 5, dan Nursyuhadah, 2, sebab itu saya mengambil keputusan menjual burger di hadapan rumah tetapi pendapatannya tidak seberapa malah jika tidak mempunyai modal pusingan saya tidak berniaga.

myMetro 19 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment