August 1, 2014

Kanak-kanak lemas di Pengkalan Balak

GAMBAR kenangan Wan Putra Izz Danish, 11, yang memeluk adiknya.

ALOR GAJAH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang hilang selepas mandi bersama beberapa orang sepupunya di pantai Pengkalan Balak di sini petang semalam, ditemui lemas tengah malam tadi.
 
Mayat Wan Putera Izz Danish Wan Azrol Affendi, ditemui anggota bomba pada 12.19 tengah malam dalam keadaan meniarap di tepi pantai kira-kira satu kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.
 
Pengarah Bomba Melaka Sohaimi Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.41 petang semalam dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat.
 
"Operasi mencari di laut hanya dapat dilakukan seketika sahaja disebabkan cuaca berangin dan laut berombak namun kita teruskan pencarian di tepi pantai sebelum menemui mayat mangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
 
Sementara itu, bapa mangsa Wan Azrol Affendi Yunos, 39, ketika ditemui berkata dia pada mulanya tidak membenarkan anak sulungnya itu mandi di pantai berkenaan namun terpaksa bersetuju selepas dipujuk anaknya.

"Saya mengawasinya mandi bersama sepupunya dari jauh tapi dalam lima hingga 10 minit saya terleka sekejap dan apabila sedar dia dah tak ada...saya tidak dengar apa-apa jeritan pun sebelum itu," katanya.
 
Wan Azrol berkata dia kemudian berusaha mencari anaknya itu namun tidak menemuinya sebelum menghubungi bomba.
 
Katanya Wan Putera Izz Danish yang tinggal bersama bekas isterinya di Puchong, Selangor dibawa pulang beraya bersamanya di Melaka pada Selasa lepas.
 
"Dua hari sebelum kejadian dia memberitahu saya nak tinggal terus dengan saya sebab nak jaga adiknya," katanya.  - Bernama

1 Ogos 2014


Tangisan ayah

Alor Gajah: Keseronokan berhari raya tahun ini bertukar suram buat keluarga Wan Azrol Affendi Wan Yunos, 39, apabila anak lelaki sulungnya Wan Putera Izz Danish, 11, ditemui lemas di Pantai Pengkalan Balak, di sini, tengah malam tadi.

Mayat Wan Putera Izz Danish ditemui dalam keadaan tertiarap di tepi pantai, kira-kira satu kilometer dari tempat dia dipercayai lemas pada jam 12.19 tengah malam tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Menurut Wan Azrol Affendi, anaknya gagal dikesan ketika bermain di pantai bersama dua sepupu yang berusia 10 dan tujuh tahun kira-kira jam 7.30 malam semalam, dipercayai lemas dibawa ombak berhampiran Putera Sayang Chalet.

"Pada awalnya saya tidak benarkan dia mandi pantai, namun disebabkan segala pujukan saya termasuk menawarkan duit raya tidak mahu diendahkan, saya benarkan juga dia bermain pantai," kata Wan Azrol Affendi.

"Segala-galanya berlaku dengan pantas. Saya memantau anak saya bermain di gigi air dari pondok di tepi pantai ini, namun apabila saya berpaling dia sudah tiada.

"Kami mencarinya di sepanjang pantai kira-kira 10 minit sebelum saya membuat panggilan meminta bantuan daripada pasukan bomba dan penyelamat," katanya tidak dapat menahan tangisan apabila mangsa ditemui pada 12.19 tengah malam tadi.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri Sohaimi Mohamed berkata, mangsa ditemui dalam keadaan baik kerana hanya berada dalam air dalam tempoh yang singkat.

 "Mangsa ditemui dalam keadaan terlangkup di tepi pantai dan masih lengkap pakaian," katanya di lokasi kejadian.

 "Kami menerima panggilan pada 7.41 malam dan tiba di lokasi lapan minit selepas itu sebelum pencarian mendatar di sepanjang pantai dimulakan pada 7.50 malam.

 "Pada jam 9.13 malam, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tiba dan pencarian dalam air dilakukan pada jam 9.45 malam sebelum dihentikan pada jam 10.30 malam kerana cuaca buruk serta angin bertiup kencang," katanya.

Menurutnya, operasi mencari membabitkan 12 anggota bomba, lapan anggota polis dan masing-masing lima anggota PPDA dan JPAM.

myMetro 1 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment