August 1, 2014

Ingat gurauan baling mercun

Klang: “Saya ingat abang bergurau dengan membaling mercun di dalam kereta, namun sebaik kami menoleh ke arahnya, ada sebiji peluru sebesar guli terlekat di dahinya,” kata Qumeyza Iqbal Arif Sulaiman, 28, menceritakan kisah cemas kejadian abang iparnya, Mohd Syukur Shafie, 31, terkena peluru sesat di Jalan Jugra, Banting, petang kelmarin.

Qumeyza Iqbal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dia, Mohd Syukur dan seorang lagi abang iparnya dalam perjalanan dari Pantai Kelanang menuju ke Pekan Banting untuk mengisi minyak kereta.

“Kami sekeluarga pulang ke kampung sempena hari raya dan petang itu kami bertiga bercadang untuk mengambil angin di kawasan Pantai Kelanang sebelum bergerak ke pekan untuk mencari stesen minyak.

“Ketika kami sedang asyik berborak, tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan di bahagian belakang kereta dan menyangkakan abang (Syukur) membaling mercun di dalam kereta untuk menakutkan kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, semalam.

Menurut Mohd Syukur, dia hanya mengetahui dirinya terkena peluru sesat apabila diberitahu abang iparnya yang duduk di bahagian penumpang depan.

“Mula-mula saya rasa panas di bahagian dahi, namun tidak menyedari saya ditembak, bagaimanapun, abang ipar yang menoleh ke belakang kemudian memaklumkan ada bebola besi terlekat di dahi.

“Dalam keadaan cemas, kami terus bergegas ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut bagi mengeluarkan bebola besi yang melekat, namun pihak hospital terus memindahkan saya ke HTAR kerana kecederaan yang saya alami agak parah,” katanya.

Katanya, beliau bersyukur kerana kecederaan yang dialami tidak menyebabkannya maut dan mujur bebola besi yang digunakan mengenai tingkap kereta yang dinaiki terlebih dulu.

Menurutnya, bebola besi yang melekat pada dahi sudah dikeluarkan pihak hospital dan beliau akan menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan kaca yang masuk ke dalam matanya hari ini. Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan polis sudah menahan empat suspek yang bekerja di bengkel berhampiran kawasan kejadian.

“Semua yang ditahan berusia antara 24 hingga 34 tahun dan akan direman tujuh hari sehingga 6 Ogos depan, dan pemeriksaan di bengkel berkenaan turut menemui beberapa lagi senapang angin buatan sendiri,” katanya.

myMetro 1 Ogos 2014


Tidak sangka jadi mangsa tembakan

KLANG 31 Julai - "Saya tidak sangka rasa pedih, panas dan lelehan darah di dahi adalah akibat terkena peluru senapang angin".

Demikian kata mangsa serangan peluru senapang angin, Mohd. Syu-kur Shafie, 31, yang berasa kejadian berlaku dengan pantas sehingga dia sedang duduk bahagian kiri belakang kereta merasai terdapat objek menembusi di dahinya.

Mohd. Syukur berkata, dia turut tercedera di tengah dahi dan di bahagian mata kiri akibat terkena serpihan tingkap kaca yang pecah.

"Ketika itu, saya bersama dua ipar sedang menuju ke stesen minyak dari Kelanang ke pekan Banting.

"Saya menoleh ke arah cermin dan secara tiba-tiba berasa pedih dan panas akibat tembakan tersebut," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Menurut Syukur, dia telah meminta abang iparnya untuk melihat dan mendapati sebiji bebola kecil besi telah menembusi dahinya.

"Kami berasa terkejut dan bergegas menuju ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan.

"Namun, saya telah dibawa ke HTAR dengan menaiki ambulans dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan peluru berbentuk bola besi itu berjaya dikeluarkan malam tadi," katanya.

Akibat tembakan senapang angin itu juga, kata Mohd. Syukur, serpihan kaca masih tertinggal di mata kirinya dan rawatan dijangka dibuat esok.

Dalam pada itu, empat lelaki tempatan telah ditahan di sebuah kedai di kawasan tersebut pada hari kejadian dan dipercayai suspek tembakan tersebut.

Kesemua lelaki yang berusia antara 28 sehingga 34 tahun itu telah direman selama tujuh hari bermula semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd. Rahim Jaafar berkata, tangkapan telah dibuat dan pihak polis turut merampas senapang angin tersebut.

"Pihak polis telah menjumpai senjata tersebut di sebuah kedai milik salah seorang suspek," katanya.

Tambah Abd. Rahim, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api.

Utusan 1 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment