August 18, 2014

Hidup bertemankan cahaya lilin

Rokiah kini mendiami sebuah rumah kecil tanpa bilik bersama anak ketiga yang menghadapi masalah mental.

KUALA KRAI - Sejak enam tahun lalu, seorang warga emas dari Sri Panji Kampung Tengah, dekat sini, berbelanja RM17 sebulan untuk membeli lilin bagi menerangi rumah kecil didiami bersama anak ketiganya yang menghadapi masalah mental, setiap malam.

Rokiah Hamad, 65 berkata, dia pernah mendapat bekalan elektrik di rumahnya namun melalui detik sukar selepas rumahnya dibakar oleh anak ketiganya.

Menurutnya, bekalan elektrik pada ketika itu hanya disambung dari kediaman anaknya yang tinggal berdekatan dan sejak kejadian berkenaan, kediamannya hanya diterangi cahaya lilin pada setiap malam.

"Makcik sudah lama tidak bekerja dan mengharap sepenuhnya kepada bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

"Kerana itu makcik tak mampu biaya kos pendawaian di rumah baharu yang dibina hasil kerjasama masyarakat setempat," katanya.

Tambah Rokiah, dia sering bimbang kejadian serupa berulang tambahan anak ketiganya itu kerap membakar pakaian di rumah mereka dan hidupnya sering tidak tenang terutama pada waktu malam.

"Makcik bimbang anak makcik akan bakar rumah dengan lilin dan adakalanya makcik bimbang dia lupa padamkan api lilin sebelum tidur.

"Makcik amat berharap dapat bantuan untuk buat pendawaian elektrik di rumah baharu ini walaupun saiznya kecil dan dibina tanpa bilik," katanya.

Ibu kepada empat anak ini memaklumkan, sudah lama dia hidup dalam kebimbangan dan risau keadaan itu akan menyebabkan kesihatannya terganggu tambahan tidur malamnya tidak pernah lena.

Katanya, jika anak ketiganya makan ubat mengikut jadual, dia akan dapat mengawal diri tetapi akan mula bertindak agresif jika tidak mengambil ubat pada masa ditetapkan.

"Sebelum ini dua anak makcik termasuk anak bongsu hilang tanpa berita sejak 11 tahun lalu kerana menghadapi masalah mental ketika berusia 19 tahun. Namun makcik pasrah dengan ujian ALLAH ini.

"Makcik harap selepas ini rumah makcik akan ada bekalan elektrik agar kehidupan kami lebih selamat. Duit makcik hanya cukup untuk belanja harian kami dua beranak.

"Makcik juga dapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi tidak cukup untuk keperluan kami dua beranak," katanya.

Sinar Harian 18 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment