August 31, 2014

Hasrat pulang tak kesampaian


PERIKSA: Anggota paramedik semasa mengesahkan keadaan mangsa di tempat kejadian.

KUCHING: Gara-gara ingin cepat pulang ke rumah, seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya dipercayai dalam keadaan laju, terbabas di Batu 17, Jalan Kuching-Serian di sini, semalam.

Mangsa ialah Timothy Brahim, 31, berasal dari Kampung Tijirak, Siburan.

Terdahulu, mangsa dan rakannya dikatakan melepak di sebuah kedai tidak jauh dari tempat kejadian sebelum kesemua mereka yang masing-masing menunggang motosikal bergerak pulang sekitar jam 2 pagi.

“Rakannya memberitahu, mangsa menunggang motosikalnya dalam keadaan laju kerana ingin cepat pulang, namun gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas di persimpangan lampu isyarat pekan Siburan.

“Ekoran itu, mangsa tercampak ke penghadang jalan raya berkenaan menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala,” kata sumber.

Rakan-rakan mangsa yang menyedari kejadian tersebut segera membantu mangsa, namun mendapati mangsa tidak lagi bernyawa.

Anggota paramedik yang tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian mengesahkan kematian mangsa sebelum mayatnya dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Mangsa yang bekerja sebagai jurukimpal itu merupakan anak kelima daripada enam adik-beradik dan telah berkahwin serta mempunyai seorang anak.

Utusan Borneo 31 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment