August 30, 2014

Drebar buang air bas lepas

Kuala Lumpur: Seorang lelaki bertindak gila apabila melarikan sebuah bas henti-henti tanpa penumpang ketika pemandunya turun membuang air kecil berdekatan sebuah hentian bas di Jalan Raja Laut, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, suspek berusia lingkungan 30-an memandu lebih 10 kilometer (km) dan dipercayai turut bergesel dengan tiga kenderaan sebelum berhenti di Desapark City, Kepong.

Pemandu ‘gila’ itu dipercayai berhenti selepas bas dicurinya merempuh sebuah pagar berdekatan kawasan itu dan suspek kemudian melarikan diri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Rasdi Ramli berkata, polis menemui semula bas terbabit pada jam 10.30 pagi di Bulatan Desapark City, Kepong.

“Siasatan turut mendapati bas yang dipandu suspek turut bergesel dengan tiga buah kenderaan. Bagaimanapun, polis masih belum menerima laporan dari pemilik kenderaan terbabit,” katanya.

Katanya, polis kini memburu lelaki terbabit dan kes disiasat di bawah seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

myMetro 30 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment