August 30, 2014

Ayah cedera parah di kepala disyaki ditetak anak sendiri

MIRI: Seorang ayah cedera parah di kepala setelah dipercayai ditetak oleh anak lelakinya dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Kampung Ulu Miri di sini, awal pagi kelmarin.

Berikutan itu, mangsa yang berusia lewat 40-an dikejarkan ke Hospital Miri dan terpaksa menerima lapan jahitan akibat kecederaan yang dialami.

Terdahulu menurut sumber, berlaku perselisihan faham di antara dua beranak terbabit yang berakhir dengan insiden berdarah.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

Berikutan itu katanya, suspek yang berusia 21 tahun telah diberkas polis pada hari sama setelah menyerah diri di Balai Polis Pusat Miri.

Katanya, dengan penangkapan suspek yang merupakan anak kandung mangsa, kes dianggap selesai dan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan boleh didenda atau sebat.

Sementara dalam satu kes berasingan, seorang buruh warga asing telah diberkas polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri kerana disyaki memiliki dadah berbahaya jenis Meth-amphetamine (syabu).

Suspek yang berusia ling-kungan 20-an dan berasal dari Indonesia telah diberkas polis yang mengadakan Ops Narco di hadapan sebuah rumah tumpangan di Simpang Batu Niah.

Dalam operasi jam 4 petang itu, sepasukan polis dari BSJN Miri telah menahan seorang buruh warga asing untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Berikutan itu, polis yang membuat membuat pemeriksaan lanjut dalam bilik tempat suspek menginap telah menjumpai satu peket kecil dan dua tiub straw masing-masing mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu seberat 2.22 gram (berat kasar).

Dadah itu telah dirampas untuk dijadikan barang kes dan suspek ditangkap untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Utusan Borneo 30 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment