July 21, 2014

Warga emas jaga dua anak OKU

Maisiyah kini terlantar sakit tua selain terhad untuk bertutur dan mengingati sesuatu perkara jika ditanya sebarang soalan.

SEORANG  warga emas di Kampung Tekek, Pulau Tioman,  menempuh detik sukar dalam hidupnya apabila dia kini terlantar sakit tua namun tetap menjaga dua anak lelakinya yang kedua-duanya merupakan orang kurang upaya (OKU) yang tidak boleh melihat.

Maisiyah Mat Walau, 80-an, dalam keadaan sukar mengingati dan bertutur, berkata, mereka tiga beranak kini hidup dengan bantuan seorang jiran yang membantu menghantar makanan setiap hari dan kadang-kadang turut membantu memasak.

“Nasib baik ada jiran yang membantu dengan ihsannya menghantar makanan hampir setiap hari dan kadang-kadang dia turut membantu memasak di rumah.

“Selain itu, ada juga saudara-mara yang kadang-kadang berkunjung ke rumah makcik dan mereka akan masak untuk kami tiga beranak,” katanya.

Menurutnya yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu, kedua anaknya, Arshad Mat Arif, 60-an dan Mohamad Arif, 60-an hanya mampu bergerak di dalam rumah sahaja.

“Urusan rumah yang lain seperti membeli barang-barang dan membayar bil turut dibantu oleh jiran berkenaan yang prihatin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kebimbangannya mengenai kehidupan kedua anaknya itu selepas dia sudah tiada nanti.

Maisiyah bersama dua anaknya mendapat bantuan bulanan dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (Muip) dan bantuan bulanan orang tua dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan penderitaan mereka.

Sinar Harian 21 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment