July 31, 2014

Wanita mati bakar diri

PASUKAN forensik polis memeriksa mayat mangsa di tandas awam. FOTO Azhar Hashim

Kulim: Seorang wanita berusia lingkungan 30-an maut selepas disyaki membakar dirinya di dalam tandas awam wanita di Medan Selera Taman Tunku Putra berhampiran Pasar Awam Kulim, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi tadi, mangsa yang belum dikenalpasti identiti dipercayai membakar dirinya dalam tandas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintendan Abdullah Arshad berkata, wanita terbabit ditemui dalam keadaan terbakar sebelum orang ramai yang menyedari kejadian itu cuba membantu dengan memadamkan api, namun gagal.

"Mangsa gagal diselamatkan. Dia mengalami kebakaran hampir 90 peratus badan menyebabkan maut di situ.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat," katanya.

myMetro 31 Jul 2014


Mengerang bakar diri di tandas

Kulim: “Ketika kejadian saya sedang berada di gerai melayan pelanggan tiba-tiba terkejut mendengar seorang wanita menjerit sambil berlari keluar dari tandas.

“Saya kemudian bergegas masuk ke dalam tandas dan mendengar suara orang mengerang kesakitan. Namun apabila saya menendang pintu yang berkunci itu, saya mendapati seorang wanita sudah terbakar,” kata Othman Ali Babjan, 42, saksi kejadian seorang wanita dipercayai membunuh diri dengan membakar dirinya dalam tandas awam di Medan Selera Taman Tunku Putra, Jalan Bayu berhampiran Pasar Awam Kulim, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, mangsa berusia lingkungan 30-an yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai membunuh diri dengan membakar diri berikutan penemuan sebotol plastik yang hampir cair di sebelah tangan kanan mangsa serta beg galas di belakangnya.

Othman berkata, dia terdengar jeritan wanita terbabit dan melihat api sedang marak melalui lubang udara di tepi tandas dan terus berlari ke arah tandas terbabit.

“Pada mulanya saya sangka tandas terbabit terbakar dan bergegas untuk memadamkan api. Tandas wanita itu mempunyai dua pintu bilik air dan ketika kejadian, bilik sebelah kanan sedang marak terbakar.

myMetro 1 Ogos 2014







0 comments:

Post a Comment