July 20, 2014

Tangan berlubang terkena mercun bola

KEMAMAN 19 Julai - Kegembiraan 10 kanak-kanak bermain mercun ketika berbuka puasa membawa padah apabila salah seorang daripada mereka berlubang tapak tangan selepas sebiji mercun bola yang dipegangnya meletup dalam kejadian di Bandar Seri Bandi, dekat sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, mangsa, Muhammad Kamarul Nizam Razak, 8, yang juga murid Sekolah Kebangsaan Seri Bandi 2 dikatakan mengutip mercun bola yang tidak meletup sejurus dilempar kanak-kanak lain yang bermain di hadapan rumahnya.

Muhammad Kamarul Nizam berkata, dia meraung kesakitan selepas mercun itu meletup di tapak tangan kanannya sementara muka dan bajunya dipenuhi darah yang terpercik.

"Saya tengok tangan berubah jadi warna hitam dan juga ada kesan darah beku. Tapi, mujurlah kesemua lima jari saya masih ada," katanya yang masih lemah ketika dikunjungi wartawan petang semalam.

Sementara itu, datuk saudara mangsa, Ali Abd, Haq, 44, berkata, dia yang sedang berbuka puasa bersama anak saudaranya, Rashida Jusop, 17, ketika kejadian terus meluru keluar rumah apabila terdengar jeritan Muhammad Kamarul Nizam.

Menurutnya Ali, dia kemudian nampak beberapa kanak-kanak mengerumuni cucu saudaranya yang sedang menangis menahan sakit.

"Tapak tangan dan jari-jemarinya jadi bengkak. Tangannya juga bertukar jadi hitam kesan belerang yang hangus. Saya nampak ada lubang kecil di tengah-tengah tapak ta-ngannya itu dan sebaik sahaja dibasuh, darah keluar banyak dari lubang itu selain timbul juga bonjolan-bonjolan air di sekitar tapak tangan dan jarinya itu," katanya yang bekerja sebagai buruh ladang sawit di Ladang Tebak.

Difahamkan, ketika kejadian, kira-kira 10 kanak-kanak yang terdiri daripada kalangan anak jiran tetangga sedang bermain mercun di hadapan rumah Ali hingga menarik minat Muhammad Kamarul Nizam untuk makan dengan cepat sebelum keluar melihat rakan-rakannya itu bermain.

Mangsa kemudiannya dihantar untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Seri Bandi di sini sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman dan ditahan di dalam wad selama sehari serta dibenarkan pulang ke rumah kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Utusan 20 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment