July 21, 2014

Pusara ayah pengubat rindu

Roslan (tengah) berkata sesuatu kepada anak ketiga Pazila, Nur Alya ketika menyampaikan sumbangan pada Program Singgah Sahur Ihya Ramadan 2014 anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Panitia Agama Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau 2.

MERLIMAU - “Sekiranya terlalu rindu dengan ayah, kami akan ziarah pusara ayah," luah anak yatim empat beradik, Nur Shahira Mohd Megedis, 16,

Lebih memilukan lagi apabila adik bongsunya, Nurul Jannah, 6, akan menatap gambar arwah ayah sambil memanggil-manggil namanya kerana sebelum ini dia tidak sempat menagih kasih sayang daripada ayahnya.

Nur Shahira yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum berkata, setiap saat mereka merindui kenangan bersama arwah ayah yang meninggal dunia tiga hari sebelum adik bongsunya dilahirkan akibat serangan jantung.

"Di saat Syawal semakin hampir, semakin kuat rindu kami terhadap ayah. Kenangan ketika ayah membawa kami membeli-belah baju raya serta melawat sanak saudara ketika Aidilfitri tidak akan kami lupakan sampai bila-bila.

"Tahun ini ini tahun keenam arwah tiada di samping kami. Walaupun mood raya tidak seperti dulu, namun sebagai kakak sulung saya kena ketepikan perasaan itu demi untuk melihat adik-adik gembira," katanya ketika Program Singgah Sahur Ihya Ramadan 2014 anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Panitia Agama Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau 2, awal pagi semalam.

Hadir sama, Adun Merlimau, Roslan Ahmad, Penghulu Dun Merlimau, Lazan Ali, Yang Dipertua PIBG, SK Merlimau 2, Shahidzwan A.Rahim, Guru Besar SK Merlimau 2,  Adnan Ismail.

Sementara itu, ibunya, Pazila Khalil, 40, memberitahu, sejak kematian suaminya, dia menggalas semua tanggungjawab dan membesarkan anak-anak dengan kudrat yang ada.

Katanya, dengan pendapatan hariannya sebanyak RM30 sebagai pembantu kedai, dia masih bersyukur kerana dengan rezekinya itu dapat membesarkan anak-anak.

"Dari kosong dan tak tahu apa-apa, sekarang banyak yang akak belajar sejak ketiadaan arwah,  sehinggakan bayar bil pun sebelum ini akak tak tahu kerana selama ini semuanya diuruskan arwah.

"Malah saya bersyukur bantuan bulanan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Tambah Pazila, ini pertama kali rumahnya menerima kunjungan program Singgah Sahur Ihya Ramadan dan mereka sekeluarga terharu kerana masih ada insan yang prihatin dengan nasib mereka lima beranak.

“Selama lima tahun ini kali pertama ada orang datang ke rumah beri sumbangan pada bulan Ramadan dan kami bersyukur serta berterima kasih,” katanya.

Sinar Harian 21 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment