July 21, 2014

Polis cedera dirempuh motor

IPOH - Seorang anggota polis melambung dan jatuh terduduk selepas dirempuh samseng jalanan ketika bertugas dalam Ops Sekat di Jalan Silibin-Jelapang awal pagi semalam.

Akibat rempuhan itu, Lans Korperal Khairol Najmi Roslan, 24, cedera di bahagian tangan, kaki dan leher serta mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Menurutnya, dalam kejadian jam 4 pagi itu, dia bersama 10 anggota sedang melakukan sekatan jalan raya di jalan tersebut sebelum didatangi samseng jalanan terbabit.

“Kami telah meletakkan beberapa kenderaan bagi mengepung kawasan sekitarnya. Namun, ketika saya baru keluar daripada kereta, tiba-tiba muncul satu motosikal terus melanggar saya sehingga melambung ke udara sebelum jatuh terduduk di atas jalan raya.

“Kemudian, beberapa anggota lain yang melihat insiden itu segera membantu dan membawa saya ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, remaja lelaki berusia 16 tahun itu berjaya diberkas atas bantuan anggota lain dan dibawa ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk tindakan lanjut.

“Ini kejadian pertama berlaku sepanjang empat tahun bertugas sebagai anggota trafik. Sebelum ini, saya hanya melihat rakan setugas dilanggar, namun tak sangka pagi ini (semalam), saya sendiri yang mengalami situasi tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki berusia 30-an turut ditahan dalam operasi tersebut kerana melanggar dua kereta Proton Iswara milik anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Lelaki terbabit dipercayai memandu kereta Hyundai dalam keadaan mabuk menyebabkan dia hilang kawalan lalu merempuh kereta yang diletakkan di kawasan operasi itu.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan lelaki terbabit di bawa ke Balai Trafik IPD Ipoh untuk tindakan seterusnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, operasi tersebut bermula seawal jam 11 malam dan berakhir jam 7 pagi.

Menurutnya, antara lokasi operasi termasuklah pusat bandar, Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Jalan Silibin, Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Sultan Azlan Shah.

Katanya, sebanyak 45 motosikal ditahan dalam operasi itu manakala 54 kereta, sebuah pacuan empat roda dan enam motosikal turut diperiksa, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat dalam operasi berkenaan.

“Seramai 97 pegawai dan anggota trafik, Rela dan polis simpanan sukarelawan (PVR) terbabit dalam operasi tersebut.

“Sebanyak 119 kesalahan berjaya dikesan sepanjang operasi itu dijalankan. Antaranya adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, nombor plat, cermin sisi, insurans, tidak menampal pelekat ‘P’ dan ‘L’, ekzos diubahsuai, tali pinggang dan hala salah.

“Selain itu, terdapat juga pesalah trafik yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan 6 : Peraturan Lalulintas 1959,” katanya yang memberitahu sebanyak 61 saman dikeluarkan pada operasi berkenaan.

Sinar Harian 21 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment