July 31, 2014

Maut terperangkap dalam rumah terbakar

Kuala Terengganu: Seorang warga emas lelaki maut selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Cherong Lanjut, di sini, 5.10 petang tadi.

Mangsa, seorang penjual bunga dikenali sebagai Ah Kam, 70, dipercayai maut selepas melecur teruk pada badan dan lemas akibat asap tebal daripada api yang berpunca dari dapur.

Saksi kejadian, Foo Chia Chun, 23, berkata, ketika kejadian itu dia berada di dalam rumah dan bergegas keluar selepas melihat asap tebal dari dapur rumah jirannya itu.

Menurutnya, dia segera memanggil jirannya dan berusaha menyelamatkannya namun gagal kerana api marak dengan pantas.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian dengan dua jentera bersama 11 anggota kira-kira tiga minit selepas kejadian berlaku.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati seorang warga emas terbujur kaku di depan rumah papan yang musnah sepenuhnya itu sebelum pegawai perubatan yang datang mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

myMetro 31 Jul 2014


Rumah terbakar, warga emas maut

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas maut dipercayai sesak nafas akibat asap tebal apabila kediamannya di Cherong Lanjut, di sini, hangus terbakar, petang semalam.

Mangsa, Gwe Teng Lai, 70, yang bekerja sebagai penjual bunga orkid di pasar tani, menetap seorang diri di kediaman itu ketika kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang.

Menurut seorang saksi yang juga jiran mangsa, Foo Chia Chun, 23, dia keluar rumah kira-kira jam 5.10 petang dan mendapati terdapat kepulan asap dan rumah mangsa sedang marak terbakar, sebelum bertindak untuk cuba memadamkan kebakaran.

“Saya cuba memanggilnya dan dia menyambut sahutan sekali. Kemudian saya nampak dia pakai seluar, sebelum pengsan di depan pintu rumah. Saya cuba memanggilnya lagi tetapi dia tidak menyahut.

“Pada masa itu, api sudah marak dan saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu. Apabila pihak perubatan datang, mereka sahkan dia sudah tidak bernyawa,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, PgB Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.11 petang.

Susulan itu dua jentera dengan kekuatan anggota seramai 11 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu ke tempat kejadian.

“Rumah jenis separa kekal itu musnah 100 peratus dan kita dapati terdapat seorang mangsa berbangsa Cina berumur 70 tahun di tempat kejadian tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian 1 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment