July 20, 2014

Maut dihempap besi penahan berat

Mangsa maut akibat dihempap besi penahan berat.

BAGAN SERAI - Seorang pengurus tapak projek maut setelah dihempap besi yang diubah suai pada traktor miliknya ketika menjalankan kerja pemasangan cerucuk di Kilometer 198.8 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Lee Kah Tong, 72, maut di tempat kejadian dalam keadaan mengerikan apabila jasadnya ditemui tergantung setelah tersepit bawah besi yang menghempapnya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.45 petang dari syarikat penyelenggara kerja pemasangan besi cerucuk yang memaklumkan seorang pemilik traktor maut tersepit atas jenteranya.

“Siasatan awal mendapati besi penahan berat yang diubah suai pada traktor itu bagi kerja pemasangan cerucuk itu terjatuh ke atas kepala mangsa dan menyebabkannya tersepit

“Susulan kejadian itu, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Mat Fauzi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga, petang kelmarin untuk disemadikan.

Dalam pada itu, seorang buruh kontrak memaklumkan, majikannya itu dikatakan mahu membersihkan traktor terbabit bagaimanapun, setelah hampir 10 minit mangsatidak kembali.

"Ketika itu kami memang tunggu dia untuk hantar kami balik, tapi tidak senang hati apabila dia pergi terlalu lama.

“Dari jauh, kami lihat mangsa berada atas traktor. Bila kami datang dekat, kami terkejut mangsa sudah tidak bernyawa sebab tersepit pada besi yang jatuh," katanya.

Sinar Harian 20 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment