July 21, 2014

Koperal tak sempat pulang raya

Orang ramai melihat kereta mangsa yang remuk teruk akibat merempuh belakang lori dalam kejadian nahas di Kampung Gong Medang semalam.

BESUT - Hasrat seorang anggota polis untuk menyambut hari raya bersama dua anak dan ibunya di kampung tidak kesampaian apabila dia maut selepas Perodua kelisa yang dipandunya merempuh belakang lori di Kampung Gong Medang dekat Kampung Raja, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Koperal Tuan Robi Che Noh, 36, yang merupakan anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) memandu seorang diri dari arah Kuala Terengganu ke Kampung Raja.

Dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Gong Badak ke kampungnya di Kampung Berangan Masjid, Tumpat, Kelantan.

Menurut ibu mangsa, Tuan Zariah Tuan Hassan, 60, anaknya dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas jam 7 pagi semalam di Kem PGA Gong Badak, Kuala Terengganu.

“Saya terkejut apabila dapat panggilan daripada polis memberitahu anak saya meninggal dunia selepas terlibat kemalangan,” katanya yang ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Besut di sini.

Tuan Zariah berkata, kali terakhir dia bertemu anak ketiga dari enam beradik itu pada Sabtu minggu lalu ketika arwah pulang ke kampung.

Katanya, dia perasan ada perubahan pada diri Tuan Robi ketika pulang tempoh hari apabila arwah berubah menjadi pendiam tetapi sibuk mengecat dan membersih kawasan rumah.

Tuan Robi yang telah berpisah dengan isterinya juga telah membeli pakaian raya untuk dua anaknya yang berusia enam dan lima tahun.

“Saya tak sangka keterujaan arwah untuk beraya bersama saya dan dua anaknya tidak kesampaian,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku apabila sebuah lori dari Setiu ke arah Kampung Raja memberi isyarat belok ke kanan.

Menurutnya, pemandu lori tersebut memberhentikan lorinya untuk ke tapak projek di sebelah kanan jalan dan tiba-tiba kereta yang dipandu mangsa merempuh belakang lori tersebut.

“Mangsa dipercayai gagal mengelak lori yang berhenti itu dan dia meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum dituntut waris.

Pemandu lori, Yaakub Seman, 61, tidak mengalami kecederaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 20 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment