July 21, 2014

Dua remaja bawah umur terbunuh, seorang terselamat dalam nahas ngeri


SIBU: Dua sahabat terbunuh manakala seorang lagi terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas merempuh sebatang pokok.

Pemandu kereta terbabit dikenali Kevin Wong, 15, dari Jalan Bunga Raya di sini dan rakannya, Gui Ing Kiet, 15, dari Jalan Permai Timur mati serta-merta di tempat kejadian.

Seorang lagi rakan mereka duduk di tempat duduk belakang bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Difahamkan kejadian itu berlaku sekitar jam 11.40 malam di Jalan Pahlawan di sini.

Punca kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan.

Seorang saksi tinggal berhampiran memberitahu, dia hendak masuk ke dalam rumah sebelum terdengar bunyi letupan kuat.

Dia kemudian bergegas ke tempat kejadian dan ternampak sebuah kereta dalam keadaan terbakar selepas merempuh sebatang pokok.

Saksi terbabit tersentak dengan kejadian itu kemudian menghubungi bomba dan polis untuk mendapatkan bantuan.

Selain itu, orang awam lain yang turut menyaksikan kejadian itu cuba membantu mengeluarkan mangsa dan memadamkan api.

Namun keadaan api marak selain kedua-dua mangsa berada dalam keadaan tersepit menggagalkan usaha menyelamat.

Kerja-kerja mengeluarkan mangsa hanya berjalan lancar selepas ketibaan bomba.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.

Difahamkan kereta itu milik ibu Kevin yang tidak ada di rumah kerana ada urusan di luar.

Utusan Borneo 21 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment