July 21, 2014

2 maut, 1 putus kaki

Ketiga-tiga kes melibatkan kemalangan dialami penunggang motosikal di Kuching dan Sri Aman.

KUCHING: Tidak sampai 12 jam, dua lelaki yang juga penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera parah dalam dua kemalangan berasingan di Jalan Tun Jugah dan di Jalan Batu Kawa, di sini.

Dalam insiden pertama kira-kira jam 11 malam, Banick Michael, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala rakannya yang berusia 22 tahun patah tangan selain cedera di bahagian badan.

Difahamkan, Banick yang merupakan penunggang motosikal itu hilang kawalan lalu terlanggar pagar tengah pembahagi jalan di Jalan Tun Jugah berhampiran Sekolah Kebangsaan Stampin.

Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Kuching Superintenden Fauzilan Abdul Aziz yang mengesahkan menerima laporan berhubung dua kes kemalangan itu berkata, kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Manakala dalam kejadian kedua, seorang lelaki dari Kampung Judin, Sematan, Vicci Amat Daud terbunuh apabila tercampak dari motosikal ditunggangnya di Jalan Batu Kawa kira-kira jam 7.45 pagi semalam.

Mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Badan lelaki yang berusia 26 tahun itu dikatakan tercampak dari motosikal sebelum terkena tiang lampu sementara motosikalnya terseret kira-kira 40 meter di laluan laju.

Difahamkan, mangsa cedera teruk di bahu kanan manakala tengkuknya dipercayai patah akibat impak tersebut.

Pengguna jalan raya yang menyaksikan kemalangan itu menghubungi Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, kakitangan perubatan HUS mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis turut hadir ke tempat kejadian untuk menyiasat dan seterusnya membawa mayat ke HUS bagi bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Pauzi Bujang yang mengesahkan menerima laporan berhubung dua kes kemalangan itu berkata, kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu di SRI AMAN, seorang lelaki, Louis Mujang, 37, mengalami kecederaan serius dengan kaki sebelah kanannya putus setelah motosikal yang ditunggangi bertembung dengan lori di kawasan Jalan Sabu, di sini malam kelmarin (Sabtu).

Sebelum kemalangan, mangsa dalam perjalanan dari arah pusat bandar Sri Aman menuju ke arah Temudok kira-kira jam 11.30 malam.

Menurut sumber, ketika menghampiri jalan selekoh berdekatan Kampung Simpang Temudok, motosikal mangsa hilang kawalan lalu bertembung dengan lori yang datang dari arah Kuching.

“Akibat pertembungan itu kaki kanan Louis putus dan dia turut mengalami kecederaan serius di bahagian perut,” kata sumber itu.

Berikutan itu, mangsa dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Sri Aman sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapat rawatan lanjut.

Utusan Borneo 21 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment