July 20, 2014

18 penumpang selamat, bas ekspres terbabas

LAZZUAN Ishak mengeluarkan barang peribadinya setelah bas dipandunya terbabas akibat hilang kawalan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Gurun di Jerai, Kedah, semalam. - MINGGUAN/Ismail Kamadin

JERAI 19 Julai - Seramai 18 penumpang sebuah bas eks­pres yang menuju ke Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar mengalami detik-detik mencemaskan apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabas menuju ke ladang kelapa sawit berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, kecekapan pemandu bas tersebut, Lazzuan Ishak, 39, menyelamatkan keadaan daripada menjadi lebih buruk apabila dia berjaya mengelak daripada melanggar deretan pokok jati di tepi lebuh raya berkenaan.

Menurut Lazzuan, kejadian itu berlaku apabila bas yang dipandunya tiba-tiba hilang kawalan setelah tayar ha­dapan sebelah kirinya mele­tup secara tiba-tiba.

"Ketika itu saya sedang memandu dengan kelajuan 90 kilometer sejam. Tiba-tiba terdengar bunyi letupan dan serta merta bas hilang kawalan de­ngan bergerak ke kiri jalan.

"Saya cuba membrek dan memusingkan stereng ke kanan untuk membolehkan bas terus berada di atas lebuh raya, namun keadaan tidak dapat dikawal menyebabkan kami merempuh penghadang jalan di sebelah kiri sebelum menjunam di kawasan yang sedikit berbukit," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Bas tersebut bertolak dari Kuantan, Pahang kira-kira pukul 9 malam tadi menuju ke Alor Setar sebelum menyambung perjalanannya ke Kangar, Perlis.

Akibat kejadian itu, seorang penumpang, Nur Hazwani Jamaludin, 24, yang duduk di kerusi paling hadapan cedera di muka akibat terpelanting dan terhantuk di bahagian hadapan bas berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi penumpang yang hanya mahu dikenali sebagai Kamarul memberitahu, kebanyakan penum­pang ketika itu sedang tidur dan awalnya tidak menyedari mengenai kejadian itu.

"Ketika bunyi letupan itu kedengaran dan bas tidak stabil, keadaan masih lagi senyap. Hanya setelah bas merempuh penghadang jalan, barulah kebanyakan penumpang tersedar dan menjerit ketakutan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Kami sudah mengambil keterangan pemandu bas tersebut. Setakat ini kejadian itu dipercayai berpunca tayar pe­cah, namun siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 42 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Utusan 20 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment