April 24, 2014

Warga emas disamun ketika joging


Gombak: Seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM5,000 selepas wang tunai dan beberapa barangan berharga miliknya disamun beberapa lelaki warga Indonesia ketika berjoging di Jalan Seri Setia di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi mangsa yang berusia 61 tahun dikatakan berjoging seorang diri sebelum sebuah kereta dinaiki beberapa lelaki menghampiri mangsa.

Menurut sumber, mangsa sebelum itu menyedari sebuah kereta mengekorinya dengan perlahan.

“Sebaik tiba di satu persimpangan dua lelaki keluar dari kereta dan terus meluru ke arah mangsa sebelum memegang kedua-dua tangannya.

“Ketika itu, berlaku sedikit pergelutan. Namun mangsa tidak mampu melawan sebelum seorang lagi lelaki keluar dari kereta dan menyeluk kedua-dua poket seluar mangsa serta berjaya melarikan dompet dan satu sampul berisi wang berjumlah RM5,000, “katanya.

Sumber itu berkata, sebaik mendapat apa dihajati, lelaki terbabit terus melarikan diri dengan menggunakan kereta Myvi berwarna hitam.

“Selain wang tunai, mangsa turut kehilangan kad pengenalan, pasport, lesen memandu, kad kredit American Express, kad bank Platinum,” katanya.

myMetro 24 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment