April 20, 2014

Wanita sarat, baru bersalin antara ditahan


Melaka: Ibu sarat mengandung dan baru melahirkan anak antara tahanan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo di sini.

Kebanyakan mereka ditangkap ketika sarat me­ngandung bersama anak lain yang masih kecil.

Bagaimanapun, keba­nyakan suami mereka tidak ditahan kerana mempu­nyai dokumen perjalanan sah atau warga Malaysia.

Anak kecil di balik jeriji kelihatan terpinga-pinga ketika disapa seperti tidak tahu kenapa mereka berada di sini.

Warga negara Filipina, Normilin Zulkaail, 32, berkata, dia ditahan pada penghujung Disember ketika tidur.

“Saya ditahan dalam serbuan tengah malam di rumah sewa di Tanjung Keling, Melaka.

“Ketika itu saya nyenyak tidur bersama dua anak lain, namun tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu sebelum suami membuka pintu,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga anak berusia setahun, dua tahun dan sebulan ini, dia bimbang nasib anak-anak­nya.

“Saya baru melahirkan anak ketiga pada 18 Februari lalu di sini. Seboleh-bolehnya saya mahu anak membesar dalam persekitaran bagus seperti dihantar bersekolah.

“Selepas ini saya bercadang kembali ke Filipina dan memohon dokumen perjalanan sah sebelum menetap kembali dengan suami yang juga warga Malaysia,” kata­nya sambil memangku anak ketiganya, Norariana.

Sementara itu, warga Indonesia dikenali sebagai Yani, 23, yang kini menanti hari melahirkan anak berkata, dia datang tanpa pengetahuan suaminya yang bekerja secara sah di Malaysia.

“Saya datang dari Surabaya pada Julai tahun lalu selepas akur dengan ajakan kawan dengan menaiki kapal.

“Pada mulanya saya tak mahu datang tapi ingin membuat kejutan pada suami yang bekerja di Melaka,” katanya.

Yani yang hamil tujuh bulan berkata, dia ditangkap pada November lalu.

“Saya menyesal datang ke sini kerana tidak membaharui pasport. Apa yang ada dalam fikiran saya ialah mahu pulang ke kampung halaman di Surabaya,” katanya.

Kedua-dua wanita ini bagaimanapun bernasib baik kerana suami mereka datang melawat pada hujung minggu dan tidak putus-putus memberi kata-kata sema­ngat.

myMetro 20 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment