April 24, 2014

Wanita mengandung bunuh diri


Seremban: Seorang wanita sedang mengandung maut selepas terjun sambil membawa beg tangannya dari tingkat enam tempat letak kereta Terminal One di sini, kira-kira 4 petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Loh Kwee Moi, 43, dipercayai mati di tempat kejadian.

Saksi kejadian dikenali sebagai Sopian, 22, berkata dia sedang berjalan dari tingkat dua pasar raya di bangunan sebelah untuk mengambil kereta di parkir Terminal One apabila nampak wanita terbabit mahu terjun daripada tingkat enam.

Katanya, dia menjerit bagi menghalang wanita itu terjun tetapi tidak dipedulikan mangsa.

Mayat wanita itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat.

myMetro 24 Apr 2014


Senyum sebelum jatuh

SEREMBAN – “Dia memandang tepat ke arah saya lalu tersenyum sebelum dia bertindak terjun dari atas bangunan itu,” kata saksi kejadian, Mohd Sofian Roslan, 22.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.00 petang semalam, mangsa, Loh Kwee Moi, 43, ditemui mati dipercayai terjun dari tingkat atas bangunan enam tingkat kawasan tempat letak kereta di Perhentian Bas Terminal One.

Sofian berkata, sebelum kejadian, dia dan isterinya baharu selesai membeli-belah di Kompleks Beli Belah Terminal One.

“Saya dan isteri kemudiannya ingin menuju ke tempat letak kereta tetapi sempat berhenti seketika di jambatan penghubung antara Perhentian Bas Terminal One dan kompleks terbabit di tingkat dua.

“Waktu itu saya sedang membelek telefon bimbit dan secara tiba-tiba saya terpandang ke arah atas bangunan. Saya nampak seorang wanita dengan kedua-dua tangannya sedang memegang pengadang di tingkat atas seolah-olah mahu terjun.

“Saya cuba menjerit ke arah wanita itu dan menyuruhnya tunggu bagi membolehkan saya menyelamatkannya. Dia mungkin  mendengar jeritan saya dan kemudiannya dia sempat memandang tepat ke arah saya lalu tersenyum.

“Saya menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan namun saya tidak sempat  menyelamatkannya, mangsa bertindak terjun bersama beg tangannya,” katanya.

Katanya, wanita itu dilihatnya seperti mengandung dan berambut pendek.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Sinar Harian 25 Apr 2014


0 comments:

Post a Comment