April 1, 2014

Tidak mengaku ugut bunuh ibu, adik


BALIK PULAU - Seorang lelaki yang menghadapi dua pertuduhan mengugut dengan mengancam kematian mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret di sini semalam.

Tertuduh, Norazman Mat Hashim, 33, mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Majistret Muhammad Najib Ismail yang mendengar rayuan tertuduh serta hujah pihak pendakwaan kemudiannya memerintah Norazman dibenarkan diikat jamin dengan RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dituduh mengugut dengan mengancam kematian terhadap ibu serta seorang adik lelakinya dalam satu kejadian di rumah mereka di Kampung Perlis, di sini, Khamis lalu.

Dalam fakta kes, tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada ibunya, Siti Rokiah Hassan, 64, dan adiknya, Suffian Mat Salleh, 25, dalam satu kejadian di hadapan rumah mereka di Kampung Perlis di sini kira-kira jam 5.30 pagi, Khamis lalu.

Norazman juga diingatkan Muhammad Najib supaya tidak mengganggu ibu, adik serta saksi-saksi terlibat dalam kes berkenaan, jika tidak, dia akan dimasukkan semula ke dalam penjara.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Sinar Harian 1 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment