April 20, 2014

Penunggang motosikal maut rempuh lori

MAYAT: Mayat mangsa kemalangan ditutupi dengan helaian surat khabar.

BINTULU: Hasrat seorang lelaki dalam perjalanan ke sebuah rumah panjang di sini tidak kesampaian apabila motosikal ditungganginya terlibat kemalangan dengan sebuah lori sehingga meragut nyawanya dalam kejadian berlaku di Batu 7 Jalan Se­biew, di sini jam 12.30 tengah hari semalam.

Impak kemalangan itu, mangsa dikenali Henrick Jilan, 36, berasal dari Kam­pung Pundut Lubai, Lim­bang terpelanting beberapa meter di tengah jalan setelah motosikalnya hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori. Keadaan jalan ketika itu basah selepas hujan lebat.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Madang Usat yang mengesahkan kejadian itu berkata kemalangan maut itu berlaku di Jalan Sebiew menuju ke Rumah Jinap se­lepas lampu isyarat berdeka­tan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bintulu.

Katanya kedua-dua ken­deraan itu bergerak menuju laluan yang sama namun mo­tosikal ditunggangi mangsa yang dalam perjalanan ke Ru­mah Jinap hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori yang memasuki simpang di sebelah kiri jalan.

“Penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pemandu lori tidak mengalami se­barang kecederaan dalam insiden itu.

Utusan Borneo 20 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment