April 27, 2014

Nasib berbeza dua kemalangan

DI SERIAN: Guru maut.

DI KUCHING: Warga emas nyaris maut.

SEORANG guru lelaki terkorban selepas pikap yang dipandu rakannya terbabas di Kilometer 15 Jalan Selabi dekat Serian, petang semalam.

Mangsa ialah Nyadang Wong, 46, berasal dari Kampung Tangga, Serian.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Mohd Jamali Umi berkata, mangsa bersama dua lagi rakannya dipercayai dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) St Philips Bugu menuju ke Kuching sekitar jam 3 petang.

“Bagaimanapun pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu rakan mangsa hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan mangsa yang dikatakan duduk di bahagian belakang mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Manakala dua lagi rakan mangsa yang juga mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan.

Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan tersebut.

Sementara itu di Kuching, seorang lelaki warga emas nyaris maut apabila keretanya berlanggar dengan sebuah pikap yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk di Jalan Batu Kawa, malam kelmarin.

Mangsa, 60, semasa kejadian dikatakan bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Singai, Bau selepas menghadiri satu majlis di Kota Samarahan sekitar jam 11 malam.

Difahamkan, semasa melalui jalan terbabit, kereta Proton Pesona mangsa berlanggar dengan sebuah pikap jenis Toyota Hilux menyebabkan bahagian hadapan kereta mangsa remuk.

Mangsa dikatakan tersepit di dalam keretanya dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba sebelum dia dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Isteri mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Manakala, pemandu pikap yang dianggarkan berusia sekitar 20-an serta dipercayai di bawah pengaruh alkohol dikatakan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Utusan Borneo 26 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment