April 19, 2014

Melecur gara-gara tiada bekalan air

BERA - Seorang bapa kepada empat anak terpaksa menanggung derita apabila bahagian perut dan paha melecur gara-gara pam air yang digunakan untuk mengepam air sungai ke rumahnya meletup.

Yusaini Hardi, 38, berkata, kejadian berlaku kira-kira tiga minggu lalu semasa dia sedang memeriksa pam air yang gagal berfungsi selama hampir tiga jam.

Menurutnya, dia kerap ke pam air sungai terbabit memandangkan kawasan kampung kerap berlaku gangguan bekalan air.

“Ketika kejadian, selepas hampir tiga jam air yang dipam tidak masuk, saya mula berasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Jadi saya mengambil keputusan untuk menjenguk pam itu tetapi alangkah terperanjat apabila ia tiba-tiba meletup,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan ziarah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas, Datuk Norol Azali Sulaiman bersama Batin Kampung Ibam, Raman Mat semasa Lawatan Kerja di kampung ini.

Katanya, mereka tiada pilihan selain mengepam air sungai memandangkan jarak sungai dan rumah agak jauh dan tidak berupaya mengangkut air menggunakan baldi atau botol setiap hari.

Dia berkata, sekiranya penduduk tidak mengalami masalah bekalan air bersih, kejadian seumpama ini mungkin tidak akan berlaku.

“Mujur saya tidak mengalami cedera parah dan masih boleh bergerak walaupun tidak terlalu aktif.

“Cuma saya berharap masalah bekalan air bersih yang berlarutan terlalu lama ini dapat diatasi segera bagi mengelakkan insiden sama berulang,” katanya.

Sinar Harian 19 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment