April 20, 2014

Maut dihempap lori


Georgetown: Seorang remaja maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang mereka dihempap lori satu tan dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, dua remaja perempuan berusia 19 tahun terbabit ketika itu dalam perjalanan pulang dari Georgetown ke Balik Pulau.

Bagaimanapun, selepas keluar lorong motosikal, sebuah lori dipandu seorang lelaki secara tiba-tiba hilang kawalan, terbalik dan menghempap motosikal ditunggang mereka.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, mangsa maut ketika

dalam perjalanan ke hospital manakala rakannya pula kritikal dan masih menerima rawatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan cuba mengelak sebuah lagi lori yang masuk ke laluannya secara tiba-tiba sebelum dia hilang kawalan dan terbabas.

"Kita sudah mengambil keterangan daripada pemandu dan siastan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

myMetro 20 Apr 2014


Remaja maut dihempap lori

Georgetown: Perjalanan pulang dua sahabat ke rumah mereka di Balik Pulau mengundang tragedi apabila seorang daripadanya maut dihempap lori dalam satu kemalangan ngeri di Lebuhraya Dr Lim Chong Eu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa seorang remaja berusia 19 tahun maut di lokasi kejadian akibat dihempap lori muatan satu tan terbabit manakala rakannya Umairah Roslan, 19, parah dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Kedua-dua sahabat terbabit ketika itu menunggang motosikal dan baru keluar dari lorong motosikal sebelum dihempap lori berkenaan selepas pemandunya hilang kawalan kerana cuba mengelak sebuah lagi lori.

Akibatnya, kedua-dua mangsa terperangkap hampir setengah jam di bawah lori itu sebelum orang ramai membantu mengangkat lori itu, namun seorang daripadanya tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Menurut sumber, ketika kejadian kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Georgetown dan dipercayai mahu pulang ke rumah mereka di Balik Pulau, di sini.

myMetro 21 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment