April 20, 2014

Konvoi berakhir tragedi

Seremban: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas di Kilometer 256 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur Senawang, pagi tadi.

Mangsa, Qusairi Saadon, 26, bersama kira-kira 20 rakannya berkonvoi menunggang motosikal jenis KTM Duke 200 dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka sebelum dikatakan hilang kawalan dan terbabas.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan bagi menghadiri program sebuah kelab permotoran yang turut disertai mereka.

Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 10.50 pagi dan hasil siasatan di lokasi mangsa terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

myMetro 20 Apr 2014


Maut kemalangan ketika berkonvoi ke Ayer Keroh

SEREMBAN - Hajat sekumpulan penunggang motosikal hendak berkonvoi ke Melaka tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 256 Lebuhraya Utara Selatan (NSE) arah Selatan, berhampiran susur masuk Senawang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa, Muhamad Qusairi Saadon, 26, berasal dari Gombak, Selangor sedang menunggang motosikal jenis KTM Duke 200 bersama peserta konvoi yang lain.

Jurucakap polis berkata, semasa insiden berlaku, mangsa dan penunggang lain sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk menghadiri sebuah program sukan bermotor di Litar Melaka International Motorsport Circuit (MIMC), Ayer Keroh.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati, mangsa yang sedang menggunakan laluan kiri lebuh raya dipercayai terbabas sendirian dan melanggar pembahagi jalan, selepas motosikal dinaiki hilang kawalan.

“Mangsa yang cedera serius di kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya yang memberitahu pihak polis dimaklumkan insiden terbabit kira-kira 10.50 pagi.

Menurutnya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes sedang dalam siasatan.

Sinar Harian 21 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment