April 25, 2014

Gaya sengsara

MANAYI (tengah) berbincang dengan Shukor ketika meninjau keluarga itu, semalam.

Johor Bahru: ‘Kenderaanku syurgaku’. Begitulah kehidupan enam beranak yang menjadikan sebuah kenderaan rekreasi (RV) sebagai tempat tinggal mereka sejak hampir sebulan lalu di Jalan Ceria 19, Taman Nusa Idaman di sini.

Mereka mula menjadikan kenderaan itu sebagai tempat tinggal bukan kerana meniru gaya hidup Barat, sebaliknya terpaksa berbuat demikian apabila diminta mengosongkan rumah sewa berikutan menghadapi kesulitan membayar sewa pada bulan lalu.

Berikutan itu, kenderaan berkenaan kini menjadi tempat berteduh Shukor Abdullah, 51, dan isteri Halela Rahim, 40, bersama empat anak mereka iaitu Norlela, 17; Rafiee, 16; Fadzilah, 14, dan Norhazlinda, 12.

Shukor berkata, kenderaan bernombor pendaftaran BFY5228 itu dilengkapi dengan kemudahan ruang berehat, tidur, dapur serta tandas.

Menurutnya, dia dan ahli keluarganya menyesuaikan diri untuk meneruskan kehidupan dalam kenderaan itu kerana ia masih sesuatu yang luar biasa bagi masyarakat di negara ini.

“Saya membeli kenderaan ini beberapa tahun lalu ketika bekerja sebagai kontraktor dengan tujuan membawa ahli keluarga berkelah kerana ia mempunyai ruang agak besar.

“Namun, sejak bekerja sebagai pemandu lori, dengan pendapatan RM1,500 menyebabkan saya menghadapi kesulitan membayar sewa rumah pada tahun lalu menyebabkan kami terpaksa mengosongkan rumah sewa yang terletak di sekitar kawasan ini.

“Berikutan tiada pilihan, saya memindahkan barangan termasuk televisyen, barangan elektrik selain tilam ke kenderaan ini dan meminta isteri dan anak tinggal di sini,” katanya.

Katanya, bagi memudahkannya serta anak yang masih belajar, dia membuat penyambungan elektrik daripada sebuah bangunan rumah kedai berhampiran bagi membolehkan mereka menggunakan kemudahan seperti kipas, televisyen serta lampu di dalam kenderaan itu.

Menurutnya, kenderaan itu juga memiliki kemudahan WiFi bagi memudahkan anak menggunakan komputer riba untuk mentelaah pelajaran.

“Sebelum ini, kami hidup senang, tetapi kini saya tiada pilihan dan memindahkan keluarga ke kenderaan ini buat sementara waktu dan saya berharap mendapat tempat tinggal lebih sesuai dan selesa pada masa depan.

“Jika mahu menyewa rumah, kami diminta menyediakan deposit selama tiga bulan dan pada masa ini saya memang tidak mempunyai wang mencukupi,” katanya.

Shukor berkata, keluarganya berharap ada pihak tampil membantu meringankan beban mereka.

“Biarpun sibuk bekerja, saya kerap meninjau keadaan anak kerana bimbangkan keselamatan mereka di dalam kenderaan ini,” katanya, semalam.

Sementara itu, Norlela berkata, dia dan adik-beradiknya sering membeli makanan di luar memandangkan ibu mereka menghadapi kesulitan untuk memasak di dapur dalam kenderaan berkenaan.

“Harapan saya supaya kami sekeluarga dapat berpindah ke tempat tinggal lebih selesa,” katanya ketika menerima kunjungan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim.

myMetro 25 Apr 2014


‘Tak selesa untuk anak’

Johor Bahru: Kenderaan rekreasi (RV) tidak sesuai dijadikan sebagai tempat tinggal bagi tempoh lama kerana bukan saja berisiko, malah boleh mengundang masalah tidak diingini terutama kanak-kanak.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengurusan sebuah sekolah berkaitan tiga pelajar mereka daripada satu keluarga yang dikatakan menjadikan RV sebagai tempat tinggal.

Menurutnya, hasil tinjauan JKM mendapati RV berkenaan diletakkan di tepi bangunan rumah kedai di Taman Nusa Idaman di sini.

“Ia tidak sesuai dijadikan tempat tinggal kerana boleh menimbulkan kesulitan kepada ahli keluarga.

“Tambahan pula, empat daripada ahli keluarga berkenaan masih belajar iaitu seorang di sekolah rendah dan tiga lagi di sekolah menengah.

“Kami difahamkan pasangan suami isteri berkenaan juga kerap berurusan di luar dan kadang kala meninggalkan anak mereka dalam kenderaan itu,” katanya.

Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan keselamatan ahli keluarga berkenaan.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan ketua keluarga berkenaan mencari rumah sewa di sekitar kawasan berkenaan.

“Kami dapati ahli keluarga berkenaan juga tidak selesa tinggal dalam kenderaan itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya Dr Zaini Abu Bakar berkata, pihaknya akan mengunjungi keluarga berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Kami berusaha menyalurkan bantuan selepas meninjau keadaan mereka,” katanya, semalam.

myMetro 25 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment