April 20, 2014

Enam termasuk budak cedera kereta terbabas

Kenderaan yang rosak teruk akibat kemalangan yang berlaku di Jalan Jelapang-Chemor tengah hari semalam.

IPOH - Enam termasuk dua kanak-kanak cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Jelapang-Chemor tengah hari semalam.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu seorang wanita berusia 28 tahun yang turut membawa anak lelakinya berusia tiga tahun hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, akibat pelanggaran itu, sebuah lagi kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 31 itu berpusing dan melanggar pengadang besi sebelah kiri jalan.

Menurutnya, kereta yang dipandu lelaki terbabit turut membawa isteri, 31,  anak berusia empat tahun serta seorang wanita warga Indonesia berusia 37 tahun dipercayai pembantu rumah keluarga berkenaan.

“Kereta yang dipandu lelaki terbabit dalam perjalanan dari Taman Mas menghala ke Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, kemalangan itu turut mengakibatkan kereta yang dipandu wanita terbabit berpusing dan berhenti dalam keadaan menghala balik ke Ipoh.

“Dua kanak-kanak lelaki terbabit masing-masing mengalami kecederaan luka dahi kiri dan bengkak serta luka di kepala.

“Pemandu lelaki patah tulang rusuk kanan, tumit kaki retak dan luka di muka. Isterinya patah tangan kanan, luka di muka dan leher manakala wanita warga Indonesia hanya cedera di kepala.

“Manakala, pemandu wanita pula hanya mengalami calar dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menaiki dua ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara tidak cermat.

Sinar Harian 20 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment