April 23, 2014

Bekas ketua rumah panjang ditemui mati

MARUDI: Seorang bekas ketua rumah panjang Padang Kerbau B di kawasan Poyut/Lubok Nibong yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke kebunnya yang hanya mengambil masa kira-kira 5 minit dari kediamannya pada Selasa lepas ditemui mati tidak jauh dari kawasan dia dikatakan hilang.

Mayatnya ditemui sekitar pukul 1.15 malam pada Ahad oleh pasukan mencari dan menyelamat yang telah melakukan operasi selama 4 hari 3 malam.

TR Alfonso Deli Sigah, 69, dipercayai mengikuti isterinya, Bejau Rimong, 58, dan anak perempuan sulungnya, Seniah Deli ke kebun mereka pada hari dia dikatakan hilang.

Menurut Seniah, mendiang bapanya kurang sihat selepas mengalami strok beberapa tahun lalu namun masih boleh bergerak dengan menggunakan tongkat.

Dia berkata sebelum mayat bapanya ditemui, mereka mendapatkan khidmat bomoh dan melakukan upacara begawai dalam usaha untuk mengesannya.

Kehilangan bapanya menyebabkan komuniti kaum Iban di kawasan berkenaan berada di dalam ketakutan kerana ia adalah kes yang kedua berlaku di situ, katanya.

Katanya, kejadian pertama membabitkan seorang lelaki warga emas, Kanang Empikau, dari Rumah Entika Maoh, Sg Poyut A yang hilang selepas memasang perangkap ikan ‘bubu’ di sebuah anak sungai berdekatan dan belum ditemui sehingga kini.

Sementara itu, bagi pihak keluarganya, Seniah mengucapkan terima kasih kepada polis, anggota Bomba dan Penyelamat serta penduduk rumah panjang dari Lugan Tungga, Lobang Kompeni, Sg Poyut, Rumah Baran dan Padang Kerbau A, termasuk saudara mara dari dekat dan jauh yang telah membantu dalam operasi mencari mendiang bapanya.

Sumber The Borneo Post 15 Apr 2014


0 comments:

Post a Comment