April 20, 2014

Bas persiaran masuk gaung, seorang maut

Keadaan bas ekspres dua tingkat selepas terjunam ke dalam gaung di Jalan Kuantan-Segamat.




Foto The Star dan NSTP

PEKAN - Seorang pelancong maut selepas bas persiaran yang dinaiki terjunam ke dalam gaung di Km 70 Jalan Kuantan-Segamat, di sini hari ini, iaitu nahas kedua membabitkan bas dalam tempoh tidak sampai 24 jam di Pahang.
 
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman mangsa yang terbunuh ialah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, manakala 37 penumpang lain serta dua pemandu bas itu cedera.
 
Kejadian berlaku pukul 4.30 petang ketika bas dua tingkat yang membawa 38 pelancong Singapura itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Redang, Terengganu, katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini.
 
"Bas berkenaan dipandu oleh pemandu kedua yang dipercayai warga tempatan.
 
"Apabila sampai di tempat kejadian bas itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter," katanya.

Selepas menerima laporan, 10 buah ambulans dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Hospital Pekan dan Hospital Muadzam Shah serta tiga jentera bomba dari Kuantan, Pekan dan Chini digegas ke lokasi kejadian, katanya.
 
Beliau berkata kesemua penumpang berjaya dikeluarkan dalam tempoh dua jam dan operasi menyelamat ditamatkan pada 6.45 petang tadi.
 
Katanya mereka yang cedera dibawa ke HTAA.
 
Untuk rekod ini nahas bas yang ketiga dalam tempoh seminggu di negeri ini.
 
Pada 12 April lepas, tiga maut selepas bas ekspres dua tingkat dari Putrajaya ke Kota Baharu, Kelantan, terbabas dan terbalik di Km 11, Jalan Bentong-Raub.
 
Dalam kejadian 12.30 malam itu, 10 penumpang turut cedera parah.
 
Nahas kedua pukul 1.15 pagi semalam turut membabitkan bas ekspres yang menyebabkan tiga cedera parah dan 13 lagi cedera selepas bas yang dinaiki terbabas dan terbalik beberapa kali sebelum terjatuh dan tersangkut di dalam longkang dalam kejadian di Km 116 Lebuhraya Pantai Timur.
 
Bas ekspres itu membawa 27 penumpang. - Bernama

20 Apr 2014


Nahas bas: Mangsa terpaksa keluar ikut tingkap

KUANTAN - Seorang pelancong Singapura terpaksa bertarung nyawa untuk menyelamatkan diri dengan keluar menerusi cermin tingkap bas yang pecah apabila bas persiaran yang dinaikinya terjunam ke dalam gaung di KM 70, Jalan Kuantan-Segamat, di sini hari ini.
 
Mengimbas kembali detik cemas tersebut, Karthiksan, 27, berkata ketika kejadian pemandu bas berkenaan memandu dengan perlahan dan keadaan jalan raya adalah baik.
 
"Secara tiba-tiba bas hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter dan menyebabkan bas berpusing beberapa kali.
 
"Saya terkejut dan ingatkan sudah mati, kami terus keluar daripada cermin bas yang sudah pecah untuk menyelamatkan diri," kata warga India itu yang bekerja di sebuah syarikat perisian komputer di Singapura kepada Bernama.
 
Rakannya, S Balaji, 29, berkata beliau tersedar daripada tidurnya apabila bas itu mula hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung.

"Ada di antara penumpang lain menjerit ketakutan, kami terus keluar daripada cermin tingkap yang pecah untuk menyelamatkan diri," katanya.
 
Dalam nahas yang berlaku kira-kira 4.30 petang tadi, seorang pelancong lelaki berusia 30-an maut manakala 39 orang lagi termasuk dua orang pemandu mengalami kecederaan.
 
Bas berkenaan yang dipercayai dipandu oleh pemandu warga tempatan sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Singapura. - Bernama

20 Apr 2014


Golek ke gaung

“Bas berpusing beberapa kali ketika terhumban ke dalam gaung. Dalam keadaan cemas, saya hanya mampu menjerit,” kata penumpang bas persiaran dua tingkat yang hanya mahu dikenali sebagai Karthiksan, 27, yang cedera apabila kenderaan itu terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kilometer 70, Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Ladang Sungai Jernih, dekat sini, semalam.

Kejadian jam 4.30 petang yang mengorbankan seorang pelancong warga United Kingdom, Harry Christopher Woolhouse, 32, itu berlaku apabila bas berkenaan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu terjunam ke dalam gaung ketika tiba di lokasi berkenaan.

Difahamkan, bas yang membawa 40 penumpang dari United Kingdom, Perancis, Cina, India dan Singapura termasuk dua pemandu itu, dalam perjalanan dari Pulau Redang, Terengganu ke Singapura.

Karthiksn yang berasal dari Madurai, India, berkata, bas berkenaan dipandu secara perlahan sebelum tiba-tiba tergelincir sebaik tiba di tempat kejadian sebelum terjatuh ke dalam gaung yang dipenuhi kelapa sawit.

“Berderau darah saya, ketika itu sudah terbayang maut, namun saya bersama penumpang lain yang duduk di tingkat atas dapat keluar melalui cermin bas yang pecah,” katanya.

Dia yang bekerja di sebuah syarikat perisian di Singapura berkata, semua penumpang bercuti di Pulau Redang selama tiga hari dua malam sejak Khamis lalu dan dijangka tiba di Singapura tengah malam tadi.

Rakannya, S Balaji, 29, berkata, ketika kejadian dia tidur dan tersedar apabila bas berkenaan bergoyang sebelum terhumban ke dalam gaung.

Mangsa yang bekerja di Singapura berkata, keadaan ketika itu kelam-kabut dengan jeritan penumpang yang cuba menyelamatkan diri dengan keluar melalui cermin bas yang pecah.

“Saya sudah empat tahun bekerja di Singapura dan sudah menjadi kelaziman, saya gemar melancong dan kali ini membawa rakan senegara dari Madurai, India.

“Sedar-sedar, bas sudah jatuh ke dalam gaung.

Saya tidak menyangka memori indah bercuti di pulau peranginan terkenal itu berakhir dengan tragedi ini,” katanya.

Pemandu bas yang hanya mahu dikenali sebagai Along pula berkata, kejadian berlaku begitu pantas apabila dia hilang kawalan selepas bas menuruni kawasan bukit di tempat kejadian.

Menurutnya, ini menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terhumban dari tebing jalan ke dalam gaung di kiri jalan raya itu.

Sementara itu, jurugambar The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Luqman Hakim Zubir, antara orang pertama tiba di tempat kejadian jam 4.45 petang berkata, dia melihat cermin tingkap bas itu pecah dan mayat seorang penumpang lima meter dari bas itu.

“Beberapa penumpang yang cedera berada di luar bas.

Keadaan amat kecoh dan beberapa penunggang motosikal berhenti membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap sebelum ambulans tiba tidak lama kemudian,” katanya.

myMetro 21 Apr 2014


Drebar bas bebas dadah

Pekan: Pemandu bas persiaran dua tingkat yang terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter sehingga mengorbankan nyawa seorang pelancong warga United Kingdom, di Kilometer 70, Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Ladang Sungai Jernih, dekat sini, petang kelmarin, disahkan negatif dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Yahaya Othman berkata, keputusan ujian air kencing pemandu kedua berusia lingkungan 30 tahun itu diperoleh selepas dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Pekan, kelmarin.

 Menurutnya, pemandu terbabit masih mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, bersama lima mangsa lain kerana mengalami kecederaan di pinggang.

myMetro 22 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment