April 20, 2014

Alas perut dengan biskut

Norhani (kanan) setia menjaga ibunya yang mengidap penyakit strok dan Alzheimer di rumahnya dekat Kampung Nyalas, kelmarin.

JASIN - "Ada kalanya kami sekeluarga hanya alas perut dengan biskut," demikian luahan seorang ibu tunggal di Kampung Nyalas, dekat sini, yang tabah menjaga ibunya termasuk dua anak yang masih bersekolah.

Menurut Norhani Lajah, 44, walaupun hidup susah, namun dia bersyukur kerana berpeluang menjaga ibunya, Dara Idir, 70, yang diserang penyakit strok dan Alzheimer sejak tahun lalu.

Norhani yang tidak bekerja berkata, dia bernasib baik kerana adiknya turut membantu memberi wang perbelanjaan setiap bulan, selain menerima bantuan bulanan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM).

"Tetapi itu masih lagi tidak mencukupi lebih-lebih lagi ibu terpaksa menggunakan lampin pakai buang dan kosnya semakin tinggi.

"Kami hanya mampu beli biskut jika belanja bulanan tidak mencukupi. Saya memang nak kerja tetapi mak memerlukan penjagaan rapi. Pernah juga mencuba kemahiran menjahit namun tidak berjaya.

"Sebab itu saya amat berharap supaya bantuan bulanan JKM dapat ditambah," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Adun Asahan, Datuk Ghafaar Atan, kelmarin.

Sementara itu, Ghafaar berkata, pihaknya simpati dengan nasib menimpa keluarga terbabit, namun mereka juga tidak boleh hanya mengharapkan bantuan JKM semata-matanya.

"Noraini perlu mengambil inisiatif mencari pekerjaan yang boleh dilakukan di rumah dan dalam masa sama menjaga serta mengawasi ibunya yang sakit.

“Saya juga menyarankan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Nyalas, membantu Noraini dengan mencadangkan pekerjaan sambilan seperti membungkus makanan dan sebagainya tanpa perlu dia keluar dari rumah,” katanya.

Sinar Harian 20 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment