January 31, 2013

Pekerja tongkang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai


BINTANGOR: Seorang lelaki berusia 54 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai dari sebuah tongkang di Telok Bulat awal pagi semalam.

Menurut sumber dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, mereka menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pagi semalam dan berkejar ke tempat kejadian bersama beberapa orang anggota dengan sebuah bot untuk bergabung dengan agensi-agensi lain dalam operasi mencari dan menyelamat.

Mangsa berbangsa Melayu dari Jalan Sentosa, Sibu.

Dia dikatakan terjatuh pada kira-kira jam 3 pagi. Isterinya, Norita Abdullah, 55, membuat laporan polis di Balai Polis Bintangor.

Menurut Norita, sehari sebelum kejadian, suaminya telah melaporkan diri untuk bekerja sebagai kru tongkang tersebut.

Operasi mencari dan menyelamat terdiri dari polis, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung dan sehingga kini mayat mangsa masih belum dijumpai, tambahnya.

Sumber The Borneo Post 31 Jan 2013

Dua sahabat didakwa rogol gadis bawah umur


GEORGETOWN - Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur di bilik sewa, sebuah pangsapuri di Sungai Dua di sini, dua minggu lalu.

Roslan Md Yunus, 32, dituduh merogol seorang gadis berusia 17 tahun kira-kira jam 6.35 pagi, 13 Januari lalu.

Seorang lagi tertuduh, Muhamad Ellas Muhamad Yusof, 24, dituduh merogol mangsa yang sama kira-kira jam 6.30 pagi, di tempat dan tarikh yang sama.

Mereka dituduh secara berasingan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur.

Jika sabit kesalahan, dua sahabat terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Sinar Harian 31 Jna 2013

Jeritan selamatkan nyawa


Azizah mencari barangan kemas miliknya yang tidak dapat diselamatkan dalam kejadian kebakaran 11 Januari lalu.

MUAR – Tanggal 11 Januari lalu pasti tidak dapat dilupakan Azizah Mohd Aroff, 59, yang terselamat dalam kejadian kebakaran melibatkan dua deretan rumah yang hampir meragut nyawanya di Jalan Abdul Rahman, dekat sini.

Dalam kejadian itu, Azizah seolah-olah diberi peluang kedua apabila jeritan ibu saudaranya, Hapsah Mohamed, 84, yang juga salah seorang mangsa kebakaran itu menyelamatkannya yang sedang tidur.

Biarpun terselamat dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, Azizah melecur di tangan ketika cuba menyelamatkan dokumen penting walaupun usahanya itu tidak berjaya.

Akibat kejadian itu, dia kehilangan kediaman pusaka yang dihuninya sejak lahir dan menanggung kerugian hampir RM 50,000.

“Tidak ada satu pun barangan yang dapat diselamatkan dan saya hanya mampu melihat rumah hangus dijilat api dalam linangan air mata.

“Walaupun sedih, tetapi sangat bersyukur kerana ALLAH masih panjangkan umur saya dan ibu saudara yang  terselamat dalam kejadian ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Azizah yang belum mendirikan rumah tangga dan menetap sendirian di rumah berkenaan berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku berpunca dari ubat nyamuk lingkaran yang dipasang ibu saudaranya terjatuh di atas tilam.

“Ibu saudara terjaga dari tidur apabila terkena percikan api yang sedang membakar tilam.

“Pada mulanya, ibu saudara cuba memadamkan api tetapi gagal kerana api marak terlalu cepat sebelum  merebak ke rumah saya ”katanya.

Menurutnya, kejadian yang menimpanya dan ibu saudara mendapat perhatian beberapa pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bantuan wang tunai termasuk Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim.

"Buat ketika ini saya menumpang tinggal di rumah anak saudaranya di Kampung Seri Menanti, dekat sini.

“Saya sudah mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan rumah baru dari Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan berharap ia dapat diluluskan segera,” katanya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Rogol: Bekas tentera kekal penjara 20 tahun, tujuh sebatan


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan tujuh sebatan yang dikenakan terhadap bekas anggota tentera yang didakwa merogol seorang kerani selepas melanggarnya dengan sebuah kereta, dua tahun lepas.
 
Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menolak rayuan tertuduh, Che Mohd Sufian@Che Bastian Che Rashid, 31, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen di sini selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu di akhir kes pembelaan.
 
Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya P.Viknesvaran dan peguam Adenan Ismail.
 
Amelia, dalam penghakimannya berkata Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid tidak terkhilaf ketika mensabitkan tertuduh atas pertuduhan yang dihadapi dan menjatuhkan hukuman terhadapnya pada 13 Dis 2011.
 
Beliau berkata faktor mitigasi yang dikemukakan Adenan bahawa anak guamnya kehilangan pekerjaan setelah disabitkan bersalah bukanlah faktor mitigasi yang diambil kira mahkamah kerana ia adalah akibat perbuatan yang dilakukannya sendiri.
 
Tertuduh didakwa merogol wanita berusia 31 tahun itu di sebuah rumah di Jalan AU 25/26, Ampang antara 7.20 pagi dan 8.30 pagi, 20 Nov 2011.
 
Berdasarkan perbicaraan kes, ketika mangsa sedang berjalan di Jalan Gurney untuk ke tempat kerja, tiba-tiba dia dilanggar sebuah kereta milik tertuduh dan kemudian mangsa jatuh lalu tertuduh mempelawa untuk membawanya ke hospital.
 
Namun, mangsa tidak dibawa ke hospital sebaliknya dibawa ke rumah tertuduh.
 
Sejurus tiba di rumah itu, tertuduh membenamkan muka mangsa di atas tilam dan mengikat tangan mangsa ke belakang dengan menggunakan pita pelekat lalu merogolnya.

Pada 7 Ogos tahun lepas tertuduh memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi mengurangkan hukuman. - Bernama

31 Jan 2013

Pekerja pusat internet bebas tuduhan bakar rumah Ahmad 100


KUALA LUMPUR - Seorang pekerja pusat internet dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini daripada tuduhan membakar pintu rumah sewa seorang lelaki, yang didakwa ketua kumpulan Ajaran Ahmad 100, Mac tahun lalu.

Majistret Nurul ‘Ain Abdul Rahim membebaskan Mohd Abu Bazrah Ahmad Zakki, 29, selepas mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes tersebut.

Ketika membuat keputusan itu, Nurul ‘Ain berkata, mahkamah berpendapat bahawa keterangan tertuduh bahawa dia berada di tempat kerja semasa kejadian dengan sokongan alibi dan saksi alibi serta demenaour yang ditunjukkan adalah fakta yang benar.

“Mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan saksi-saksi pembelaan, dan mahkamah percaya tiada keraguan terhadap keterangan saksi, yang merupakan bekas pengikut kumpulan Ahmad 100.

"Oleh itu mahkamah berpendapat bahawa keterangan tertuduh dan saksi-saksi ada kredibiliti, justeru tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Abu Bazrah dilihat menekup tangan ke wajah sambil menarik nafas lega selepas mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.

Mohd Abu Bazrah didakwa melakukan khianat dengan api, dengan cara membakar pintu rumah sewa milik Ahmad Shahrizal Ya Shah, 34, yang menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM50.

Kejadian didakwa berlaku di rumah bernombor 204, Blok B4, Seksyen 4,  Wangsa Maju, sekitar jam 8.30 pagi pada 28 Mac tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, dan denda, jika sabit kesalahan.

Seramai empat saksi pendakwaan, dan lima saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuli manakala tertuduh diwakili peguam Wan Ahmad Shamril Wan Afzam Wan Hasim.


Sinar Harian 31 Jan 2013

Ibu Anak Empat Didakwa Cederakan Jiran


MELAKA: Seorang ibu beranak empat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap tuduhan mencederakan jirannya menggunakan kayu.

Norlilah Md Shariff, 46, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Rosni Mahmud, 50, di belakang sebuah rumah di Kampung Bachang, pada 8.30 pagi 24 Januari lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM9,000 kerana tertuduh menyebabkan mangsa mengalami cedera di lengan kanan ketika kejadian.

Bagaimanapun, Norlilah yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ishak Kari merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan tersebut atas alasan anak guamnya yang berniaga kecil-kecilan perlu menanggung empat anak.

Katanya suami tertuduh juga diisytiharkan muflis pada 2003.

Hakim Zaharah Hussain kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes. BERNAMA

31 Jan 2013

Pemuda maut motosikal rempuh sekumpulan kerbau

Rakan mangsa, Azmani mengutip serpihan motosikal mangsa di tempat kejadian di Kampung Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu. Gambar Kecil: Mohd Wafi

KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu jualan Astro maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh sekumpulan kerbau yang melintas jalan di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, di sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira- kira jam 3 pagi itu, mangsa, Mohd Wafi Adha Abd Wahab, 26, menunggang motosikal berseorangan dalam perjalanan dari arah Manir, menghala ke rumahnya di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal tidak sempat mengelak sekumpulan kerbau yang sedang melintas jalan.

“Mungkin faktor cuaca yang masih gelap menyebabkan mangsa tidak nampak ada sekumpulan kerbau sedang melintas dari kanan, ke kiri jalan.

“Mangsa yang hanya menyedari kewujudan haiwan ternakan itu apabila tiba dalam jarak yang terlalu hampir tidak sempat mengelak lalu melanggar salah seekor daripada haiwan terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zamri berkata, akibatnya, mangsa tercampak ke atas jalan dan mati di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk dibedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa, Rokiah Mohamed, 49, berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa yang buruk menimpa anaknya itu, meskipun panggilan telefonnya tidak dijawab mangsa.

“Kebiasaannya sebelum sampai simpang masuk ke rumah, arwah akan menelefon atau menghantar khidmat pesanan ringkas menyuruh makcik membuka pintu, tetapi malam tadi (semalam), dia tidak telefon dan panggilan makcik juga tidak dijawab,” katanya.

Rokiah berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk menimpa anaknya, Mohd Abdul Wafi Adha Abd Wahab, 26, ketika panggilan yang dibuat tidak dijawab kerana menyangka mangsa akan membalas panggilan itu.

“Tidak lama selepas itu ada orang datang ke rumah memberitahu Wafi terlibat dalam kemalangan jalan raya dan saya bergegas ke tempat kejadian, tetapi ketika sampai, arwah sudah tidak bernyawa. Bagaimanapun, kami redha dengan pemergiannya,” katanya.

Menurutnya, malam sebelum kejadian, arwah keluar kira-kira jam 10.30 malam untuk minum bersama rakan-rakan, namun tidak nampak perubahan ketara pada sikapnya kerana dia seorang yang peramah dan periang.

Menurut Rokiah, anak sulong daripada enam beradik itu memang rapat dengan semua adiknya dan juga saudara mara serta penduduk di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir.

“Semasa kejadian, arwah hendak pulang ke rumah dari bandar Kuala Terengganu dan difahamkan bertembung dengan sekumpulan kerbau yang melintas jalan di kampung ini, Kampung Banggol Tuan Muda.

“Disebabkan keadaan gelap dan arwah tidak sempat mengelak, berlaku kemalangan menyebabkan dia meninggal di situ,” katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan jam 11.00 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Tuan Muda, Kuala Terengganu.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Azmani Muda, 35 berkata, haiwan ternakan sering dilihat berkeliaran di laluan Jalan Manir – Batu Enam, Kuala Terengganu.

“Sepatutnya penternak tidak membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran kerana membahayakan pengguna jalan raya.

“Kawasan ini juga difahamkan sering berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan,” katanya.

Sinar Harian 1 Feb 2013




Pelajar UiTM Ditemui Lemas Di Chendering


Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa. Gambar kecil; Muhamad Fitrie Jusoh.

Maut ditelan ombak

KUALA TERENGGANU - Hasrat empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Chendering, melepaskan tekanan belajar dengan bermandi manda di Pantai Chendering, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa, Nor Mohamad Fitrie Jusoh, 23, dari Lorong Che, Sekolah Kebangsaan Pasir Hor, Kelantan, pelajar semester tiga, Diploma Pengurusan Pejabat ditemui terdampar di pesisir pantai selepas hampir tiga jam operasi menyelamat dijalankan, iaitu kira-kira jam 10.50 malam.

Menceritakan detik kejadian, seorang rakan mangsa, Syarul Hanif Zukifli, 20, berkata, sebelum kejadian, hanya dia bersama dua lagi rakan termasuk mangsa mandi manakala seorang lagi berada di darat, sekadar memerhati.

“Ketika itu ombak sangat tenang dan hampir sejam mandi, kami ambil keputusan naik ke darat untuk pulang kerana cuaca makin gelap.

“Namun, dalam keseronokan untuk pulang, tiba-tiba kami dapat rasakan ombak makin kuat menarik kami semua,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, dalam keadaan kelam kabut, mereka bertiga masing-masing cuba menyelamatkan diri melawan ombak.

“Saya suruh arwah naik ke atas belakang badan saya namun dia hanya sempat memaut seketika sebelum dibawa arus.

“Beberapa kali saya dan dua lagi rakan cuba menyelamatkannya namun dia semakin jauh dihanyutkan arus dan selepas itu kami gagal melihatnya lagi kerana hari semakin gelap,” katanya.

Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, pada petang itu, hanya tiga sahabat itu sahaja dilihat mandi di kawasan pantai berkenaan berikutan pengunjung lain masih takut kerana keadaan ombak tidak menentu.

“Sebelum kejadian, saya hendak menegur mereka bertiga supaya tidak terlalu lama mandi kerana ombak besar.

“Kebiasaannya pada musim peralihan monsun sebegini, penduduk setempat tidak akan mandi di kawasan pantai itu berikutan risiko berlaku kemalangan jiwa agak tinggi,” katanya.

Menurutnya, disebabkan hari semakin gelap, orang ramai yang berada di kawasan itu tidak dapat membantu untuk menyelamatkan mangsa sebelum bertindak menghubungi bomba.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Zulkhairul Razilah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 7.34 malam.

“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dikerahkan ke lokasi kejadian untuk bantuan.

“Pada jam 10.50 malam, anggota penyelamat berjaya menjumpai mayat mangsa terdampar di pesisir pantai, iaitu lebih kurang 50 meter dari lokasi mereka mandi dan pada jam 11.03 malam, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sinar Harian 1 Feb 2013

Mayat Wanita Dijumpai Di Tepi Jalan Ke Taman Dusun Setia

Keadaan mayat Rojamalap ketika ditemui di lokasi kejadian.


SEREMBAN - Seorang wanita ditemui mati di tepi jalan dekat Taman Dusun Setia, di sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, mangsa, Rojamalap Maniam, 48, ditemui dalam keadaan terbaring dengan muka berlumuran darah oleh orang awam kira-kira jam 1.14 pagi.

“Mangsa yang lengkap berpakaian telah dijumpai di tepi jalan menghala ke Taman Dusun Setia, di sini berdekatan Taman Forest Height.

“Siasatan awal mendapati, semasa kejadian, segala dokumen penting kepunyaan mangsa masih ada bersamanya,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Menurut Hamdan, mangsa yang beralamat terakhir di Taman Dusun Setia telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini untuk bedah siasat.

“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kematian, dan orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden terbabit,” katanya.

Sinar Harian 1 Feb 2013




Tiada arahan beri warga asing kad pengenalan


Kota Kinabalu: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing di Sabah semalam diberitahu, pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing di negeri ini tidak mendapat arahan mana-mana pihak.

Sebaliknya, pengeluaran dokumen pengenalan diri itu didalangi sindiket yang turut membabitkan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengaut keuntungan.

Perkara itu diberitahu saksi ke-33 dan ke-34 prosiding RCI Pendatang Asing di Sabah iaitu bekas pegawai Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Zakaria dan Deputi Superintendan Badaruddin Ismail yang menjalankan soal siasat terhadap beberapa kakitangan JPN pada 1996.

Dalam prosiding semalam, Ibrahim yang kini Ketua Cawangan Khas Polis Sarawak, berkata beliau ditugaskan mengambil keterangan bekas Pengarah JPN Sabah, Datuk Abd Rauf Sani serta dua lagi individu yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam operasi membanteras pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing di negeri ini.

“Abd Rauf mengaku mengeluarkan 6,305 kad pengenalan dan mendapat RM167,300. Beliau turut mengaku ia bagi mengaut keuntungan dan tidak beritahu ada mendapat arahan pihak tertentu,” katanya.

Beliau menjawab soalan pegawai pengendali, Manoj Kurup pada prosiding RCI Pendatang Asing di Sabah di Kompleks Mahkamah di sini.

Sementara itu, Badaruddin berkata, bekas Pengarah JPN Sabah, Ramli Kamaruddin yang ditemu bualnya pada 1996 mengaku mengeluarkan 16,000 resit 1/9 (resit sementara kad pengenalan) dan resit 1/11 (resit sementara kad pengenalan hilang) kepada warga Indonesia, Filipina, Pakistan dan India.

“Ramli beritahu resit itu dijual RM250 setiap satu dan mereka mengumpul lebih RM1 juta hasil daripada penjualannya,” katanya yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan .

Badaruddin juga memberitahu, Ramli menyatakan tidak mendapat arahan sesiapa termasuk pemimpin negara dalam mengeluarkan resit sementara kad pengenalan kepada warga asing sekitar 1993 sehingga 1995.

“Ramli beritahu 14,000 resit diberi secara berkelompok kepada kakitangan JPN lain, manakala 2,000 lagi diserahkannya sendiri kepada individu yang menemuinya di pejabat.

“Pertama, ia diagihkan sesama kakitangan dan kedua bagi kegunaan peribadinya (Ramli). Beliau juga pernah menaja kakitangan JPN ke pesta sukan di Pulau Pinang,” katanya.

Berita Harian 30 Jan 2013

‘Heroin kurma’ 80kg


Kuala Lumpur: Taktik licik satu sindiket dadah antarabangsa membungkus heroin seperti buah kurma sebelum dibawa masuk ke negara ini menggunakan label buah sama gagal selepas 11 warga asing ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, Sabtu lalu.

Semua mereka iaitu lapan warga Nigeria dan tiga warga Mongolia berusia antara 21 hingga 38 tahun itu dipercayai membawa masuk dadah berkenaan untuk pasaran tempatan selain diseludup ke China dan Vietnam.

Anggota sindiket terbabit ditahan kira-kira jam 1.30 pagi dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Jalan SS12, Jalan SS15, Subang Jaya; Damansara dan Puchong.

Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 80 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM3.2 juta.

Pengarahnya, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, tujuh daripada suspek adalah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan selebihnya bekas pelajar IPT di negara ini.

myMetro 31 Jan 2013


Dadah jadi kurma


KUALA LUMPUR – Sekali pandang bentuknya sama seperti kurma tetapi sebenarnya ia merupakan dadah jenis heroin yang dibentuk menyerupai buah tersebut.

Dadah bernilai hampir RM3.2 juta itu diseludup masuk melalui Pelabuhan Klang  sebulan yang  lalu.

Pemeriksaan imbasan di pelabuhan juga memaparkan imej buah tersebut, sama seperti yang diikrar pada borang kastam.

Bagaimanapun taktik sindiket penyeludupan antarabangsa itu dapat dihidu polis selepas lebih 80 kilogaram ‘buah’ tersebut dirampas, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sindiket itu dapat dikesan dan disekat  melalui kerjasama dengan pihak kastam Pakistan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan di beberapa rumah teres dan kondominium di sekitar Subang Jaya, Damansara dan Puchong.

Katanya, dalam serbuan bermula kira-kira jam 1.30 pagi itu, polis menahan lapan lelaki warga Nigeria dan tiga termasuk seorang lelaki warga Mongolia.

“Siasatan mendapati heroin  itu dibawa masuk dari Pakistan melalui jalan laut. Ia dimuatkan di dalam kotak bersama kurma asli.

“Dadah ini akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan sebahagiannya akan dibawa ke luar negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Noor Rashid berkata, semua suspek berusia antara 21 dan 28 tahun itu merupakan pelajar dan bekas pelajar di beberapa buah kolej di ibu negara.

“Dua wanita warga Mongolia itu dipercayai akan menjadi keldai dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang menyiasat rangkaian sindiket dan mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan tersebut.

Semua suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Kakitangan hospital Saratok maut kemalangan


SARATOK: Seorang kakitangan sebuah hospital di sini meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya selepas terlibat dalam satu kemalangan di KM53 Jalan Saratok-Sarikei  semalam.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Rahmat Zainal, 26 dari Kampung Melango Saratok.

Dalam kemalangan tersebut, mangsa sedang memandu sebuah kereta jenis Proton Waja dari Saratok ke Kabong apabila keretanya terbabas dan terjunam ke dalam sebuah gaung berhampiran Ulu Lun, Saratok.

Dikatakan keretanya melanggar sebuah saluran paip air yang sedang dalam pembinaan sebelum terjunam menyebabkan keretanya rosak teruk.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian membantu mengeluarkan mangsa walaupun mereka takut yang kereta berkenaan kemungkinan akan meletup.

Pada ketika itu, mangsa dikatakan masih sedar dan dihantar ke hospital oleh orang ramai.

Mangsa dikatakan meninggal dunia setibanya di hospital.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan seorang anak.

Ketika dihubungi semalam, jurucakap Polis Daerah Saratok mengesahkan kejadian.

Polis masih menyiasat punca kejadian.

Sumber The Borneo Post 31 Jan 2013

Jururawat nyaris maut kereta bertembung lori

Mangsa tersepit di tempat duduknya sementara anggota Bomba dan Penyelamat sedang berbincang tentang kaedah yang sesuai untuk mengeluarkannya






KUCHING: Seorang jururawat nyaris maut ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja selepas keretanya bretembung dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Batu Kitang pagi semalam.

Jururawat yang berusia 26 tahun itu bertugas di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan, sedang menuju pulang ke Kampung Peninjau Lama di Bau apabila kejadian berlaku pada kira-kira jam  9.30 pagi.

Menurut saksi, kemalangan berlaku apabila Proton Persona yang dipandu jururawat tersebut hilang kawalan ketika melalui sebuah selekoh menyebabkan keretanya terbabas ke laluan yang bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.

Pertembungan itu menyebabkan keretanya remuk dan dia yang tersepit terpaksa dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat.

Sebuah ambulans kemudian mengejarkannya yang hanya patah kaki kanan ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan.

Dalam satu kejadian berasingan, seorang pekerja ladang terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah klinik selepas digigit oleh seekor ular pada Selasa malam.

Ketika kejadian mangsa sedang berjalan pulang ke kuarters pekerja di sebuah ladang sawit di Sadong Jaya pada kira-kira 9.30 malam apabila seekor ular dipercayai tedung telah mengigit kaki kanannya.

Dalam kesakitan, mangsa mengagahkan diri pulang ke kuartersnya dan rakan sekerjanya kemudian menghantarnya ke sebuah klinik sebelum dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak.

Dia dilaporakn berada dalam keadaan stabil.

Sumber The Borneo Post 31 Jan 2013

Kanak-kanak hilang selepas jaja kuih


Mazhanizam memegang gambar anak lelakinya Mohd Zafran Fakhrullah yang hilang sejak 5 Januari lalu.

KOTA BHARU –Seorang ibu terpaksa menanggung rindu dan tidak dapat tidur lena apabila anak lelakinya berusia 12 tahun hilang hampir sebulan lalu setelah tidak pulang ke rumah selepas keluar menjaja kuih.

Ibunya, Mazhamizan Mokhtar berkata anak keduanya, Mohd Zafran Fakhrullah Zulkarnaim tidak pulang ke rumah sejak 5 Januari lalu selepas menjalankan kegiatan rutinnya menjual kuih yang dibuatnya menggunakan basikal di sekitar Pengkalan Chepa.

Mazhanizam berkata, biasanya walaupun menjual kuih sehingga lewat malam dia akan pulang ke rumah terlebih dulu sebelum berjumpa dengan rakannya-rakannya mahupun bermalam di rumah kenalannya.

“Dia membantu saya menjaja kuih dengan basikal dan akan pulang seperti biasa jam 10 malam atau 11 malam, namun pada hari kejadian, sehingga jam 1 pagi, Zafran masih tidak pulang ke rumah.

"Saya bimbang dengan keselamatannya kerana sekarang ini macam-macam kejadian yang berlaku dan peristiwa yang dilaporkan oleh media menjadikan kami lebih takut," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mazhamizan memberitahu, dia menjadi bertambah bingung kerana anak kedua daripada empat beradik itu mengingati nombor telefonnya dan akan memaklumkan kepadanya jika pulang lewat mahupun sebaliknya.

Malah lebih menyedihkannya apabila anaknya itu tidak sempat menemui bapa kandungnya yang meninggal dunia selepas dua minggu dia menghilangkan diri.

"Saya usaha mencari di rumah rakan-rakan tetapi mereka memaklumkan tidak pernah berjumpa dengan Zafran. Jadi kami nekad meletakkan gambar Zafran di kedai-kedai kopi dan merata tempat. Sehingga hari ini tidak ada yang tampil berikan maklumat jadikan saya semakin takut," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, pada mulanya dia ingatkan anaknya itu ada di rumah saudara-maranya namun selepas 10 hari gagal menemuinya dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

“Saya hanya bermimpi yang anak saya kini dibawa jauh dari sini. Saya mahu melihat dia cemerlang dalam pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini,” katanya.

Murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Chempaka itu, mempunyai parut di sebelah kiri pipi, berkulit gelap dan mana-mana individu yang pernah melihatnya diharapkan boleh menghubungi ibunya di talian 0129559671 dan 0129556672 dengan segera.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Ajal lepas urut badan

Polis dibantu penduduk kampung mengangkat mayat Ngah sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan punca kematian.

DUNGUN – “Dia kerap menyebut soal mati dalam sehari dua ni, tak sangka pula dia benar-benar mahu pergi,” kata Che Kah Mohd Yatim, 65, balu kepada arwah Ngah Muhammad, seorang nelayan yang menemui ajal selepas berurut dekat sini.

Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari berlaku ketika mangsa mahu pulang ke rumah selepas berurut dengan Zakaria Jusoh, 71, berdekatan sebuah resort.

Che Kah berkata, sebelum itu, dia bersama arwah suaminya ke bandar Dungun untuk membeli baja tanaman sebelum singgah di rumah saudaranya dekat Seberang Pintasan.

Menurutnya, selepas itu arwah mengajaknya ke rumah tukang urut yang lebih dikenali sebagai Pok Ya.

“Semasa ingin pulang dan ketika hendak menghidupkan enjin, tiba-tiba dia rebah.

“Saya kemudiannya meminta bantuan Pok Ya, kerana melihat dia dalam keadaan tidak bermaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Pok Ya yang terkejut dengan kejadian itu berkata, arwah sebelum ini menghidap strok dan sedang menjalani proses pemulihan melalui kaedah urutan tradisional yang diusahakannya.

“Ketika sedang mengurut, dia sempat berseloroh dengan saya, katanya nak beli harimau mainan nak letak dalam kebunnya.

“Tak sangka pula selepas dia masuk kereta, tiba-tiba dia tidak bermaya lalu menemui ajal sebelum sempat pulang ke rumahnya di Merchang,” katanya.

Arwah sebelum ini difahamkan turut menghidap asma dan beberapa kali dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Mayat Ngah kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Tidak sangka anak sendiri

Mariani menenteramkan anaknya yang terbaring menahan kesakitan.

SUBANG JAYA – “Melihat orang ramai berkerumun di tepi persimpangan lampu isyarat menyebabkan saya terdetik membuat pusingan U ke tempat itu, memang tidak sangka pelajar dilanggar sebuah motosikal itu adalah anak saya sendiri," kata Mariani Jantan, 46.

Menurutnya, ketika kejadian dia baru sahaja menghantar anak perempuannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ23 yang terletak berhampiran.

Dalam perjalanan balik, dia memberitahu terserempak dengan orang ramai berkumpul di Persiaran Harmoni berdekatan sebuah stesen minyak seolah-olah melihat kejadian kemalangan.

Berasa tidak sedap hati, Mariani berkata, dia yang menunggang motosikal membuat pusingan U dan menuju ke arah orang ramai itu.

Tanpa diduganya, mangsa kemalangan yang dilanggar itu adalah anak lelakinya sendiri, Mohd Syariful Azwa Haslan, 15, yang terbaring menahan kesakitan.

“Saya baru sahaja hantar anak ke sekolah, tidak sangka dalam perjalanan balik ke rumah terletak di Kampung Tengah berselisih dengan anak yang terbabit kemalangan.

“Anak saya cedera di muka dan kepala. Dia dihantar ke Hospital Serdang oleh ambulans yang tiba beberapa minit selepas itu,” katanya.

Sementara itu, desakan penduduk supaya sebuah jejantas dibina di laluan itu sebelum ini ada asasnya berikutan kerap berlaku tragedi di laluan itu.

Penduduk, Muhammad Noor, 47, berkata, bukan sekali, dua atau tiga kali tetapi lebih empat kali dia melihat kejadian kemalangan membabitkan pelajar berlaku di situ.

Menurutnya, apabila perkara itu dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab, jawapan diterima adalah tiada peruntukan untuk membina jejantas di situ.

Apa dikesalinya, pihak itu tidak meningkatkan ciri keselamatan bagi memudahkan pelajar dari beberapa kampung berhampiran melintas jalan besar untuk ke sekolah di USJ 23.

Jelasnya, kenderaan datang dari arah Puchong sering dipandu laju menyebabkan kadangkala ada yang tidak sempat memperlahankan kereta apabila menyedari pelajar melintas.

“Saya desak pihak bertanggungjawab lakukan sesuatu dan tidak biar pelajar terus berisiko serta menggadaikan nyawa mereka untuk pergi dan pulang ke sekolah.

“Mungkin jika tiada peruntukan bina jejantas, tindakan lain boleh dilakukan supaya tidak ramai lagi menjadi mangsa di sini,” katanya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Rayu Norfara pulang

Samsudin menunjukkan gambar Norfara yang menghilangkan diri sejak Disember tahun lalu. Gambar kecil: Norfara

BALING - Seorang bapa merayu agar anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga setelah dia menghilangkan diri sejak 3 Disember tahun lalu.

Samsudin Mohd Daud, 40, dari Kampung Bendang Man berharap anaknya, Norfara Izati, 17, pulang berikutan terlalu rindu dengan anak sulungnya itu, selain gadis itu juga bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Menurutnya, dia tidak mengetahui punca anaknya itu keluar dari rumah, sedangkan tiada sebarang perselisihan faham berlaku sebelum ini.

“Saya dan keluarga tidak pernah bergaduh dengan dia (Norfara) sebelum ini. Hubungan dengan dua adiknya yang lain juga baik.

“Disebabkan itu, saya bingung setiap kali memikirkan mengenai tindakannya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Norfara hanya memaklumkan ingin ke rumah rakannya di Kulim selama tiga hari sempena cuti persekolahan.

“Namun, Norfara tidak pulang pada hari sepatutnya. Saya cuba menghubunginya tetapi gagal. Saya yakin, dia telah menukar nombor baru,” katanya.

Samsudin yang bekerja kampung itu bimbang sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini kepada anaknya.

“Pelbagai usaha saya gunakan termasuk menyebarkan risalah tetapi tiada sebarang respons sehingga kini. Ibunya, Siti Zubaidah Syukur, sering menangis setiap kali mengingati Norfara,” katanya.

Menurutnya, dia amat berharap sesiapa yang pernah terlihat Norfara dapat menghubunginya secepat mungkin di talian 019-5231370 ataupun isterinya di talian 019-4315433.

Norfara mempunyai ketinggian kira-kira 150 meter, bertubuh kecil dan berkulit cerah.

Sebelum ini, Sinar Harian turut pernah melaporkan kisah seorang pelajar tingkatan enam dari Kampung Ubi Jalan Felcra Weng yang bertindak keluar rumah selepas berlaku perselisihan faham dengan adiknya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Mayat rentung dalam kereta

Orang ramai datang ke tempat kejadian untuk melihat kereta yang terbakar, malam kelmarin.

KLUANG - Polis menemui mayat rentung dalam sebuah kenderaan yang terbakar di kawasan jalan masuk ke ladang kira-kira 100 meter dari jalan utama Jalan Mengkibol-Simpang Renggam, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, kejadian tersebut disedari kira-kira jam 7.30 malam,  hasil maklumat orang awam yang melihat sebuah kenderaan terbakar dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kluang telah bergegas ke tempat kejadian.

“Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, polis menemui satu mayat yang dipercayai lelaki berusia dalam lingkungan 60-an ditemui rentung di bahagian tempat duduk pemandu.

“Hasil siasatan awal, polis mendapati kejadian tersebut tidak mempunyai unsur jenayah dan dikategorikan sebagai mati mengejut.

“Namun, polis akan melakukan pemeriksaan DNA berikutan mayat tersebut sudah 100 peratus terbakar, menyukarkan pihak kami untuk mengenal pasti bangsa mayat tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Abdul Majid berkata, siasatan akan dijalankan Unit Forensik Polis dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat, bagi mengetahui punca kejadian sebenar.

“Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan hari ini (Khamis) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang bagi mengetahui punca sebenar dan sekiranya mempunyai unsur jenayah maka polis akan menyiasatnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Akub Sedek berkata, pihaknya mengambil masa hampir 10 minit untuk memadamkan kebakaran tersebut.

“Seramai lapan anggota Bomba dan Penyelamat ditugaskan dan telah diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 2, Rahman Mat Zin bagi memadamkan kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Tindakan pantas bapa selamatkan isteri, anak

Hassan (kiri) menemani Jasmin (tengah) melihat rumah adiknya yang hangus terbakar di Kampung Paya semalam.

SUNGAI DUA - Terjaga daripada tidur selepas tercium bau plastik terbakar telah menyelamatkan nyawa keluarga seorang warga emas dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Paya di sini malam kelmarin.

Hassan Hussin, 63, berkata, bagaimanapun kebakaran pada jam 10.30 malam yang bermula dari rumah adiknya, Salleh Hussin, 59, yang terletak bersebelahan rumahnya turut menyebabkan dia mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila bahagian tepi dinding rumahnya musnah.

Dia yang merupakan pesara Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkata, sekitar jam 9.30 malam kelmarin dia bersama isteri,Saripah Abdul Rahman, 59, dan anak bongsu mereka, Aniza, 24, terhidu benda terbakar.

“Ketika itu kami tiga beranak sedang berbual di luar rumah apabila terhidu plastik terbakar.

“Kami kemudiannya berusaha mencarinya sehingga ke rumah Salleh yang dijadikan stor menyimpan peralatan perniagaan pengantin yang terletak bersebelahan namun tidak menjumpai apa-apa,” katanya.

Menurutnya, sekitar jam 10.30 malam selepas baru setengah jam melelapkan mata, bau plastik terbakar itu semakin kuat membuatkan dia mengejutkan isteri dan anak untuk sekali lagi mencari punca bau itu.

“Sebaik keluar, saya dapati api menjulang tinggi di bahagian atas rumah adik yang tak berpenghuni itu sebelum merebak membakar dinding rumah saya kemudiannya.

“Saya kemudian bertindak pantas membawa isteri dan anak keluar dari rumah kami dan menjerit meminta pertolongan jiran,” katanya.

Menurutnya, penduduk kampung cuba membantu memadamkan api tetapi gagal sebelum ketibaan pihak bomba kemudiannya yang berjaya mengawal api dari turut membakar rumahnya.

Sementara itu Pegawai Operasi Bomba, Balai Bomba Kepala Batas, Pegawai Bomba Kanan 2,Abdul Aziz Ismail berkata, pihaknya mengalami sedikit kesukaran dalam operasi memadam api rumah adik Hassan kerana punca air terletak agak jauh.

“Bagaimanapun dengan tindakan pantas pasukan bomba sukarela dari Kepala Batas, Kuala Muda dan penduduk kampung kami berjaya mengawal api dari turut membakar rumah Hassan walaupun rumah adiknya musnah dalam kejadian itu.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat kerana selain rumah itu hangus pelbagai barangan perniagaan yang disimpan di dalamnya turut musnah terbakar,” katanya.

Kejadian malang itu mendapat simpati segera dari Adun Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamad yang segera turun padang bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) pejabat Kepala Batas menghulurkan bantuan segera.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Kaki lembik selepas 40 hari

Che Narma menghabiskan masanya di atas katil akibat penyakit kencing manis dan saraf, dengan ditemani anak kedua di Kampung Pangkal Mempelam, di sini.

MACHANG - Seorang ibu muda, Che Narma Daud, 30, terpaksa bergantung hidup kepada suami dan dua anaknya bagi meneruskan hidup, apabila tidak dapat berjalan seperti biasa sejak tujuh bulan lalu di Kampung Pangkal Mempelam, di sini.

Che Narma berkata, kedua kakinya menjadi lembik selepas 40 hari dia melahirkan anak ketiganya akibat penyakit kencing manis dan masalah saraf.

Katanya, akibat masalah itu, dia terpaksa menyerahkan bayinya kepada kakak ipar yang tinggal berdekatan.

“Saya langsung tidak boleh berdiri apatah lagi berjalan.

“Kehidupan saya hanyalah di atas katil ini sehinggalah saya mendapat bantuan kerusi roda yang disampaikan Ketua Umno Bahagian Machang, baru-baru ini.

“Jika suami keluar bekerja, saya hanya akan duduk di atas katil ini, dengan ditemani anak kedua yang berusia lima tahun,” katanya.

Che Narma berkata, anak kecil itulah yang akan membantunya jika dia ingin membuang air besar dan kecil.

Menurutnya, dia  tidak menggunakan lampin pakai buang, memandangkan tiada siapa yang boleh menukarkan untuk dirinya, di samping harganya yang mahal.

“Anak saya akan mengambil besen dan dialah yang membuangkannya ke tandas. Suami tidak dapat menjaga saya sepenuh masa, memandangkan dia perlu bekerja mencari nafkah buat keluarga.

“Sebelum keluar bekerja, dia menyediakan semua keperluan saya termasuk makanan,” katanya.

Che Narma berkata, ketika sihat, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk berniaga dan pembantu kedai makan bagi mencari rezeki  membantu meringankan beban perbelanjaan suami.

Katanya, biarpun berat untuk ditelan namun dia menerima dugaan tersebut dengan redha, dan berharap akan sembuh suatu hari nanti demi anak-anak yang sedang membesar.

Menurutnya, anak sulung, Nor Asyikin Akmal Mohd Aswadi, 9, banyak membantunya termasuk memasak nasi dan hidangan tengah hari untuk keluarga selepas balik dari sekolah, memandangkan suaminya bekerja hingga lewat petang.

“Saya kasihankan keluarga terutamanya anak-anak. Sepatutnya saya yang menjaga mereka, namun sebaliknya berlaku.

“Dengan pendapatan yang tidak menentu suami, dia terpaksa menanggung beban perbelanjaan yang bukan sedikit, apatah lagi kami juga tinggal di rumah sewa dan membuat sedikit pinjaman Amanah Ikhtiar memandangkan saya berniaga sebelum jatuh sakit.

“Adik beradik turut membantu kami, namun mereka juga hidup susah,” katanya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Nasi ayam ada bakteria koliform


AYER KEROH - Gara-gara menjual makanan mengandungi bakteria koliform, dua pengusaha kantin sekolah berasingan di negeri ini  dijatuhi hukuman denda masing-masing RM6,000 dan RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Tan Boon Nee, 51, dan Pang Kin Lin, 62, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap masing-masing tiga dan satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.

Boon Nee yang berhadapan tiga pertuduhan, didapati menjual ayam nasi ayam yang mengandungi kiraan koliform sebanyak 9,000 cfu/g, ayam goreng (4,000 cfu/g) dan sosej ayam keju (23,000 cfu/g) kepada pegawai berkuasa, P Ganesan.

Bakteria koliform biasanya menyebabkan pesakit mengalami demam, kejang perut, cirit-birit yang ada kalanya bercampur darah serta jangkitan kuman pada usus dan uterus.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C) Cheng kira-kira jam 9.10, 9.15 dan 9.20 pagi pada 2 Ogos 2011.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13B(1) yang dibaca bersama Seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983 (Pindaan) 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13B(4) akta sama, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili pelatih dalam kamar (PDK) merayu mahkamah mengurangkan denda berikutan tertuduh janda dan perlu menyara dua anak.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan negeri, Che Saipolliza Derman meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira keselamatan murid.

“Selain membabitkan sekolah dan keselamatan kanak-kanak, saya mohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada pengusaha kantin sekolah yang lain supaya lebih menjaga kebersihan,” katanya.

Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua-dua belah pihak, Majistret Syajaratudur Abd Rahman kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau satu bulan penjara bagi setiap pertuduhan dihadapi Boon Nee.

Sementara itu, dalam prosiding berbeza, Kin Lin didakwa menjual sosej ayam mengandungi 160 cfu/g di kantin Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Malim kira-kira jam 10.05 pagi pada 2 Ogos 2011.

Kin Lin yang didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen yang sama turut memohon hukuman diringankan kerana kurang berkemampuan.

Syajaratudur kemudian mengarahkan tertuduh didenda RM2,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan dihadapinya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Ibu tunggal 9 anak dicekup bogel



BESUT - Usaha seorang wanita berusia 54 tahun bersembunyi di bawah katil untuk mengelak diberkas pasukan pencegah maksiat di sebuah rumah dekat Kampung Anak Musang, Jabi di sini, gagal apabila ditangkap dalam keadaan berbogel.

Wanita berstatus ibu tunggal yang dikatakan sudah mempunyai sembilan anak itu hanya menutup badannya dengan kain selimut ketika bersembunyi.

Sepasukan pegawai dan anggota Penguat kuasa Syariah Pejabat Agama Daerah Besut membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu jam 12.05 malam selepas mendapat maklumat orang ramai.

Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah berkata, ketika sampai di depan rumah, anggotanya  mendapati pintu utama rumah tertutup rapat dan berkunci dari dalam.

Menurutnya, selepas dua minit diberi salam, seorang lelaki yang tidak berbaju dan berseluar hitam membuka pintu rumah.

“Dia memberitahu hanya seorang diri dalam rumah berkenaan tetapi pemeriksaan di dalam sebuah bilik, menemui wanita berkenaan sedang bersembunyi di bawah katil yang hanya  menutup tubuhnya dengan kain selimut,” katanya.

Azmi berkata lagi, siasatan lanjut mendapati mereka bukan suami isteri atau muhrim.

Pasangan wanita itu seorang tukang rumah berusia 56 tahun seorang duda beralamat di Kampung Beting Lintang, manakala wanita berkenaan bekerja sebagai penoreh getah.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Besut dan kes disiasat di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzil) Terengganu 2001 kerana percubaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Mayat berulat tergantung


NILAI – Mayat seorang lelaki dalam keadaan berulat dan reput dijumpai tergantung  di sebatang pokok di satu kawasan semak berhampiran pencawang elektrik di Taman Cempaka di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata,  mayat lelaki tanpa identiti itu dijumpai oleh awam jam 7.20 petang selepas terhidu bau busuk.

“Ketika ditemui mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan lehernya tergantung dengan seutas tali nilon yang diikat di dahan sebatang pokok,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Yusoff berkata, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga atau rakan-rakan diminta menghubungi polis dan datang ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dekat sini untuk pengecaman.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Tak sempat ragut kali ketiga


BERA - Polis berjaya menangkap seorang penganggur berusia 27 tahun yang dipercayai turut terlibat dalam dua kes ragut di sekitar Triang pada 25 dan 26 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Yusof berkata, suspek ditahan di kawasan berdekatan bangunan CIMB dan Maybank dekat Triang ketika berlegar-legar dengan sebuah motosikal jenis Honda Wave dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, suspek didapati memiliki sebilah pisau sepanjang 18 sentimeter dalam raga motosikalnya, selain kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Siasatan awal mendapati suspek turut terlibat dengan dua kejadian kes ragut yang dilakukan selama dua hari berturut-turut iaitu pada 25 Januari dengan bertindak meragut beg tangan seorang pekerja wanita di sebuah kedai cermin mata semasa mangsa sedang menutup kedai di Jalan Bandar Triang Lama.

“Sementara pada keesokan harinya pula, suspek mengugut seorang lagi mangsa wanita dengan pisau setelah gagal meragut beg tangan milik mangsa di Jalan Lama Temerloh-Bahau, dekat Taman Triang Maju,” katanya kepada media selepas Program Perhimpunan Bulanan PDRM, semalam.

Zakaria berkata, pihaknya percaya suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk mengelirukan pihak polis, selain menutup kegiatannya di mata masyarakat.

Katanya, suspek yang beralamat di Taman Seri Bera, Kerayong itu sudah berkeluarga tetapi tidak mempunyai pekerjaan.

“Suspek ditahan reman selama empat hari untuk disoal siasat dan sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen Samun 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kes jenayah yang direkodkan dari 1 Januari hingga semalam berjumlah 18 kes dengan tiga kes berjaya diselesaikan.

Pada program semalam, seramai 21 anggota dan tiga kakitangan awam menerima Sijil Anugerah Khidmat Cemerlang sementara 15 orang awam menerima sijil penghargaan atas usaha mereka mewujudkan pentas dan landskap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Sinar Harian 31 Jan 2013

Suami isteri kempunan



KUANTAN- Sepasang suami isteri yang mengusahakan perniagaan kedai runcit terpaksa melupakan untuk menikmati keuntungan hasil penjualan rokok seludup apabila 882 paket rokok pelbagai jenama bernilai RM996.52  dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Rampasan itu dilakukan selepas premis mereka di Jalan Kampung Pelindung Indah, Taman Pelindung Indah di sini diserbu agensi penguat kuasa itu,  9 Julai lalu.

Tidak cukup dengan kerugian itu, pasangan terbabit, Mohd Sukeri Md Keya, 36 dan isterinya, Azizah Sharip, 35 yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam juga terpaksa menjelaskan denda RM11,000 setiap seorang bagi mengelak dikenakan hukuman 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Hukuman  dibuat Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah manakala pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Mohd Khairuddin Niesha Mohd Shafee.

Mereka yang diwakili peguam, Nur Munirah Mustaffa dituduh menyimpan bahan yang dilarang pengimportannya seperti yang dinyatakan dalam Butiran 1, Jadual Keempat Perintah Kastam 2008 di bawah kaunter pembayaran kedai itu sebelum ditemui pegawai agensi tersebut dalam pemeriksaan yang dijalankan.

Susulan penemuan tersebut, mereka ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan dan dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali dan tidak lebih 20 kali nilai rampasan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Nur Munirah dalam mitigasinya memohon pertimbangan mahkamah supaya mengambil kira faktor pengakuan bersalah pasangan tersebut untuk  hukuman yang lebih ringan.

Menurutnya, pasangan tersebut mempunyai empat anak yang masih kecil berusia dua hingga enam tahun dan bergantung sepenuhnya kepada keuntungan hasil perniagaan mereka sekitar RM2,000 sebulan.

“Mereka juga menyesal atas kesalahan yang dilakukan dan pengakuan bersalah itu membuktikan mereka sudah sedar akan kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Khairuddin dalam hujah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan terhadap pasangan tersebut memandangkan aktiviti menjual rokok seludup semakin berleluasa belakangan ini.

“Berdasarkan kajian, kes penjualan rokok seludup ini menunjukkan peningkatan sehingga 62 peratus dan negara kehilangan pendapatan sehingga RM2 bilion,” katanya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

Laut merah masih melanda Pantai Barat Sabah


KOTA KINABALU: Fenomena air merah atau ‘red tide’ masih melanda di perairan Pantai Barat Sabah terutamanya kawasan perairan Papar, Putatan, Kuala Penyu, Sepanggar dan Tuaran.

Ketua Cawangan Jaminan Kualiti Jabatan perikanan Sabah, Boniface Jintony berkata orang ramai perlu mengelakkan daripada mengambil makanan laut yang disahkan mempunyai toksin berlebihan seperti kerang, siput dan ikan-ikan kecil.

“Setakat ini, kawasan perairan di Kuala Penyu dan Tuaran menunjukkan kandungan toksin yang agak tinggi dalam kerang-kerangan iaitu masing masing mencatat 4,420 dan 3,836 unit Mouse (MU).

“Keadaan ini dijangka akan berterusan sehingga Mac ini, namun ia adalah bergantung dengan keadaan cuaca,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo kelmarin.

Justeru katanya, orang ramai dinasihat sentiasa mengikuti arahan dan amaran yang diberi pihak berkuasa ekoran fenomena air laut merah terbabit.

“Pihak kita akan sentiasa melakukan pemantauan dan amaran akan dikeluarkan dari semasa ke semasa untuk keselamatan orang ramai,” katanya.

Fenomena laut merah berpunca daripada kehadiran sejenis organisma satu sel yang dinamakan phytoplankton dinoflagellate di dalam air laut.

Mereka yang memakan hidupan laut yang dicemari toksin berkenaan akan mengalami keracunan ‘paralytic shellfish poisoning’ (PSP) dan jika tahap toksin yang tinggi boleh menyebabkan lumpuh atau kematian.

Tahun lalu, kejadian laut merah telah telah mengorbankan dua mangsa berusia 14 dan 9 tahun yang dipercayai memakan kerang yang diperoleh dari kawasan perairan Sepanggar.

Utusan Borneo 31 Jan 2013

Mahkamah tolak rayuan dua lelaki sebabkan kematian suami isteri



KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini kelmarin mengekalkan hukuman penjara ke atas dua lelaki tempatan atas kesalahan menyebabkan kematian.

Panel Hakim Mahkamah Rayuan terdiri Datuk Lim Yee Lan, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Rohana Yusof, membuat keputusan itu terhadap Mohd Hardy Poniman dan Janat Tugis, selepas menolak rayuan kedua-dua perayu.

Terdahulu, Hardy dan Janat yang tidak diwakili peguam, merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi. Hardy dipenjara 12 tahun manakala Janat dipenjara 16 tahun bagi setiap kesalahan.

Kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan.

Kedua-duanya mengaku bersalah menyebabkan kematian Lee Chee Chiong @ Li Chi Chong, 80, dan Moliah Gamul, 41, di sebuah rumah di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu pada pada 9 Julai 2002 jam 5.00 pagi.

Hardy dalam rayuannya berkata, sepanjang berada di dalam penjara beliau amat menyesali perbuatannya selain kini kenal erti kehidupan.

Dia juga meminta agar hukumannya dikurangkan kerana beliau datang dari keluarga yang miskin dan perlu membantu keluarga memandangkan beliau anak yang sulung.

Sementara Janat merayu agar hukumannya dikurangkan kerana ibu bapanya telah tua dan perlu membantu keluarga membesarkan adik-beradik. Dia juga telah insaf dengan perbuatannya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi yang mengendalikan pendakwaan kes berkenaan berkata, mangsa adalah sepasang suami isteri yang telah dibunuh dengan kejam di rumah mereka sendiri.

“Malah mengikut laporan bedah siasat yang dibuat keadaan kedua-dua mangsa adalah sangat parah dan mengerikan.

“Lee (suami) mengalami pelbagai kecederaan di bahagian badan dan kepala manakala Moliah mendapat 21 kesan kecederaan di bahagian belakang selain dua jarinya putus,” katanya.
Menurutnya, Mahkamah Tinggi dahulu telah menjatuhkan hukuman yang mengambil kira kepentingan awam ke atas kedua tertuduh.

Atas kesalahan itu, Hardy dan Janat didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Utusan Borneo 31 Jan 2013

Nelayan keluar memukat dikhuatiri lemas


PUTATAN: Seorang nelayan dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas ketika keluar memukat berhampiran Kuala Putatan, di sini pada Selasa lepas.

Alias Maidin, 60, dari Kampung Tebongon difahamkan hilang setelah bot dinaikinya karam di lokasi berkenaan sekitar jam 10 malam.

Dipercayai, bot dinaiki mangsa terlanggar tunggul kayu yang diletakkan di situ sebagai penanda aras bagi sempadan para nelayan di situ.

Bagaimanapun, hanya bot mangsa telah ditemui kira-kira jam 11 malam pada hari yang sama, namun mangsa belum ditemui.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penampang, Jamaludin Hussin berkata sepasukan unit skuba telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari sejak 8 pagi Rabu lalu.

Operasi terbabit turut melibatkan pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan beberapa penduduk kampung yang akan disambung pada jam 7 pagi hari ini.

Utusan Borneo 31 Jan 2013



Nelayan hilang di Putatan dijumpai mati

KOTA KINABALU — Mayat seorang nelayan warga emas yang dilapor hilang di Putatan dua hari lepas, ditemui semalam.

Menurut jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika dihubungi, mayat Alias Maidin, 60, ditemui di Pulau Manukan pada kira-kira 4 petang oleh pasukan itu dan dibawa ke jeti polis marin di sini pada kira-kira 6 petang.

Anggota keluarga Alias dihubungi bagi mengenal pasti identiti mangsa sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.

Alias, dari Kampung Tebongon, dilapor hilang selepas botnya karam ketika memancing di sebuah sungai di Putatan pada kira-kira 10 malam, 30 Jan lepas.

Bot yang dipercayai terlanggar tunggul kayu, dijumpai nelayan lain pada kira-kira 11 malam selepas Alias hilang.

APMM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Sabah dan polis marin serta penduduk kampung melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa selama tiga hari. — BERNAMA

2 Feb 2013

Bayi bot laju


KAKITANGAN HK mengusung Liban selepas melahirkan anak ketiganya, semalam.

Kapit: Kecekapan dan pengalaman kakitangan Klinik Kesihatan Song menyelamatkan nyawa seorang wanita yang tiba-tiba mengadu sakit perut sebelum melahirkan anak dalam bot laju ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Kapit (HK) di Sungai Rajang, di sini, semalam.

Liban anak Reban, 31, dari Rumah Panjang Sudin, Nanga Sipan, dekat sini, selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.10 kilogram yang juga anak ketiga dalam bot ekspres milik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ketika dalam perjalanan dari Klinik Kesihatan Song ke HK, pada jam 9.47 pagi.

Sumber berkata, sebelum itu, Liban diiringi dua jururawat klinik kesihatan berkenaan membuat pemeriksaan rutin kandungannya yang masuk minggu 35 di Hospital Kapit.

“Mengikut rekod kesihatan wanita berkenaan, dia dijangka bersalin pada 3 Mac depan dan ketika tiba di Klinik Kesihatan Song keadaannya dilaporkan stabil serta tidak menunjukkan tanda mahu bersalin.

“Namun, ketika dalam perjalanan, tiba-tiba wanita itu mengadu sakit perut dan dua jururawat ditugaskan mengiringinya terkejut apabila mendapati dia bersedia untuk melahirkan anak,” katanya.

Katanya, dengan pengalaman dan kecekapan masing-masing, jururawat terbabit membantu wanita berkenaan melahirkan bayi perempuannya sebelum mereka dibawa ke hospi tal bersama seorang doktor yang sedia menunggu di jeti Kapit.

“Setakat ini, dua beranak berkenaan dilaporkan dalam keadaan baik dan ditempatkan di wad bersalin untuk tempoh beberapa hari lagi sebagai langkah pemantauan lanjut,” katanya.

myMetro 31 Jan 2013

Lelaki maut kereta dihempap lori pasir


Kemalangan lori pasir menghempap sebuah kereta sehingga menyebabkan seorang maut berhampiran berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya ini menyebabkan laluan ke pusat bandar di Lebuhraya Persekutuan mengalami kesesakan teruk sepanjang 3 kilometer. - UTUSAN/IZHAM JAAFAR

KUALA LUMPUR — Seorang lelaki maut manakala rakannya parah apabila sebuah lori pasir terbalik lalu menghempap kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka di Lebuhraya Persekutuan, berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini malam tadi.

B. Delvandra Kumar, 41, yang memandu kereta itu maut di tempat kejadian manakala rakannya, juga lelaki, kini dirawat di PPUM.

Difahamkan lori pasir yang tidak membawa muatan itu mengalami kerosakan akibat kotak gear meletup secara tiba-tiba dan terbabas kira-kira 50 meter.

Pegawai operasi pasukan Bomba dan Penyelamat, Zainal Aziz berkata, kejadian pada pukul 9 malam itu menyebabkan pemandu lori gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh penghadang jalan menyebabkan lori itu terbalik ke laluan bertentangan dan menghempap kereta berkenaan.

Beliau berkata, kejadian itu turut melibatkan dua kereta lain apabila sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Harrier dan Perodua Kancil yang berada di belakang kereta itu tidak sempat mengelak lalu merempuh lori terbabit.

"Dua lelaki dan seorang wanita yang berada dalam Toyota Harrier serta seorang wanita yang memandu kereta Kancil tidak cedera,” katanya. — BERNAMA

31 Jan 2013

Kereta kejut tidur


JOHOR BAHRU: Enam sekeluarga yang tidur di ruang tamu terkejut apabila dinding rumah mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kereta Proton Waja putih yang dipercayai dipandu laju itu terbabas sebelum merempuh rumah mangsa di Lorong 1, Kampung Jalan Imam, Pandan, dekat sini.

Kejadian itu menyebabkan semua penghuni rumah terbabit bingkas bangun menyelamatkan diri.

Berikutan itu, pemilik rumah berkenaan, Mohd Faris Jaafar, 58, mendakwa kerugian lebih RM10,000 berikutan kerosakan teruk pada dinding hadapan rumah, sistem bekalan air paip serta bumper dan lampu keretanya yang dirempuh di luar rumah.

Mohd Faris berkata, dia tidak menyangka rumahnya dirempuh sebegitu teruk oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai penduduk berdekatan kampung itu.

“Saya amat bersyukur kerana tidak ada kehilangan nyawa akibat kemalangan itu apa lagi mengenangkan sebilangan besar ahli keluarga saya tidur di ruang tamu rumah malam tadi (kelmarin).

“Malah, anak bongsu saya yang baru berkhatan beberapa hari lalu juga tidur di ruang tamu. Nasib baik, kami tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, isterinya masih trauma kerana sejak menduduki rumah itu lebih 10 tahun lalu, ini kali pertama mengalami kejadian menakutkan sebegini.

“Nasib baik malam tadi tidak hujan lebat. Kalau tidak pasti rumah kami dimasuki air,” katanya.

Sebagai langkah sementara, katanya, dua anaknya memasang kanvas untuk menutup ruang hadapan rumah yang rosak.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan Imam, Yaakob Hashim yang berada di tempat kejadian berkata, beliau difahamkan rundingan dibuat di antara mangsa dengan ahli keluarga pemandu kereta terbabit bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, ahli keluarga pemandu terbabit bersetuju menanggung segala kerosakan pada bahagian hadapan rumah dan kereta mangsa.

myMetro 31 Jan 2013

3 tahun tak pulang


KUALA LUMPUR: “Dia pernah bagi tahu, selagi tidak berjaya dia tak akan pulang ke rumah, namun sehingga kini sudah dua tahun kami sekeluarga tidak mendengar khabar berita darinya,” kata seorang warga emas sebak apabila anaknya, Tengku Shah Haisham Tengku Adnin, 24 menghilangkan diri tanpa khabar berita sejak tiga tahun lalu.

Menurut wanita itu, Jamilah Salim, kehilangan Tengku Shah Haisham membuatkan kehidupan sehariannya terganggu apatah lagi tahun ini sudah tiga kali mereka sekeluarga berhari raya tanpa anak kelima dari enam beradik itu.

“Kali terakhir bertemunya pada sekitar Ogos 2007 ketika dia ingin pulang ke Kuala Lumpur untuk mengambil gaji setelah setahun bekerja di sebuah kopitiam di kediaman kami di Taman Pulai Perdana, Johor Bahru. Katanya, dia akan pulang semula berhari raya pada tahun itu, tetapi tidak muncul dan saya menyangka dia sibuk bekerja.


 “Saya pernah menghubunginya melalui telefon dan diberitahu dia bekerja di sebuah kilang di Shah Alam. Dengan nada bergurau dia memberitahu selagi tidak berjaya dia tidak akan pulang ke rumah, namun tidak menyangka dia benar-benar melakukannya,” kata warga emas itu ketika ditemui di Balai Berita NSTP, semalam.

Menurut Jamilah, dalam tempoh dua tahun dia cuba memahami keadaan anaknya yang dipercayai sibuk bekerja, namun perasaan makin bimbang apabila telefon bimbit anaknya itu tidak dapat dihubungi lagi.

“Kali terakhir menelefonnya, panggilan itu dijawab oleh seorang wanita yang mendakwa talian itu adalah miliknya. Saya merayu padanya pulanglah ke rumah menjenguk kami sekeluarga apatah lagi keadaan saya sendiri yang tidak sihat serta selalu menangis terkenang padanya. “Sebagai ibu saya sentiasa mendoakan agar dia selamat,” katanya yang merayu pada orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana anaknya itu diminta menghubungi talian 010-5305396 (Nora) atau 012-9357874 (Ema).

myMetro 31 Jan 2013

Pangsapuri condong



Shah Alam: Lebih 1,000 penghuni yang mendiami 240 unit pangsapuri di Seksyen 22, Batu 3, di sini, menyifatkan mereka ibarat menunggu ajal setiap hari berikutan keadaan struktur bangunan 15 tingkat itu mulai condong.

Sehingga kini, tiada siapa membantu penghuni Pangsapuri Indahria itu menyebabkan mereka pasrah dan hanya menanti kediaman menyembah bumi, sekali gus memungkinkan tragedi Highland Tower berulang.

Wakil penduduk, Salmah Harun, 35, berkata, mereka mula menduduki pangsapuri itu pada 2009 dan pada tahun sama, masalah mula timbul apabila berlaku retakan pada struktur tempat letak kereta.

“Pemaju ada membaikinya semula kerana ia masih di bawah selenggaraan mereka namun pada tahun lalu mendapan tanah mula berlaku apabila kaki lima beralun manakala cerucuk yang menyokong keseluruhan bangunan mula kelihatan.

“Mendapan menyebabkan sokongan terhadap cerucuk yang mengawal dan menyokong struktur bangunan itu semakin lemah dan akibatnya seluruh bangunan ini mulai condong,” katanya.

Dia yang tinggal di tingkat satu berkata, jika kilat, guruh atau kenderaan berat melalui jalan berhampiran, dia merasai gegaran dan ada kalanya seakan-akan berbuai. Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan Ariffuniza Koraini berkata, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Pejabat Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Katanya, tindakan itu diambil kerana beberapa siri perbincangan sudah diadakan membabitkan kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pemaju, Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) sejak April tahun lalu.

Katanya, melalui perbincangan itu pelbagai persetujuan secara lisan sudah dibuat termasuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk namun tiada gerak kerja fizikal dilakukan.

Menurutnya, antara persetujuan yang dicapai ialah peruntukan kecemasan oleh pihak MBSA sebanyak RM250,000 bagi kerja baik pulih kecemasan pada sistem pembetungan pangsapuri itu yang terjejas akibat rekahan itu.

myMetro 31 Jan 2013


Mendapan teruk perlu lapor PBT

Shah Alam: Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul menasihatkan penduduk Pangsapuri Indahria, Seksyen 22, yang mendakwa rumah mereka mengalami mendapan tanah yang teruk melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, itu langkah pencegahan terbaik bagi mengatasi masalah itu untuk mengelak kemalangan jiwa.

Bagaimanapun, jika terdapat laporan mendapan tanah yang teruk dan ia termaktub di bawah bidang kuasa jabatan itu, pihaknya akan menjalankan tinjauan dan memberikan perkhidmatan sewajarnya.

“Prosedur awal yang perlu mereka ambil ialah memaklumkan mendapan tanah dan rekahan pada bangunan kepada PBT di kawasan pentadbiran masing-masing.

“Pihak bomba hanya bertindak sekiranya terdapat aduan mendapan tanah yang teruk dan kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai punca masalah hakisan tanah, Mohd Sani berkata, ia bergantung kepada keadaan lokasi di kawasan berkenaan.

Katanya, antara punca hakisan tanah ialah daripada pengaliran air bawah tanah dan struktur tanah yang terhakis disebabkan pengaliran air sungai.

myMetro 31 Jan 2013



Pemaju diarah baiki pangsapuri condong

Shah Alam: Kerajaan negeri sudah mengarahkan pemaju pangsapuri Indahria, Seksyen 22, Batu Tiga, di sini, untuk membaiki kerosakan struktur dan mendapan yang berlaku di pangsapuri berkenaan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) petang kelmarin.

Beliau berkata, sekiranya pemaju enggan membaiki kerosakan struktur pangsapuri berkenaan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengambil alih kerja pembaikan itu.

“Kalau MBSA yang menjalankan kerja pembaikan, syarikat pemaju akan dikenakan tindakan dan perlu menanggung kos pembaikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sistem Pengurusan Sosial Negeri Selangor, di sini, semalam.


myMetro 1 Feb 2013


Ibu kendong anak kena ragut



Subang Jaya: Seorang wanita berusia 27 tahun bukan saja kerugian hampir RM8,000 sebaliknya dia dan anak perempuannya berusia empat tahun mengalami kecederaan selepas bergelut dengan peragut yang meragut beg tangannya dalam kejadian di hadapan sebuah tadika di USJ 1, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa dilaporkan sedang mengendong anak perempuannya sebelum seorang lelaki menaiki motosikal cuba meragut beg tangannya.

Sumber berkata, ketika kejadian, mangsa sedang membuka pintu keretanya untuk memasukkan anak perempuannya itu ke dalam kenderaan.

“Tiba-tiba muncul seorang lelaki menunggang motosikal menghampiri mangsa sebelum cuba meragut beg tangannya. Tersentak dengan tindakan itu, mangsa cuba mempertahankan beg tangannya itu menyebabkan berlaku pergelutan,” katanya.

“Disebabkan gagal cubaan pertamanya itu, lelaki terbabit kemudian mengeluarkan sebilah pisau dan melibas senjata berkenaan ke arah mangsa,” katanya.

Sumber berkata, tindakan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di tangan kanan manakala anak perempuan yang sedang dikendong pula terjatuh.

“Sebaik berjaya merampas beg tangan mangsa, lelaki berkenaan terus memecut laju motosikalnya meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya memberitahu anak mangsa mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis USJ 8 dan mendakwa kerugian hampir RM8,000 apabila wang tunai dan telefon bimbitnya dilarikan peragut terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

myMetro 31 Jan 2013

Pencuri tinggal bom tangan



Manjung: Seorang suri rumah bukan saja kerugian RM30,000 apabila rumahnya diceroboh tiga lelaki bersenjatakan pistol, malah terkejut apabila penjenayah itu mengambil gambar dia dan anak-anaknya serta meninggalkan peluru hidup, bom tangan dan bungkusan dadah di ruang tamu rumahnya dalam kejadian di Kampung Pantai, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Suzy, 30-an, berkata, kejadian berlaku ketika dia tidur sebelum terdengar bunyi seakan letupan dari pintu belakang rumahnya.

Menurutnya, dia yang bangun untuk memeriksa terkejut apabila tiga lelaki bertopeng meluru masuk sebelum mengacukan pistol ke arah mukanya.

“Penjenayah memaksa saya duduk sebelum menggeledah bilik tidur. Mereka turut memaksa saya menyerahkan wang tunai dan barang kemas jika tidak mahu dibunuh.

“Saya dan tiga anak perempuan berusia tujuh hingga 13 tahun amat takut ketika itu tambahan pula suami yang menguruskan perniagaan air batu tiada di rumah,” katanya.

Dia mendakwa kumpulan penjenayah itu menggeledah rumahnya lebih 30 minit sebelum memaksanya membuka pintu hadapan rumah.

“Mereka bergegas melarikan diri bersama wang dan barang kemas milik saya yang dianggarkan RM30,000. Namun, sebelum meninggalkan rumah, kumpulan penjenayah itu sempat mengambil gambar kami sekeluarga.

“Tambah pelik apabila mereka turut meninggalkan 10 peluru hidup, bom tangan dan bungkusan dadah di dalam rumah tanpa sebab munasabah,” katanya.

Menurutnya, suspek turut mengugutnya supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

“Saya tidak pasti identiti sebenar penjenayah, namun ada kemungkinan rompakan ini didalangi sindiket ceti haram yang sebelum ini kerap mengganggu kami sekeluarga.

“Malah, beberapa along pernah mengugut suami saya beberapa kali selepas dia menghadapi masalah melunaskan hutang,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, sebelum kejadian itu rumah bapanya yang terletak tidak jauh daripada kediamannya turut disimbah cat merah dan pejabat suaminya turut dipecah masuk awal pagi pada Jun tahun lalu.

Difahamkan, gelagat penjenayah turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar kediaman mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Jaafar Baba mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

myMetro 31 Jan 2013


Gempar wanita kelar tangan



Miri: Orang ramai yang melalui lorong belakang sebuah bangunan di Jalan Brooke, di sini, digemparkan dengan tindakan seorang wanita yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol mengelar pergelangan tangannya menggunakan serpihan botol kaca, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, wanita lingkungan 30-an terbabit dipercayai dalam keadaan mabuk selepas minum minuman keras bersama beberapa rakannya di sebuah kedai minum berhampiran.

Menurut sumber, pada mulanya wanita yang dikatakan hidup bergelandangan itu dilihat bercakap berseorangan dipercayai akibat terlalu mabuk.

“Namun, tiba-tiba wanita itu memecahkan botol minuman keras yang dipegangnya dan mengelar pergelangan tangan kanannya sambil menjerit sehingga menarik perhatian orang ramai yang lalu di kawasan itu.

“Dua rakannya dikatakan cuba menghalang wanita itu daripada terus mencederakan diri sendiri, tetapi tindakan itu menyebabkan seorang daripada mereka turut tercedera,” katanya.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian menghubungi polis dan Hospital Miri apabila mendapati tangan wanita terbabit berlumuran darah.

myMetro 31 Jan 2013

Tangisan bongkar ‘sengsara’ remaja



Petaling Jaya: Tangisan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun membongkar kejadian dia diliwat seorang lelaki menyamar polis yang mengumpan mangsa dengan meminta menunjukkan tempat remaja menghidu gam di bangunan belum diduduki berhampiran PJCC, Taman Medan, di sini, Isnin lalu.

Kejadian malang menimpa mangsa hanya disedari bapanya kira-kira jam 6 petang ketika lelaki itu yang baru pulang ke rumah di Taman Sri Manja, di sini, dari tempat kerja mendapati anaknya sedang menangis dalam biliknya.

Menurut sumber, bapa mangsa berusia 41 tahun kemudian bertanya apa sebab menangis sebelum kanak-kanak itu menceritakan kejadian diliwat seorang lelaki sebelum ditinggalkan di padang bola berhampiran Flat Desa Sepakat, di sini.

“Mangsa mendakwa ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai, dia diekori seorang lelaki sehingga tingkat lima blok kediamannya.

“Lelaki terbabit menegur mangsa dan bertanyakan mengenai gejala menghidu gam di kalangan remaja di kawasan kediaman berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa mendakwa kawasan kediamannya memang banyak kes remaja menghidu gam sebelum lelaki terbabit memintanya menunjukkan lokasinya.

“Mangsa yang menyangkakan lelaki terbabit adalah anggota polis selepas melihat lencana dengan logo pasukan keselamatan itu bersetuju menunjukkan tempat remaja menghidu gam.

“Dia dibawa lelaki terbabit menaiki motosikal menuju bangunan kosong berhampiran PJCC sebelum dibawa ke kawasan sunyi dalam bangunan itu. Seluar mangsa dilucutkan dan diliwat,” katanya.

Sumber berkata, selepas memuaskan nafsunya lelaki terbabit menghantar mangsa pulang.

“Mangsa kemudian pulang sendiri ke rumah dan masuk ke bilik sebelum menangis sehingga disedari bapanya.

Bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya sebelum membawa mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk rawatan.

myMetro 31 Jan 2013

Ayah berhati setan



Kangar: Sukar digambarkan penderitaan mental dan fizikal seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dari Utan Aji, di sini, apabila dijadikan hamba seks oleh ayah kandungnya sejak setahun lalu dengan kejadian terbaru, Isnin lalu.

Selain berulang kali mencabul kehormatan anak bongsunya, lelaki berusia 46 tahun itu turut melakukan perbuatan amat menjijikkan apabila menyumbat lobak merah ke dalam kemaluan mangsa.

Lebih mengaibkan, lelaki terbabit yang juga pemandu lori itu memaksa anaknya merakam segala aksi menggunakan telefon bimbit sebelum rakaman itu dijual kepada rakannya.

Menurut sumber, mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik diperlakukan sedemikian sejak berusia 12 tahun ketika ibunya tiada di rumah dan dipukul jika enggan menuruti kemahuan ayahnya.

“Suspek tidak merogol mangsa, tapi sering menyuruh mangsa berbogel dan meraba kemaluan serta serta payu dara mangsa.

myMetro 31 Jan 2013

January 30, 2013

Remaja 15 tahun rela 'diratah', bapa dakwa anaknya dirogol


IPOH - Seorang gadis berusia 15 tahun dipercayai merelakan tubuhnya diratah oleh sekumpulan enam lelaki di Taman Pancaran Siputih, Pusing dekat sini, antara kelmarin dan semalam.

Pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Simpang Pulai di sini, mendakwa melakukan hubungan seks bergilir-gilir dengan enam lelaki antara jam 11 malam Isnin lalu sehingga 3.30 petang keesokkannya sebelum dihantar pulang ke rumahnya.

Malah, gadis terbabit turut mengakui dia melakukan hubungan seks secara rela dan tiada unsur paksaan daripada lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, pihaknya ada menerima laporan yang dibuat bapa mangsa di Balai Polis Pusing berhubung insiden tersebut.

Sinar Harian 30 Jan 2013

Dera kanak-kanak: Pasangan suami isteri dipenjara 5 tahun


NASIR dan Zarinah dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas tuduhan mendera anak saudaranya.


PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas sepasang suami isteri kerana mendera anak saudara mereka yang berusia dua tahun, tiga bulan lalu.

Majistret K B Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Nasir Abd Majid, 37, dan Zarinah Ab Hadhy, 31, setelah mengaku bersalah melakukan kesalahan itu hingga menyebabkan kecederaan, di sebuah apartment di Damansara Damai, antara 14 Oktober 2012 hingga 27 Oktober tahun lalu.

K B Elena memerintahkan hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 18 Disember tahun lalu.

Mohd Nasir yang bekerja sebagai pemandu lori dan isterinya, suri rumah didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap kedua-dua tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan serius dan faktor mitigasi mereka yang tidak menunjukkan keinsafan.

Ibu kanak-kanak tersebut, yang dipanggil memberi keterangan berhubung keadaan mangsa memberitahu mahkamah bahawa anaknya masih trauma dan tidak normal seperti dulu.

"Penglihatan anak saya masih tidak jelas. Benda jauh dia nampak dekat dan apabila berjalan pun nampak senget.

"Apabila ditanya pada kakak (anak pertama) yang juga dihantar pada penjaga sama (kedua-dua tertuduh), dia memberitahu bahawa adiknya dipukul 'Pak Teh' (tertuduh pertama) dengan kayu penggaru kerana kencing malam," katanya.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana mempunyai tiga anak yang memerlukan jagaan.

Mengikut fakta kes, mangsa dibawa ke Hospital Sg Buloh kerana disyaki terkena penyakit sawan tetapi apabila diperiksa, doktor mendapati mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan di bahagian tengkorak sebelah kanan kanak-kanak itu retak.

Selain itu terdapat kesan lebam dan luka di punggung serta garisan melecur seperti terkena benda panas. - Bernama

30 Jan 2013

Pemerdagangan bayi: Suri rumah 60 tahun dipenjara 14 tahun



SHAH ALAM - Seorang suri rumah berusia 60 tahun yang sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kajang terhadap tiga pertuduhan memperdagangkan tiga bayi, hari ini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini.
 
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Lim Kim Wan selepas mengetepikan keputusan mahkamah sesyen pada 13 April 2012.
 
Pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke mahkamah tinggi pada 20 April 2012 untuk mengetepikan keputusan itu.
 
Pada 17 Mei 2010, Lim mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan memperdagangkan dua bayi lelaki dan seorang bayi perempuan, kesemuanya berumur lima bulan, di sebuah rumah di Taman Jenaris 2, Hulu Langat, pada 31 Julai 2009 dan 3 Ogos 2009.
 
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga dan 20 tahun serta denda.

Abdul Alim turut menolak permohonan Lim bagi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di mahkamah rayuan.
 
Dalam penghakimannya, beliau berkata tertuduh mempunyai lingkaran jaringan yang sangat baik untuk membolehkannya melakukan jenayah itu.
 
"Wang adalah sumber kejahatan anda. Sungguhpun anda silap dengan menyangkakan anda telah menggembirakan pasangan yang tidak mempunyai anak, anda telah memusnahkan keturunan bayi tidak berdosa dengan mendorong sepanjang hayat mereka untuk mempercayai bahawa mereka adalah anak kandung pasangan yang bukan ibu bapa mereka yang sebenar," katanya.
 
Punca rangkaian ini termasuk pasangan tanpa anak itu sendiri, katanya dan menambah, mereka tidak kurang juga dianggap bersalah dan mesti disiasat serta dihadapkan ke muka pengadilan.
 
Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong mewakili pendakwaan manakala peguam Muhammad Affendy Mohd Yusuf mewakili Lim.  - Bernama

30 Jan 2013


'Akar kejahatan awak adalah duit'


SHAH ALAM 30 Jan. - Meskipun sebelum ini pernah dua kali dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan memperdagangkan tiga orang bayi yang baru berusia lima bulan, namun tuah Lian Kim Wan kali ini tidak begitu baik.

Ini kerana, Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan keputusan melepas dan membebaskannya di akhir kes pembelaan oleh Mahkamah Sesyen Kajang sebelum ini dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun berserta denda RM30,000.

Gagal membayar denda, Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah memerintahkan agar hukuman penjara ditambah tiga tahun lagi.

Hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong.

Nenek kepada 30 orang cucu itu yang dinamakan sebagai pihak responden dalam rayuan tersebut diwakili peguam bela, Muhammad Affendy Mohd. Yusop.

Bagi dua tuduhan pertama, Kim Wan telah menjual seorang bayi lelaki dan perempuan di antara pukul 8 dan 9 malam, 31 Julai 2009 di rumah No. 3. Jalan Jenaris 2/1, Taman Jenaris 2, Hulu Langat dekat sini.

Sementara pertuduhan ketiga, kira-kira pukul 8 malam, 3 Ogos 2009 di tempat yang sama, responden telah menjual seorang bayi lelaki. Ketika kejadian, kesemua mangsa berusia lima bulan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun atau melebihi 20 tahun dan boleh di denda.

Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Abdul Alim menyatakan, Kim Wan mengedar manusia untuk hidup mewah.

"Wang adalah akar kepada kejahatan awak. Walaupun awak berfikiran, telah membahagiakan pasangan yang tidak mempunyai anak namun awak telah memusnahkan harapan bayi-bayi yang tidak berdosa.

''Ini kerana, pada masa hadapan akan membuatkan mereka percaya, mereka adalah anak kandung kepada pasangan yang bukan pun ibu bapa mereka yang sebenar,'' katanya.

Hakim Abdul Alim dalam penghakimannya turut menegaskan, kes pemerdagangan bayi sepatutnya dikendalikan seperti kes rasuah iaitu pemberi dan penerima rasuah, bersalah termasuklah mereka yang bersubahat.

Mahkamah juga menurut beliau tidak bersimpati dengan Kim Wan dan hukuman yang dijatuhkan perlu mencerminkan betapa seriusnya jenayah yang dilakukan.

''Kamu perlu meringkuk di penjara dan didenda atas jenayah yang telah kamu lakukan,'' tegasnya.

Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan pihak yang terlibat, Hakim Abdul Alim menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10,000, gagal bayar satu tahun penjara bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua diperintahkan berjalan serentak manakala pemenjaraan bagi tuduhan ketiga bermula selepas hukuman terdahulu selesai.

Hakim itu memerintahkan hukuman berkuatkuasa hari ini dan menolak permohonan peguam bela agar hukuman penjara ditangguhkan.

Utusan 31 Jan 2013

Warga emas maut terhidu asap tebal



Keadaan mayat warga emas yang maut terhidu asap tebal.

KUALA LUMPUR - Seorang warga emas maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Segambut Tengah, Taman Segambut,awal pagi kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata  dalam kejadian  itu, mangsa, Soo Kiat Seng, 64,  ditemui terbaring di ruang bilik tengah di dalam rumah tersebut.

Menurutnya pemeriksaan lanjut mendapati mangsa yang tinggal bersendirian  sudah meninggal dunia dipercayai akibat lemas terhidu asap tebal.

“Jumlah kerugian  tidak dapat dipastikan dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, kebakaran hanya melibatkan bilik tengah rumah terbabit dan bomba berjaya mengawal api dari merebak ke seluruh bahagian rumah itu.


Sinar Harian 31 Jan 2013

Ahli kumpulan rock rompak amah dipenjara 4 tahun



Ampang: Seorang ahli kumpulan rock dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merompak seorang pembantu rumah, tahun lalu.

Hakim Chan Jit Li menjatuhkan hukuman itu selepas Md Nurulazman Saliholdin@Salihaldin, 39, mengaku bersalah terhadap tuduhan terbabit.

Md Nurulazman didakwa bersama seorang yang masih bebas melakukan rompakan ke atas wanita warga Indonesia dikenali sebagai Intan dengan merompak harta milik majikannya yang juga jurutera.

Antara barangan berjenama yang dirompak adalah tiga jam tangan, pen, telefon bimbit, kamera serta barang kemas dengan menggunakan parang.

Perbuatan itu dilakukan di rumah beralamat No 24, Jalan UP 3/3, Ukay Perdana di sini, pada jam 5.30 petang, 31 Oktober tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon hukuman ringan memandangkan dia menyara empat anak berumur antara 13 hingga 21 tahun, serta turut menjaga ibunya yang berusia.

Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu majikan pembantu rumah berkenaan mendapat panggilan telefon daripada isterinya yang memaklumkan wanita itu diikat dua lelaki dan apabila diperiksa, bilik berada dalam keadaan berselerak.

Difahamkan, siasatan lanjut mendapati pembantu rumah itu berseorangan di kediaman terbabit dan ketika memasak dia didatangi dua lelaki dari arah belakang yang terus menutup muka serta mulutnya sebelum diikat di dalam stor menggunakan tali pinggang.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Aliza Ab Kadir Terdahulu, dia juga dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan pecah rumah.

myMetro 30 Jan 2013