October 10, 2013

Peniaga pasar malam nafi liwat anak

Klang: Seorang peniaga pasar malam, mengaku tidak bersalah terhadap 10 tuduhan, membabitkan perbuatan sumbang mahram dan liwat, ketika didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh berusia 48 tahun itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap anak perempuannya sejak berusia 11 tahun empat bulan mulai Ogos 2012 hingga kali terakhir pada 25 September lalu.

Dia yang mengaku tidak bersalah sebaik mendengar pertuduhan, didakwa melakukan semua kesalahan terbabit di sebuah rumah dekat Taman Bukit Kuda di sini.

Berdepan lima dakwaan 

Tertuduh berdepan dakwaan lima tuduhan sumbang mahram mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan, boleh dipenjara antara lapan hingga 30 tahun dengan sekurang-kurangnya 10 sebatan bagi setiap kesalahan.

Bagi lima pertuduhan liwat pula, dia dituduh mengikut Seksyen 377(c) kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dengan dikenakan sebatan.

Prosiding berasingan 

Prosiding pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hashim dan Nor Azilah Mat, berlangsung secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 1 dan 2, Tasnim Abu Bakar dan Ahmad Fairuz Mohd Puzi.

Selepas menilai hujah kedua-dua pihak, Tasnim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sebelum menetapkan 18 November untuk sebutan semula kes itu serta lantikan peguam bela.

Ketika prosiding di hadapan Ahmad Fairuz pula, hakim terbabit turut tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sebelum memerintah semua pertuduhan disebut semula dan dibicarakan bersama di depan Tasnim pada 18 November ini.

Berita Harian 10 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment