September 26, 2013

Anak lihat ibu digilis

Siti Rohani Mohamed Saadi

Lokasi kemalangan menjadi tumpuan orang ramai yang berang dengan pemandu lori.

KUALA LUMPUR - Hasrat seorang wanita mengambil anaknya pulang dari sekolah tidak kesampaian apabila dia maut digilis sebuah lori simen di hadapan Sekolah Kebangsaan Convent Sentul 1 & 2, semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang, mangsa, Siti Rohani Mohamed Saadi, 30, isteri kepada anggota polis Balai Sentul, dikatakan gagal mengawal motosikalnya setelah bergesel dengan lori itu.

Lebih memilukan kejadian disaksikan anak perempuan mangsa berusia sembilan tahun, lalu menghubungi ayahnya (suami mangsa).

Kejadian makin kecoh apabila orang ramai membaling batu ke arah lori simen dan memukul pemandu lori warga Indonesia yang bertaraf penduduk tetap dengan kayu.

Bagaimanapun, kehadiran anggota polis trafik menyuraikan keadaan dan menahan pemandu untuk siasatan.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, motosikal gagal dikawal menyebabkan mangsa tercampak bawah lori.

Katanya, mangsa kemudiannya digilis dan maut serta-merta di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Sinar Harian 27 Sep 2013


Hilang ibu digilis lori

KEADAAN motosikal ditunggang mangsa yang terbabit kemalangan.

SUAMI mangsa sebak melihat mayat isteri di tempat kejadian.

KEADAAN motosikal mangsa.

Kuala Lumpur: Sukar digambarkan perasaan seorang suami apabila melihat mayat isterinya dalam keadaan mengerikan akibat digilis lori pembancuh simen di Jalan Tanah Lapang off Jalan Sentul, di sini, semalam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian saya lihat isteri saya terbaring di bawah lori dan berlumuran darah,” kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Sham, 32, itu dengan nada sebak.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, isterinya, Siti Rohani Mohamed Saadi, 30, maut dengan badan hampir putus akibat digilis tayar belakang sebelah kiri lori.

Sebelum itu, motosikal ditunggang mangsa yang ketika itu dalam perjalanan mengambil anaknya pulang dari sekolah, hilang kawalan selepas bergesel dengan lori berkenaan.

Sham, 32, yang juga anggota polis di Balai Polis Sentul berkata, kira-kira 20 minit sebelum kejadian dia ada menghubungi isterinya mengingatkan arwah supaya mengambil anak kedua mereka di sekolah.

myMetro 27 Sep 2013


Ibu ambil anak pulang sekolah maut digilis lori

ANGGOTA bomba dan polis menyiasat tempat kemalangan melibatkan Siti Rohani maut digilis lori di Jalan Tanah Lapang, Sentul, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Rutin harian seorang ibu mengambil anaknya pulang dari sekolah bertukar tragedi setelah dia maut digilis lori di Jalan Tanah Lapang, Sentul di sini hari ini.

Lebih menyayat hati, kejadian kira-kira 2.15 petang itu berlaku hanya beberapa meter dari pintu pagar sekolah anaknya itu dan mayat mangsa, Siti Rohani Mohamed Saadi, 30, pula terputus dua dari paras pinggang.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah lori konkrit hingga menyebabkan motosikal itu hilang kawalan lalu terjatuh.

"Mangsa yang terjatuh di jalan raya digilis tayar bahagian belakang lori terbabit dan menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdullah, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya.

Difahamkan, pemandu lori terbabit merupakan warga Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap telah ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Siti Rohani yang berasal dari Temerloh, Pahang merupakan isteri kepada seorang anggota polis berpangkat koperal dari Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan akan dikebumikan di kampungnya.

Utusan 27 Sep 2013


Pemandu miliki 21 saman trafik

Kuala Lumpur: Pemandu lori pembancuh simen yang terbabit dalam kemalangan ngeri mengorbankan seorang wanita di Jalan Tanah Lapang Off Jalan Sentul, di sini, petang kelmarin didapati memiliki 21 saman trafik termasuk lima membabitkan kemalangan jalan raya sejak 2010.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, lelaki berusia 47 tahun itu kini direman selama tiga hari sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut.

“Hasil semakan lanjut mendapati lelaki ini mempunyai rekod membabitkan kesalahan lalu lintas, namun sudah menjelaskan semua saman yang dikenakan terhadapnya. “Kita akan tuduh pemandu lori itu secepat mungkin selepas merujuk kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, polis akan meneliti lanjut berhubung kejadian itu dan siasatan terperinci akan dilakukan.

Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita, Siti Rohani Mohamed Saadi, 30, maut dalam keadaan ngeri selepas motosikalnya bergesel sebelum digilis tayar belakang sebelah kiri sebuah lori pembancuh simen.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan mengambil anaknya pulang dari sekolah sebelum hilang kawalan selepas bergesel dengan lori berkenaan.

Mangsa yang tersepit pada tayar belakang lori turut diseret beberapa meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan.

myMetro 28 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment