September 3, 2013

Mangsa langgar lari : Lelaki dijumpai terbaring berlumuran darah

PARAH: Mangsa kemalangan langgar lari di Jalan Brooke Drive, Sibu dirawat oleh anggota paramedik.

SIBU: Seorang lelaki berusia 25 tahun dijumpai terbaring dalam keadaan berlumuran darah di tepi Jalan Brooke Drive di sini, malam kelmarin.

Mangsa difahamkan terlibat dalam kemalangan langgar lari yang berlaku sekitar jam 8 malam.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan menunggang motosikal ke arah pusat bandar dari rumahnya yang terletak di Taman Rejang.

Motosikal mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta yang mengakibatkan mangsa terpelanting jauh dari kenderaannya.

Orang awam yang menyaksikan kemalangan itu kemudian menghubungi pihak polis dan ambulans untuk mendapatkan bantuan.

Mangsa difahamkan mengalami kecederaan serius di bahagian muka serta mengalami konkusi setelah mendapat kecederaan di bahagian kepala.

Sehingga berita ini ditulis petang semalam, keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Menurut saksi, sebuah kereta dikatakan tiba-tiba melanggar mangsa dan kemudian memecut laju sambil meninggalkan mangsa terbaring di tepi jalan.

Bagaimanapun, saksi di situ tidak dapat mengecam nombor pendaftran kereta terbabit.

Berdasarkan kad pengenalan, mangsa dikatakan berasal dari Sri Aman.

Utusan Borneo 3 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment