September 26, 2013

Ibu tunggal nafi bersalah 3 tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR -  Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan rasuah berhubung pembelian rumah di Cheras.

Bagi pertuduhan pertama, Choo Huai Yee, 42, penolong pegawai pemasaran di syarikat pemaju hartanah Mahajaya Management Sdn Bhd, didakwa secara rasuah meminta RM2,500 daripada Muhammad Yahya Mohd Rashid, 29.

Ia sebagai dorongan untuk membantu mengelak wang deposit RM5,000 dipotong dan mempercepat proses pemulangan semula deposit  bagi pembelian rumah unit 3CDS-32 di Bandar Damai Perdana, Cheras di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jualan 2A, Jalan Damai Perdana 9/2F, Bandar Damai Perdana, Cheras, pada 3.30 petang, 6 Dis 2011, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000, jika sabit kesalahan.

Choo juga didakwa memperoleh daripada Muhammad Yahya suapan RM500 bagi tujuan sama, pada 3.30 petang, 6 Dis 2011 manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memperoleh wang tunai RM2,000 daripada Lim Yeoh Min, 43, bagi tujuan sama, pada 6.10 petang, 11 Jan 2012.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000, jika sabit kesalahan.  

Muhammad Yahya dan Lim merupakan anggota SPRM yang menyamar sebagai pembeli ketika berurusan dengan tertuduh. Tindakan itu dibuat selepas menerima aduan orang awam.    

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Mohd Firdaus Abu Hanipah menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Mohd Shamril Afzan Mohamad Hasim, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya perlu menyara dua anak yang bersekolah dan masih tinggal bersama keluarga.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membenarkan Choo diikat jamin RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 23 Okt untuk sebutan semula kes. - Bernama

26 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment