August 11, 2013

3 remaja lemas kereta terjunam ke dalam sungai


Chong Jun Wen, 19, pemandu kereta, lemas. - NSTP

Ng Kee Kang, 20, lemas - NSTP

Liew Yu Yang, 20, berjaya menyelamatkan diri - NSTP

KEADAAN kereta yang dipandu Chong Jun Wen di dalam Sungai Putat di Jalan Ayer Keroh Lama, Melaka, semalam.

Kelihatan pasukan Unit Skuba sedang bersiap sedia untuk mengeluarkan mayat mangsa

MELAKA 11 Ogos - Tiga sahabat mati lemas setelah kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Putat berhampiran Jalan Ayer Keroh Lama, Ayer Keroh di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, kesemua tiga sahabat berkenaan yang berasal dari Parit Keliling, Asahan, Jasin lemas setelah gagal keluar dari kereta itu yang terbalik di dalam sungai.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Ahmad Adnan Basri berkata, tiga mangsa yang maut ialah pemandu, Chong Jun Wen, 19, serta dua penumpang, Wong Wei Hao, 22, dan Ng Kee Kang, 20.

Menurutnya, seorang lagi penumpang, Liew Yu Yang, 20, terselamat dan hanya mengalami cedera ringan di kaki kanan.

"Ketika kejadian, kereta jenis Proton Iswara itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah lampu isyarat berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang menghala ke Jalan Tun Abdul Razak di sini.

"Semasa melalui satu selekoh berhampiran sebuah tokong, kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan terjunam ke dalam sungai tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelas Adnan, penumpang yang berjaya menyelamatkan diri keluar dari kereta itu sebelum meminta pertolongan daripada orang ramai yang melalui jalan berkenaan.

Menurutnya, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala Yu Yang diberikan rawatan di hospital sama akibat kecederaan di kaki kanannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Kamalrulzaman Mohd. Din berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 3.31 pagi dan dua jentera dengan 14 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Ayer Keroh dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 4.09 pagi diikuti mangsa kedua pada pukul 4.13 pagi manakala mangsa terakhir berjaya dikeluarkan pada pukul 4.18 pagi," jelasnya.

Dalam pada itu, ibu kepada Wei Hao, Ngui Chin Hua, 54, berkata, anak bongsunya daripada empat beradik itu keluar hampir setiap malam untuk bermain komputer di rumah neneknya.

"Kali terakhir saya bertemunya pada pukul 8 malam tadi sebelum dia keluar. Saya sangka dia ke rumah neneknya seperti biasa, namun mengetahui dia keluar bersama rakan-rakannya selepas menerima panggilan tentang kemalangan tersebut pagi ini," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka di sini hari ini.

Ketiga-tiga mangsa bekerja di Singapura dan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti panjang.

Utusan 12 Ogos 2013


Sebak kenang niat murni

Melaka: “Hati ini sebak mengenangkan niat murni dia sanggup berhenti kerja di Singapura semata-mata mahu menjaga saya yang sakit,” kata Ngui Chin Hua, 54, ibu kepada seorang daripada tiga pemuda yang lemas selepas kereta dinaiki terbabas dan terjunam ke Sungai Putat berhampiran Jalan Ayer Keroh Lama di sini, semalam.

Dalam tragedi kira-kira 3.30 pagi itu, anak Ngui, Wong Wei Hao, 22, bersama dua rakannya iaitu Chong Jun Wen, 19, dan Ng Kee Kang, 20, gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap di dalam kereta Proton Iswara yang terbalik di dalam sungai terbabit.

Namun, seorang lagi penumpang, Liew Yu Yang, 20, terselamat selepas dikatakan bertindak nekad keluar menerusi cermin depan dan hanya mengalami kecederaan ringan di kaki kanannya.

Difahamkan, empat sahabat itu baru selesai makan malam dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di sekitar Asahan, Jasin.

Setibanya di tempat kejadian selepas melalui satu selekoh berhampiran sebuah tokong, kereta dipandu Chong itu bagaimanapun dipercayai terbabas ke kanan jalan lalu terjunam ke dalam sungai.

Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun gagal keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas manakala Liew yang berjaya naik semula ke jalan bergegas mendapatkan bantuan orang awam.

Menurut Ngui, anak bongsu daripada empat beradik itu sememangnya hampir setiap hari keluar rumah untuk melayari Internet di rumah neneknya yang terletak di kawasan berdekatan.

“Kira-kira jam 8.30 malam tadi (kelmarin), saya melihatnya keluar dan menyangka dia mungkin pergi ke rumah neneknya seperti kebiasaannya.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan itu dan mengetahui rupa-rupanya dia keluar bersama rakan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Kata Ngui, mangsa sebelum ini bekerja di Singapura namun berhenti sejak enam bulan lalu untuk menjaganya yang kurang sihat.

Bagi rakan mangsa, Chan Chun Chiang, 18, seorang daripada mangsa ada menelefon mengajaknya keluar minum bersama rakan lain, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

“Saya bagaimanapun menolak pelawaannya kerana terlalu penat selepas bermain bola sepak dan tidak menyangka ia kali terakhir berhubung dengannya,” katanya.

Pegawai Pengurusan Balai Bahagian Operasi dan Penyelamat Bomba negeri Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 3.31 pagi.

“Seramai 14 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahrul Nizam Sidek dikerah dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

“Semua mangsa lemas dikeluarkan bermula jam 4.09 hingga 4.18 pagi. Tiada insiden buruk berlaku walaupun air sungai berkenaan amat deras dan cuaca hujan renyai,” katanya ketika ditemui.

myMetro 12 Ogos 2013




0 comments:

Post a Comment