July 14, 2013

Rumah Wartawan Sinar Harian di pecah masuk

JOHOR BAHRU – Kediaman wartawan Sinar Harian Biro Johor di Taman Molek, di sini, dipecah masuk penjenayah, semalam.

Menurut Azizan Inche Harun, 31, dia meninggalkan kediamannya ke lokasi tugasan di Pasir Gudang sekitar jam 7 pagi kelmarin, manakala tiga rakan serumahnya keluar berniaga kira-kira jam 4 petang hari yang sama.

“Selepas tamat waktu bekerja, saya tidak pulang ke rumah, sebaliknya ke premis perniagaan saya di Jalan Perniagaan Sri Saujana kira-kira satu kilometer dari rumah.

“Kami berempat pulang ke rumah kira-kira jam 4.30 pagi keesokan harinya (semalam). Sampai di rumah kami tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk berlaku kerana pagar dan pintu utama berkunci dengan baik.

“Bagaimanapun, apabila memasuki rumah kami terkejut apabila ruang tamu dalam keadaan berselerak,” katanya, semalam.

Azizan yang lebih mesra dengan panggilan Gee berkata, tanpa berlengah dia terus ke tingkat atas kediaman kerana yakin ruang berkenaan turut digeledah penjenayah.

“Sangkaan saya dan rakan-rakan ternyata berasas apabila ruang di tingkat atas turut diselongkar termasuk bilik tidur.

“Saya yakin penjenayah mengambil kesempatan ketika kami tiada di rumah. Berdasarkan maklumat daripada jiran, kemungkinan kejadian ini berlaku semasa waktu berbuka puasa.

“Disebabkan saya keluar bekerja beberapa barangan termasuk komputer riba dan kamera DSLR turut dibawa bersama manakala wang hasil berniaga juga telah disimpan di bank.

“Terdapat barangan peribadi saya hilang termasuk kamera digital dan kamera video yang dilarikan penjenayah,” katanya.

Beliau percaya penjenayah memasuki rumahnya melalui tingkap di tingkat atas kediaman kerana mangga pada bahagian jeriji hilang.

“Kebiasaannya saya pulang ke rumah selepas bekerja, namun disebabkan berpuasa, saya ambil keputusan berehat di premis perniagaan," katanya.

Katanya lagi, rakan serumahnya turut kehilangan sebuah tablet, manakala satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Johor Jaya semalam.

Sinar Harian 14 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment