July 5, 2013

Lelaki maut ditembak selepas beli tosai

Lelaki kempunan jamah tose

PULAU PINANG 5 Julai - Seorang lelaki tidak sempat menjamah tose yang dibeli untuk makan malam apabila dia mati ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki di sebuah kedai kopi di Relau di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, K. Kuganeswaran, 30, ditemui mati dengan empat kesan tembakan di badan, dada dan leher.

Mangsa dikatakan pergi ke sebuah kedai untuk membeli tose sebelum dipanggil oleh dua lelaki yang dipercayai dikenalinya.

Bagaimanapun berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mangsa ditembak.

Menurut seorang peniaga di kedai tersebut, bunyi tembakan bertalu-talu itu mulanya disangkakan mercun sebelum ada pelanggan lain menjerit.

Katanya, dia kemudian mendapati pelanggan yang baru membeli tose di kedainya terbaring dalam keadaan berlumuran darah di belakang kedai.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mangsa yang berasal dari Taiping, Perak tinggal bersama kakaknya di sini.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan polis turut menemui empat kelongsong peluru berukuran 9 milimeter di tempat kejadian.

"Polis percaya mangsa cuba melarikan diri sebelum ditembak berikutan plastik berisi tose masih tergantung pada motosikal yang dinaikinya manakala jarak antara mayat mangsa dengan motosikal hanya lima meter.

"Siasatan awal mendapati mangsa memiliki dua rekod lampau melibatkan kesalahan dadah dan polis masih menyiasat motif pembunuhan," katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Utusan 6 Jul 2013


Lelaki ditembak angkara dadah

Georgetown: Masalah dadah dikenal pasti menjadi punca seorang lelaki ditembak mati dari jarak dekat oleh dua lelaki di sebuah kedai makan di Relau, di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, berdasarkan siasatan, mangsa K Kugineswaran, 30, berasal dari Taman Damai, Taiping, Perak mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ia dipercayai ada kaitan dengan kejadian.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan, termasuk mendapatkan keterangan keluarga mangsa selain maklumat saksi kejadian.

Menurutnya, polis kini giat melancarkan gerakan menjejaki kedua-dua suspek yang melarikan diri dengan sebuah motosikal selepas menembak mangsa.

“Ketika kejadian, mangsa tidak membawa dokumen pengenalan diri. Mangsa juga dikatakan berkahwin dan mempunyai seorang anak.

“Mangsa juga dikatakan tinggal berdekatan tempat kejadian dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Konvoi Kutipan Amal untuk Tabung Wira Lahad Datu anjuran Kelab Motosikal One Nations dan Kelan Penang Bikerz Town di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, Kugineswaran yang baru membeli tosai maut ditembak dari jarak dekat di belakang sebuah kedai ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dipanggil dua lelaki.

Sebelum itu, mangsa dan dua suspek dikatakan bertengkar sehingga berlaku pergaduhan dan berakhir dengan mangsa ditembak empat das di beberapa bahagian badan dan maut di tempat kejadian.

myMetro 7 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment