June 28, 2013

Tragedi pilu empat beranak

BEGINILAH keadaan trak pikap dan motosikal (gambar kecil) yang rosak selepas terlibat dalam kemalangan hingga mengorbankan empat beranak di Tawau kelmarin.

TAWAU - Empat beranak menemui ajal serentak apabila sebuah motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah trak pikap jenis Toyota Land Cruiser dalam kemalangan di Batu 7, Jalan Kalabakan-Tawau dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 7.30 malam itu menyebabkan Jefry Januddin, 30, dan isterinya, Suriyani Burhan, 21, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Anak mereka, Asrah Wahidah dan Mohd. Syukur Jefry yang masing-masing berusia tiga tahun dan setahun turut maut.

Difahamkan, sebelum kejadian, empat beranak tersebut dalam perjalanan ke Brantian, Tawau dari Kalabakan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, kejadian berlaku ketika motosikal yang dinaiki keluarga malang itu melalui satu selekoh menuruni bukit sebelum bertembung dengan kenderaan terbabit.

"Pertembungan itu menyebabkan empat beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, kaki dan seluruh badan," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, pemandu trak pikap itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di dada dan dirawat di Hospital Tawau.

"Siasatan awal polis mendapati sewaktu kejadian cuaca baik sementara jalan tersebut juga tidak dilalui banyak kenderaan," ujarnya.

Kosmo 28 Jun 2013


Maut serentak

Tawau: Empat sekeluarga termasuk ibu yang hamil tiga bulan terbunuh selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh pikap yang hilang kawalan dalam kemalangan ngeri di Batu 7, Jalan Kalabakan-Tawau, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika keluarga malang itu dalam perjalanan dari FELDA Kalabakan menuju ke Brantian.

Mangsa ialah Jefry Januddin, 30; isterinya, Suriyani Burhan, 21, dan dua anak mereka Asrah Wahidah Asdar, 3, serta Mohd Syukur Jefry, 1.

Rempuhan kuat menyebabkan semua empat beranak yang menaiki motosikal jenis Honda EX-5 itu bergelimpangan di jalan raya.

Semua mereka mati di tempat kejadian manakala pemandu pikap jenis Toyota Land Cruiser berusia 49 tahun turut cedera apabila kenderaan terbabit kemudian merempuh tiang lampu lalu terjunam ke dalam longkang dan terbalik.

Rempuhan kuat itu turut menyebabkan tayar hadapan sebelah kanan pikap itu tertanggal.

Difahamkan, pikap dipandu seorang lelaki itu yang datang dari arah Tawau tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum memasuki laluan mangsa.

Kenderaan terbabit kemudian merempuh motosikal dinaiki keluarga malang itu sehingga semua mereka melambung beberapa meter dan terbaring bergelimpangan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pikap itu terbabas memasuki laluan motosikal berdasarkan kesan tayar.

myMetro 28 Jun 2013


Lihat wajah pucat

Tawau: “Sebelum keluar dari rumah, saya lihat wajah mereka agak pucat, sekaligus membuatkan hati kami berat membenarkan mereka ke rumah ibu.

“Namun, bagi menyedapkan hati, saya menganggap keadaan mereka yang agak pucat mungkin disebabkan masalah jerebu,” kata Asriati Pudin, 20, adik ipar kepada lelaki yang terbunuh bersama isteri dan empat anaknya dalam kemalangan di Jalan Kalabakan-Tawau, kelmarin.

Menurut Asriati, hatinya sangat berat melepaskan mereka pergi tetapi mereka berkeras mahu ke rumah ibu di Brantian. Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa maut dikenali Jefry Januddin, 30; isterinya, Suriyani Burhan, 21, dan dua anak mereka Asrah Wahidah Asdar, 3, serta Mohd Syukur Jefry, 1.

myMetro 28 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment