June 16, 2013

Pesta mat gian lumpuh

DUNGUN – Niat sekumpulan mat gian untuk sama-sama 'lalok' di sebuah rumah usang tidak kesampaian apabila lokasi persembunyian mereka dijadikan perangkap polis.

Percaturan sulit sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Sub Inspektor Ismail Omar itu membuahkan hasil apabila 26 penagih berjaya dicekup.

Operasi khas bermula kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin itu dilakukan berikutan maklumat mengatakan rumah kosong itu sering dikunjungi sekumpulan pemuda, dipercayai penagih.

Hasil penahanan seorang suspek, dipercayai pengedar dadah yang dikatakan pembekal utama dadah kepada kumpulan penagih sekitar, satu gerakan memerangkap penagih yang datang ke lokasi terbabit dilakukan.

Sebahagian daripada suspek juga dikatakan cuba melarikan diri sebaik menyedari lokasi dikunjungi sebenarnya merupakan perangkap polis.

Daripada 26 yang ditahan, selepas menjalani ujian saringan air kencing, 17 daripadanya didapati positif dadah termasuk enam positif morfin manakala 11 lagi positif methampethamine.

Salah seorang daripada suspek difahamkan warga emas yang mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika mengesahkan tangkapan memaklumkan semua suspek yang ditahan disiasat mengikut seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan 3(1) Akta Penagihan Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983.

Sinar Harian 16 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment