Kesan pagar runtuh dirempuh treler balak terbabas.
Treler balak yang melalui jalan hadapan SK Kuala Betis membahayakan pelajar.
GUA MUSANG - Beratus pelajar anak Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, dekat sini, terdedah bahaya apabila hadapan sekolah itu menjadi di laluan berpuluh treler balak setiap hari.
Malah, pernah berlaku juga sebuah treler yang sarat muatan balak terbabas sebelum merempuh pagar sekolah berkenaan ketika treler terbabit dalam perjalanan ke bandar ini.
Kebanyakan treler balak itu mengambil kayu daripada beberapa kawasan pembalakan berhampiran Pos Tohoi untuk dihantar ke beberapa kilang termasuk di luar Kelantan melalui jalan hadapan sekolah berkenaan.
Tinjauan mendapati, perjalanan treler balak melalui hadapan sekolah itu tidak menetap waktu dan sentiasa bergerak walaupun waktu pelajar pulang dari sekolah.
Menurut seorang bapa Orang Asli, Ishak Alang, 34, jalan hadapan sekolah itu sentiasa sibuk dengan perjalanan treler balak musim kemarau sekarang ini tanpa menghiraukan keselamatan pelajar.
Katanya, bukan sahaja terdedah kepada bahaya, malah debu jalan balak itu menjejaskan kesihatan pelajar sama ada ketika berada dalam kelas atau luar bangunan sekolah itu.
“Kita sebelum ini sudah membangkitkan masalah itu dan mencadangkan supaya pembalak membina jalan lain berjauhan daripada kawasan sekolah, tetapi tidak dihiraukan,” katanya.
Alui Angah, 29, pula berkata, memang sebelum ini pernah berlaku treler yang sarat muatan balak terbabas sebelum merempuh pagar sekolah hingga balak jatuh menghalang lalu lintas.
“Kalau kejadian treler balak terbalik itu berlaku di pintu masuk ke sekolah itu sudah tentu ia menimbulkan banyak masalah dan mungkin ada pelajar atau ibu bapa yang menjadi mangsa,” katanya.
Penduduk berharap masalah ini dapat diatasi segera.
Sinar Harian 16 Jun 2013
0 comments:
Post a Comment