June 15, 2013

Tragedi lemas nyaris berulang

KUALA DUNGUN – Tiga lagi nelayan tempatan nyaris menjadi korban pantai apabila bot mereka naiki karam di kawasan lima batu nautika, dekat perairan Dungun, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu dipercayai berlaku apabila bot berukuran kira-kira 15 meter dinaiki tiga nelayan dimasuki air akibat kebocoran pada bahagian enjin.

Menceritakan kejadian yang hampir meragut nyawa tiga rakan itu, nelayan terbabit, Rostam Muda, 42, berkata, bot mereka karam ketika dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.

Katanya, mereka menyedari kejadian itu selepas kelajuan bot semakin perlahan sebelum membuat pemeriksaan pada bahagian enjin.

“Apabila pergi ke bahagian enjin, saya terkejut apabila ruang enjin dimasuki air.

"Saya cuba mengeluarkan air menggunakan gayung tapi gagal sebab air masuk terlalu cepat sehingga memenuhi ruang enjin,” kata Rostam.

Juragan bot terbabit, Kamaruddin Muda, 39, berkata, sebaik menyedari bot mereka makin tenggelam, dia bersama Rostam serta seorang lagi awak-awak, Mohamed Noor, 48, terus memakai jaket keselamatan.

“Dalam keadaan cemas itu, saya menukar haluan bot menuju ke sebuah bot gentian kaca nelayan yang sedang berlabuh tidak jauh dari situ.

“Sebaik bot hampir tenggelam, kami terus terjun ke laut lalu berenang ke arah bot berkenaan, nasib baik jeritan kami meminta bantuan didengari, jika tidak kami pasti tidak pulang lagi," kata Kamaruddin.

Tiga mangsa yang nyaris lemas itu kemudiannya diselamatkan nelayan lain sebelum dibawa pulang ke kuala.

Kejadian terbabit menyebabkan pemilik bot, Nor Azman Mohamad Nor, 44, yang difahamkan berpengkalan di pengkalan bot Sungai Buaya itu kerugian kira-kira RM20,000 ekoran kerosakan dialami.

Sinar Harian 17 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment