June 21, 2013

Bekas guru agama dan sukarelawan dipenjara 20 tahun sebabkan kematian penghuni Perkid

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menambah hukuman penjara seorang bekas guru agama dan seorang sukarelawan yang menyebabkan kematian seorang penghuni Rumah Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) lima tahun lepas, daripada 15 tahun kepada 20 tahun.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas menolak rayuan  Mohammed Azizi Mohd Vello, 30, dan Mohd Shuhaidi Mohamad, 31, terhadap sabitan dan hukuman 15 tahun penjara ke atas mereka yang diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 29 Feb tahun lepas.

Nurchaya turut menolak permohonan peguam Abdul Halem Mohamad Husin yang mewakili Mohammed Azizi dan Mohd Shuhaidi agar pelaksanaan hukuman ke atas kedua-dua anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sebaliknya beliau memerintahkan Mohammed Azizi menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen pada 29 Feb tahun lepas manakala hukuman penjara ke atas Mohd Shuhaidi diarahkan berkuatkuasa hari ini berikutan tertuduh berada dalam jaminan.

Pada 29 Feb tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas kedua-dua tertuduh selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Megat Mohd Amirul Adha Sobri, 23, di Perkid yang beralamat di No: 9, Jalan Sentosa, Batu 14, Hulu Langat, kira-kira pukul 11 pagi, 26 Jun 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda.

Mengikut keterangan kes, mangsa yang pengsan selepas kejadian itu telah dikejarkan ke Hospital Ampang tetapi disahkan meninggal dunia dan punca kematiannya adalah akibat hentakan senjata tumpul di kepala.

Doktor turut mengesahkan terdapat 70 luka pada badan, kepala, muka, paha dan kaki mangsa.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Mohammed Azizi, sukarelawan di Perkid, sebuah badan bukan kerajaan yang menumpukan kepada isu seperti murtad di kalangan orang Melayu Islam, dadah dan akhlak, menyertai rumah kebajikan itu pada awal 2007 untuk menerima rawatan dan sebaik pulih menawarkan diri sebagai sukarelawan di pusat itu.

Mohd Shuhaidi yang juga ketua operasi Perkid Hulu Langat pula menyertai rumah kebajikan itu pada 2004.

Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum hadir bagi pihak responden sementara peguam M.Athimulan dan Ridha Abdah Subri hadir sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa. - Bernama

21 Jun 2013


ARKIB 11/07/2008
`Tolong jangan pukul saya lagi’

KUALA LUMPUR: “Ustaz tolong jangan pukul saya lagi. Saya minta nyawa...saya dah tak tahan sakit.” Itu kata-kata terakhir seorang penghuni pusat pemulihan yang tidak tahan diseksa kononnya bagi memulihkannya yang menghadapi masalah sosial.

Beberapa penghuni terdengar rayuan lelaki terbabit ketika menyaksikan dia didera dan diperlakukan seperti haiwan.

Mereka bagaimanapun tidak berani membantunya kerana bimbang akan menerima balasan sama.

Beberapa jam selepas itu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Seorang penghuni terbabit yang mahu dikenali sebagai Amir, 18, memberitahu Harian Metro, sehari selepas dihantar ibu bapanya, mangsa cuba melarikan diri dari pusat pemulihan berkenaan tetapi dia ditahan semula.

“Sebaik ditahan, mangsa dibawa ke ruang tamu dan semua 65 penghuni berkumpul untuk melihat hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya.

“Seorang petugas pusat pemulihan itu memaklumkan, mangsa cuba melarikan diri kerana mahu membuat laporan polis mengenai kes penderaan di situ...jadi dia kata kalau nak lapor polis, lebih baik dia didera betul-betul,” katanya di sini, semalam.

Amir berkata, petugas kemudian mengarahkan semua penghuni menampar muka mangsa masing-masing 10 kali seorang dan merotan kaki sebanyak lima kali.

“Kalau sesiapa tak mahu buat, mereka akan kena dera macam itu...jadi kami semua yang takut didera kena ikut cakap petugas,” katanya.

Selepas itu, katanya, petugas terbabit mula membelasah mangsa dengan menendang kepala dan memijak lehernya sehingga dia tidak bermaya.

“Saya dan beberapa rakan yang kasihan melihat mangsa membawanya ke bilik air dan mencuci kesan lukanya. Ketika itu, dia tidak bercakap dan hanya meraung kesakitan.

“Dia kemudian tidur dengan mengerang kesakitan sebelum kami menyedarinya tidak lagi sedarkan diri dan memaklumkan kepada petugas supaya membawanya ke hospital.

“Petugas pun tak nak bawa kerana bimbang dengan keadaan mangsa, tetapi apabila penghuni mendesak baru mereka hantar ke hospital. Kami kemudian dimaklumkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Beberapa jam selepas mangsa meninggal dunia, kata Amir, semua penghuni diminta berkumpul di ruang tamu untuk diberi penerangan supaya jangan memaklumkan kepada polis jika ditanya mengenai kejadian itu.

“Kami juga diingatkan supaya membuat cerita mangsa melarikan diri dan parah ketika dibawa balik selain van yang membawa mangsa mengalami kerosakan.

“Tetapi kami semua sepakat tidak mahu menipu polis kerana perbuatan pihak pengurusan pusat pemulihan itu melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni, Razali, 20, berkata petugas pusat itu sering menzalimi penghuni dengan merotan tapak kaki dan mencabut kuku ibu jari kaki.

“Mereka akan ikat kaki dan mulut penghuni supaya jeritan kami tidak didengar ketika penderaan dilakukan. Mereka akan pijak kaki supaya lurus dan memegang badan penghuni ketika menjalankan hukuman.

“Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut didera dan jika mengadu kepada keluarga, kami kena menjalani hukuman,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang penghuni pusat pemulihan itu meninggal dunia akibat menjalani rawatan pemulihan yang tidak masuk akal.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala dan kesan lebam di seluruh anggota badan.

myMetro 11 Jul 2008


ARKIB 12/07/2008
Mangsa binatang

SUNGAI PETANI: “Hampir setiap inci tubuhnya, termasuk bahagian mata dan pipi terdapat kesan lebam serta bengkak, manakala kepala cedera teruk.

“Saya dan suami serta ahli keluarga sangat terkejut serta tak percaya melihat keadaan fizikal mayat arwah. Bagi saya, kecederaan dialami arwah bukannya dilakukan manusia, sebaliknya binatang,” kata Tengku Rohani Tengku Ayob, 52, ibu kepada Megat Mohd Amirul Adha Sobri, 22, yang mati dipercayai didera di sebuah pusat pemulihan di Kajang pada 26 Jun lalu

Tengku Rohani berkata, hatinya hancur dan sayu sebaik menatap tubuh anak lelaki daripada dua beradik itu di rumah mayat Hospital Ampang, Selangor.

Menurutnya, mereka yang melakukan perbuatan itu memang kejam dan tidak berhati perut.

“Apa yang dilihat pada seluruh tubuh arwah adalah penderaan amat zalim dan kami tidak boleh menerima perbuatan itu.

“Saya tidak menyangka keadaan bertukar sebaliknya kerana ketika Megat dihantar lebih sebulan lalu, fizikalnya sihat serta tidak menghidap sebarang penyakit.

“Saya akan tuntut pembelaan sewajarnya atas setiap titik darah, peluh dan jeritan azab kesakitan yang ditanggung arwah,” katanya.

Tengku Rohani tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan nasib malang menimpa arwah anaknya kepada wartawan Harian Metro di rumahnya di Taman Sejati Indah, dekat sini, semalam.

Megat Mohd Amirul Adha meninggal dunia dipercayai didera di pusat pemulihan yang dikendalikan pihak swasta itu.

Doktor yang melakukan bedah siasat mengesyaki mangsa mati akibat didera kerana terdapat kesan lebam dan kecederaan di seluruh tubuhnya lalu membuat laporan polis.

Tengku Rohani berkata, sebagai ibu yang melahirkannya, dia reda dengan kematian arwah, tetapi terkilan serta sukar menerima cara kematiannya akibat diperlakukan begitu ganas dan kejam.

“Saya juga sedih apabila seorang daripada pelatih pusat pemulihan itu yang diselamatkan pada 6 Jun lalu memberitahu, arwah merayu-rayu meminta nyawa daripada ustaznya ketika dipukul kerana sedang berpuasa.

“Malah, pelatih itu juga memberitahu, sepanjang di pusat itu, arwah sering menjadi imam dan mengajar pelatih membaca al-Quran serta mengadakan tazkirah waktu malam.

“Saya berharap dengan pendedahan mengenai arwah, kejadian seperti itu tidak berulang lagi,” katanya.

Dia juga menyerah sepenuhnya kepada polis bagi mengambil tindakan terhadap individu terbabit selain mahu pihak berkuasa membongkar segala yang berlaku di rumah pemulihan berkenaan.

“Bagi memastikan kes arwah mendapat pembelaan sewajarnya, saya melantik peguam bagi mengawasi kes itu serta mengambil tindakan undang-undang ke atas pentadbir rumah pemulihan itu,” katanya.

myMetro 12 Jul 2008

0 comments:

Post a Comment