May 27, 2013

Tak lalu makan fikirkan nasib isteri dan anak hilang


Dah tak suka

Kepala Batas: “Saya tak lalu makan nasi sejak dua hari lalu kerana memikirkan nasib isteri dan anak,” kata kakitangan awam, Mohd Nawawi Abd Rahman, 49, yang bimbang mengenai keselamatan isteri dan anak perempuannya selepas mendakwa disembunyikan pihak tertentu.

Mohd Nawawi dari Teluk Air Tawar, Butterworth berkata, isterinya, Nor Sita Ismail, 38, dan anak bongsunya, Nor Syamimi, 14, gagal dikesan selepas kerap ke sebuah pusat latihan nyanyian di Maklom, di sini, sejak bulan lalu.

Menurutnya, dia tiada masalah dengan isterinya sebelum ini, tetapi mula melihat perubahan pada isterinya sejak dua bulan lalu selepas kerap menghantar Nor Syamimi mengikuti latihan nyanyian di bawah kendalian seorang lelaki selain mengikut seorang wanita menjual alat kosmetik.

“Saya kurang senang kerana yang mengajar anak perempuan saya menyanyi adalah lelaki lalu ke pusat nyanyian itu pada April lalu meminta dia tidak lagi mengajar. “Selepas itu hanya isteri saya ke pusat nyanyian berkenaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Tidak senang dengan perkara itu, Mohd Nawawi sekali lagi ke pusat nyanyian berkenaan pada Jumaat lalu dan terkejut mendapati isterinya berada dalam bilik bersama lelaki terbabit.

“Ketika itu berlaku pertengkaran kecil antara saya dengan isteri sebelum dia menyuruh saya balik kerana sudah tidak sukakan saya lagi.

“Saya terkejut kerana sebelum ini tiada sebarang masalah antara kami suami isteri tetapi dia mula berubah sejak ke pusat nyanyian berkenaan,” katanya.

Mohd Nawawi berkata, selepas kejadian itu dia tidak mendapat sebarang berita dari isteri atau anaknya, malah panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) juga tidak dijawab.

Selepas gagal menemui isteri dan anaknya, dia bertindak membuat laporan di Balai Polis Teluk Air Tawar.

Menurutnya, dia turut meminta bantuan ahli keluarga untuk mengesan isteri dan anaknya itu namun gagal.

Katanya, isterinya juga tidak memberitahu lokasi dia berada ketika membalas SMS dengan ahli keluarganya yang lain kerana tidak mahu orang mencarinya.

“Saya bimbang nasib mereka tambahan pula anak perempuan saya masih bersekolah,” katanya.

Menurutnya, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Nor Sita dan Nor Syamimi boleh menghubunginya di talian 019-5472779 atau balai polis berhampiran.

myMetro 27 Mei 2013

0 comments:

Post a Comment