May 27, 2013

Lapan teh ada racun


Kuala Lumpur: Lapan sampel serbuk teh yang diuji Perbadanan Bioteknologi Melaka didapati mengandungi bahan toksik yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna termasuk menyebabkan kanser jika kandungannya berlebihan dalam darah.

Sampel berkenaan diambil dari pelbagai lokasi secara rawak iaitu sekitar Pantai Dalam (tiga serbuk), Bandar Tasik Selatan (satu serbuk), Sentul (satu serbuk), Seri Kembangan (satu serbuk) dan Melaka (dua serbuk).

Bekas Pengarah Urusan Perbadanan Bioteknologi Melaka Datin Norsabrina Mohd Noor berkata, keputusan terhadap lapan serbuk teh berkenaan diperoleh selepas dirawat selama 24 jam oleh tiga penyelidiknya, Hasnizawati Mohamed Dahlan, Nor Farhana Ruslan dan Noorain Ramli. Menurut beliau, selepas melalui tiga peringkat eksperimen, hasilnya menunjukkan serbuk teh dari sampel Bandar Tasik Selatan mengandungi paling banyak toksik dibandingkan tujuh serbuk lain.

“Perbandingan ini dibuat dengan melihat nilai kepekatan yang mengakibatkan sel mati. Semakin rendah nilai kepekatan bermaksud semakin tinggi tahap toksik.

“Tahap toksik semua serbuk teh ini boleh dirumuskan, Bandar Tasik Selatan menunjukkan kandungan toksik paling banyak iaitu dua miligram diikuti serbuk teh dari Seri Kembangan, Pantai Dalam 1 dan Melaka 1, Pantai Dalam 3, Sentul dan Pantai Dalam 2 dan Melaka 2,” katanya.

Keputusan itu diperoleh menerusi ujian dikenali MTS Cytotoxicity Assay, ia adalah prosedur menggunakan prinsip perbezaan warna dan uji kaji ini dijalankan untuk menentukan kesan sitotoksik terhadap sel V79B (sel fibroblas berasal dari paru-paru hamster). Katanya, ketoksikan adalah kebolehan sesuatu bahan yang mengakibatkan kematian sel manakala ujian itu adalah proses saringan menilai tahap keselamatan bahan terbabit pada manusia.

“Ujian saringan ketoksikan secara in vitro (terhadap sel) dan in vivo (terhadap haiwan) perlu dilakukan sebelum ujian pada manusia. Ujian in vitro paling sensitif untuk menjangka kesan toksik terhadap manusia,” katanya.

myMetro 27 Mei 2013


Bahaya teh campuran

Shah Alam: Penggemar minuman berasaskan teh terutama teh tarik berdepan pelbagai risiko kesihatan jika terminum teh campuran yang mengandungi bahan lain seperti pewarna dan habuk kayu.

Pensyarah program Sains Pemakanan dan Teknologi, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Noriham Abdullah berkata, apa yang membimbangkan pada penggemar teh tarik sama ada teh itu asli atau campuran.

“Teh tarik biasanya menggunakan teh hitam diproses dengan haba tinggi. Semua teh diproses, tetapi teh Cina dikeringkan pada haba rendah. “Yang bahayanya teh campuran, kandungan teh tidak banyak, sebaliknya lebih pada benda lain. Apa yang ditakutkan, ia habuk kayu diletakkan pewarna yang dikeringkan dan dicampurkan dengan sedikit teh,” katanya.

Mengikut pemerhatiannya, daun teh asli tidak mengeluarkan warna kemerahan seperti teh tarik yang turut dicampur susu pekat manis. Secara asas, teh tanpa susu bagus sebagai ejen anti penuaan, memelihara sel dalam badan supaya tidak cepat rosak dan menghalang radikal bebas seperti kanser.

“Pengguna boleh mengkaji sendiri sama ada daun teh itu asli atau campuran dengan meletakkannya ke dalam air biasa. Jika ia mengandungi pewarna sintetik, ia lebih mudah larut dengan cepat dan mengeluarkan warna.

“Sepatutnya, pengusaha gerai atau restoran mengikut prosedur penyediaan teh dalam Akta Makanan, tetapi apabila ia dijadikan produk, pengguna tidak mengetahui kandungannya melainkan Kementerian Kesihatan melakukan pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya, risiko pada penggemar teh tarik bukan saja pada aspek teh, tetapi susu pekat manis yang menjadi punca kencing manis jika diambil berlebihan. Selain itu, timbul persoalan penggunaan pemanis tanpa zat iaitu ibu gula.

“Mengikut peraturan Akta Makanan, jika teh dibakar melebihi 7 peratus, ia dipercayai mempunyai kandungan lain. Apabila banyak pewarna dalam teh, ia boleh mengakibatkan kanser. “Penggemar teh tarik berrisiko tinggi berdepan penyakit kanser jika tidak mengawal pengambilan. Satu sudu kecil susu mengandungi 17 kalori manakala satu gelas teh tarik dianggarkan 120 kalori. “Bagi lelaki memerlukan 3,000 kalori manakala perempuan, 2,000 kalori. Namun, sebaiknya kita mengamalkan pemakanan seimbang. Lebih baik buat teh tarik sendiri di rumah atau jika boleh, minum sekali seminggu,” katanya.

myMetro 27 Mei 2013

0 comments:

Post a Comment